31 Mei 2009

Kelantan kembali beraksi di Stadium Keramat

Bakal Gegarkan Pasukan lawan….

Stadium Keramat Kelantan-Stadium Sultan Muhammad Ke IV

Berita yang paling mengembirakan semua penyokong Kelantan akhirnya di terima 28 mei lepas apabila jawatankuasa tatatertib FAM yang bermesyuarat memutuskan rayuan KAFA diterima untuk kembali bermain di stadium keramat iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Bukan mudah untuk Kelantan ‘memujuk’ FAM yang berkeras dengan keputusan tidak membenarkan sebarang perlawanan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke IV membabitkan KAFA.KAFA yang di naungi oleh Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden terpaksa memikirkan pelbagai cara bagi menyakinkan FAM antaranya menyatakan kesediaan untuk menarik diri dari liga super serta terpaksa membuat rayuan kali kedua kepada FAM.

Dengan keputusan tersebut Kelantan memperoleh kemenangan moral kedua setelah menamatkan badi kekalahan lima kali berturut-turut dalam liga super mengatasi KL Plus di Stadium Bukit Jalil tempohari.

Apa yang pasti keputusan FAM tersebut juga adalah penanda aras kebangkitan semula Kelantan seperti permulaan musim dan tiada lagi alasan untuk pemain-pemain untuk tidak beraksi dengan bersungguh-sunguh.

Kelantan juga dijangka akan menjadi pesaing sengit liga super walaupun agak mustahil untuk mengejar pendahulu liga iaitu Perlis dengan perbezaan 12 mata.Jika pemain bermain dengan bersungguh-sunguh tempat ketiga liga memadai buat Kelantan tahun ini.

Pengurusan serta jurulatih Kelantan sekarang perlu merangka strategi bagi memastikan The Red Warriors mempunyai barisan pemain yang betul-betul cergas serta memiliki persefahaman antara satu sama lain dan mampu memperoleh kemenangan dalam baki liga super.

Apa yang merungsingkan sekarang adalah kemerosotan ketara permainan kapten pasukan iaitu Badri Radzi.Jika dilihat permainan Badri merosot sebelum Kelantan di gantung dari bermain di Stadium Sultan Muhammad Ke IV lagi.

Pihak pengurusan perlu mencari punaca mengapa Badri mengalami kemerosotan ketara,adakah tidak berpuashati dengan bayaran gaji yang di terima berbanding pemain-pemain yang di’import’ atau masalah lain seperti tidak cergas serta cedera.

Pemain yang sudah pasti perlu direhatkan adalah Azlan yang ternyata menjadi punca kekalahan Kelantan serta menjatuhkan moral pemain-pemain lain dengan melakukan kesilapan-kesilapan bodoh yang tidak boleh di terima oleh penyokong-penyokong Kelantan.

Harapan mengunung dari peminat setia Red Warriors perlu ditunaikan dan tamatkan episod derita Kelantan dengan melakarkan kemenangan dalam perlawanan seterusnya.Ayuh Red Warriors bingkas dari mimpi dan kita rebahkan satu persatu lawan kita.

Kami mewakili kelab penyokong dan peminat bolasepak Kelantan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan KAFA terutamanya presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kembali hak Kelantan untuk bermain di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.Semoga bolasepak Kelantan kembali bersinar....

Amaran Merokok Sempena Hari Tanpa Tembakau 31 Mei

Hayati gambar dan mesej yang ingin di sampaikan....

Chelsea juara Piala FA



PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala FA selepas menewaskan Everton 2-1 di Stadium Wembley malam tadi.

Jaringan Drogba, Lampard buat Everton gigit jari

LONDON: Chelsea memberi Guus Hiddink hadiah istimewa sebagai tanda perpisahan apabila jaringan kemenangan Frank Lampard membantu pasukan itu menewaskan Everton 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley, malam tadi.

Hiddink yang bertindak selaku pengurus sementara akan kembali mengemudi skuad kebangsaan Russia sepenuh masa Jun ini tetapi dia akan sentiasa dikenang di Stamford Bridge selepas memimpin Chelsea mendakap trofi pertama dalam tempoh dua tahun.

Lampard yang meledakkan gol penting bagi pasukan pada minit ke-72 berkata jaringan kemenangan olehnya adalah untuk ibu tersayang yang meninggal dunia, tahun lalu.

“Kami menunjukkan perwatakan baik dan menguasai perlawanan selepas babak pertama,” kata Lampard.

“Gol kemenangan ini juga menceritakan bagaimana ayah saya (Frank senior) menyambut jaringan yang hebat pernah dilakukannya dulu. Ibu saya akan menghargainya.”

Apapun, Everton melakukan permulaan sempurna apabila Louis Saha merembat masuk gol pertama ketika permainan hanya berusia 25 saat untuk merakamkan namanya dalam sejarah Piala FA selaku penjaring terpantas.

Namun, penyerang Ivory Coast, Didier Drogba tampil menanduk masuk pada minit ke-21 sebelum rembatan jarak jauh Lampard mengesahkan kemenangan kelima bagi kelabnya dalam kejohanan itu dan detik ceria buat Hiddink.

Ia juga malam indah buat pemain pertahanan Chelsea, Ashley Cole untuk muncul pemain pertama dalam tempoh lebih 100 tahun untuk memenangi lima pingat Piala FA.

Bagi Drogba ia harus menebus rasa kecewa tewas dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah kepada Barcelona.

“Saya amat gembira. Kami memerlukan untuk memenangi trofi musim ini dan kami percaya dapat melakukan. Hiddink mengubah wajah cabaran kami malam ini (malam tadi),” katanya. - AFP

30 Mei 2009

KAFA mahu tingkat tahap keselamatan stadium

KUALA LUMPUR - Keputusan dibenarkan semula beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV disambut gembira oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), namun banyak lagi tugas untuk memastikan tahap keselamatan diperketatkan agar peristiwa rusuhan Mac lalu tidak berulang.

Menurut presidennya, Tan Sri Annuar Musa perbincangan antara KAFA dan perbadanan stadium akan diadakan bagi melakukan penambahbaikan stadium tersebut terutama sekali aspek keselamatan.

"Kita akan mengubah kedudukan kaunter tiket dan membina terowong untuk laluan pemain memasuki padang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, langkah-langkah keselamatan ketika perlawanan liga juga akan diperketatkan dan segelintir penyokong yang sering membuat kacau dengan melontar objek ke dalam padang dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana membenarkan kami beraksi semula di Kota Bharu.

"Ini adalah satu rangsangan buat pihak pengurusan dan pasukan Kelantan sebelum untuk kembali beraksi dengan lebih cemerlang seperti di awal musim," katanya.

Kata Annuar, peluang ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula kekuatan pasukan Kelantan apabila berlaku penurunan prestasi selepas dihukum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah.

sumber : utusan online

29 Mei 2009

Kelantan Boleh Bermain Di Kota Baharu Tapi Bersyarat - FAM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat menarik balik penggantungan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV sebagai venue tuan rumah pasukan Kelantan berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan yang disiarkan melalui laman web FAM, keputusan itu dicapai berikutan semakan semula oleh Jawatankuasa Tatatertib yang bermesyuarat semalam mengenai hukuman penggantungan yang dikenakan pada 10 April lepas kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan KAFA akan dibenarkan bermain serta merta tetapi bersyarat.

"Bentuk syarat itu hanya akan ditentukan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang akan bermesyuarat di dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Keputusan itu bermakna Kelantan akan memulakan aksi Liga Super setelah berehat dua minggu menentang UPB-MyTeam pada 16 Jun di hadapan ribuan penyokong "The Red Warriors".

Kelantan sebelum ini telah digantung sepanjang musim ini daripada menggunakan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV berikutan rusuhan penonton pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada 7 April lepas, malah KAFA turut didenda hampir RM100,000.

KAFA sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan Liga Super setelah terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sumber : bernama.com

28 Mei 2009

Keputusan rayuan KAFA diterima FAM

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang petang tadi memutuskan rayuan KAFA diterima untuk kembali beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu selepas ini.

Keputusan ini adalah satu keputusan yang menggembirakan bagi peminat-peminat bola sepak kelantan yang dahagakan persembahan kelantan di gelanggang sendiri setelah SSMIV di gantung dari menganjurkan sebarang kejohanan bolasepak anjuran FAM.

Diharapakan selepas ini, kepada penyokong yang tak puas hati pada mana-mana perlawanan, dapatlah menyuarakan ketidakpuasan hati di jalan yang betul.

Isu gantung: Kafa rayu kali kedua


KUALA LUMPUR - Demi kepentingan bola sepak Kelantan, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) tidak patah semangat dan menyerah kalah untuk terus memohon rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar hukuman yang dikenakan ke atas mereka ditarik balik.

Menurutnya, surat rayuan kedua akan diserahkan kepada FAM berserta bukti-bukti baru kekecohan yang berlaku di Stadium Sultan Muhammed IV bagi memberikan gambaran sebenar situasi yang berlaku pada ketika itu.

"Kami bukan hendak melawan berhubung hukuman yang dikenakan oleh FAM tetapi rayuan kedua bersama fakta-fakta baru ini diharap dapat memberi ruang kepada kami dibenarkan semula beraksi di Kota Bharu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS kelmarin.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan iaitu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah ternyata memberi banyak masalah kepada mereka terutamanya dari segi faktor kewangan.

"Kita juga minta FAM konsisten dalam mengenakan hukuman kepada pasukan mahupun persatuan. Sebelum ini insiden membakar bas di Terengganu dan penyokong memasuki padang di Johor hanya dikenakan hukuman gantung satu perlawanan.

"Jadi kami meminta ruang kepada FAM untuk membenarkan semula kami beraksi di Kota Bharu dan saya tidak sesekali akan berputus asa jika rayuan kali kedua ini ditolak kerana ia akan menimbulkan kekecewaan terutama sekali kepada peminat bola sepak Kelantan," katanya.

Dalam pada itu Annuar berkata, tempoh rehat pertengahan musim ini akan digunakan sepenuhnya oleh pemain bagi memulihkan semula semangat mereka dan mempersiapkan pasukan dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Kita akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Kota Bharu bagi menghidupkan semula suasana bola sepak di Kelantan dengan menjemput dua orang bekas pemain import Mohamadou Moustapha dan Suriya Domtaisong untuk memeriahkan lagi perlawanan tersebut.

"Ini adalah hadiah kepada penyokong dan dalam masa yang sama untuk memulihkan semula semangat pemain," katanya yang menyatakan perlawanan persahabatan akan diadakan pada 6 Jun depan menentang Proton FC, diikuti 9 Jun bertemu Selangor manakala satu lagi perlawanan belum diputuskan.

Annuar juga berkata, Kelantan akan memperkemaskan semula pasukannya selepas mengenal pasti beberapa kelemahan terutama di bahagian tengah dan pertahanan yang gagal menunjukkan bentuk permainan menarik seperti di awal musim.

"Dalam masa yang sama kita masih lagi berkeinginan untuk membawa masuk pemain baru terutama menjelang saingan Piala Malaysia, saya membayangkan kita perlu mempunyai seorang lagi penjaga gol yang tangkas, pertahanan yang kental, pemain tengah yang kreatif dan penyerang yang berimaginasi tinggi. -ihsan utusan

Masa untuk pulihkan semangat

KUALA LUMPUR - Peluang berehat selama dua minggu dalam saingan Liga Super akan digunakan sepenuhnya oleh pasukan Kelantan untuk merawat dan memulihkan keyakinan di kalangan pemain terutama sekali selepas berjaya menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan KL PLUS 1-0 kelmarin.

Kemenangan tipis tersebut dianggap sebagai satu kemenangan psikologi dan ia diakui sendiri oleh pengendali pasukan Wira Merah itu, Peter Butler (gambar) yang terpaksa menunggu selama enam perlawanan untuk melihat pasukan bimbingannya kembali mencatat kemenangan.

"Satu masa yang lama untuk menantikan sentuhan kemenangan kembali dicatat oleh pasukan Kelantan dan saya harap keputusan perlawanan pada malam ini (kelmarin) mampu menaikkan semula semangat pemain," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Jelasnya, kemenangan tersebut mampu untuk meredakan ketegangan masalah yang dihadapi seluruh pasukan Kelantan berikutan hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kembali ke Kota Bharu untuk membuat persediaan dengan lebih rapi.

"Banyak perkara yang perlu kami lakukan walaupun dalam tempoh rehat pertengahan musim selama dua minggu, semuanya adalah untuk melihat peningkatan permainan berlaku secara terus-menerus.

"Perlawanan persahabatan akan diadakan dalam tempoh rehat ini untuk memulihkan kembali keyakinan dan kekuatan mental pemain," kata Butler.

Menurutnya, tekanan memang sentiasa menghantui pemainnya selepas dihukum untuk beraksi di Kuala Lumpur dan pemain begitu merindukan sokongan padu dari penyokong setia di Kota Bharu.

"Semua orang begitu merindui suasana penyokong yang ramai, tanyalah pasukan mana pun mereka sudah tentu tidak mahu menjadikan gelanggang lain sebagai gelanggang sendiri.

"Letaklah Selangor beraksi di Kangar dan Perlis beraksi di Johor Bahru sudah tentu suasana dan keadaannya sama seperti yang kami lalui. Siapa yang mahu beraksi di gelanggang lawan?," katanya.

Barcelona terhebat Eropah juara UCL 08/09


GAMBAR atas, pemain FC Barcelona meraikan kejuaraan Liga Juara Juara di Stadium Olimpik, Rom, awal pagi tadi, apabila menewaskan pasukan Manchester United 2-0. Gambar bawah, kiri, penyerang Barcelona, Samuel Eto'o (tengah) melepasi pemain tengah Manchester, Michael Carrick (kiri) dan pertahanan, Nemanja Vidic sebelum menyumbat gol pertama Barcelona. Gambar bawah, kanan, penyerang Barcelona, Lionel Messi (tengah) menggelecek dan mengatasi pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo (kanan), Park Ji-sung (kiri) dan Rio Ferdinand. - Foto AF/Reuters

ROME 28 Mei - Barcelona menewaskan Manchester United 2-0 untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara menerusi jaringan Samuel Eto’o dan Lionel Messi pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Olimpik Rome awal pagi tadi.

Eto’o meletakan juara Sepanyol itu di depan pada minit ke-10 dan tandukan cantik Messi pada minit ke-70 mengesahkan Barcelona memenangi kejohanan peringkat kelab Eropah paling berprestij buat kali ketiga.

Kemenangan ke atas juara bertahan itu melengkapkan kejuaraan treble untuk jurulatih Barcelona, Pep Guardiola pada musim pertamanya selepas memenangi liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol.


LIONEL Messi (kiri) menanduk untuk menjaringkan gol kemenangan Barcelona melepasi penjaga gawang Manchester United, Edwin van der Sar dan hanya dapat diperhatikan oleh Rio Ferdinand pada pertembungan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik, Rome awal pagi tadi. BArcelona juara 2-0. - REUTERS


United pula gagal memburu kejuaraan keempat peringkat Eropah, yang juga trofi keempat United selepas memenangi Liga Perdana England, kejohanan Kelab Piala Dunia FIFA dan Piala Liga.

Jaringan pertama Eto’o diperoleh apabila dia berjaya memintas dari penjuru kanan dan melepasi halangan Nemanja Vidic dan melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol United Edwin van der Sar di penjuru gawang.


SAMUEL Samuel Eto'o (kanan) meraikan kejayaan menyumbat gol pembukaan Barcelona bersama-sama Andres Iniesta selepas 10 minit prlawanan menentang Manchester United bermula di Stadium Olimpiik, Rome, awal pagi tadi. - REUTERS


Xavi melakukan percubaan menerusi sepakan bebas namun terkena tiang gawang United sejurus babak kedua bermula sebelum Lionel Messi mengesahkan kemenangan apabila menanduk hantaran lintang Xavi.

Barcelona, yang merupakan juara Eropah 1992 dan 2006, mengambil giliran menguasai perlawanan selepas United menguasainya di sepanjang 10 minit pertama babak awal.

Pada awal perlawanan, United memperoleh peluang gol menerusi sepakan bebas Ronaldo yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Barcelona Victor Valdes namun Park Ji-sung gagal tiba tepat pada masanya untuk menyambar bola yang terlepas.

Ronaldo menghidupkan penjuru kanan United sehinggalah Barcelona menjaringkan gol pertama dengan Eto’o mempamer gerakan menarik, mengawal bola dengan kemahirannya menewaskan penjaga gol United.

Selepas mendapat gol pertama, Barcelona mengawal permainan dan setiap gerakan United kerap dapat dipatahkan oleh kelab Catalan itu.

PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson kelilhatan hampa
selepas melihat pasukannya kalah di tangan Barcelona 2-0 di Stadium Olimpik awal pagi tadi


Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson(gambar) enggan memberikan sebarang alasan selepas pasukannya kalah kepada Barcelona sebaliknya berkata kelab Sepanyol itu selayaknya menjadi pemenang pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome awal pagi tadi.

Gergasi Sepanyol, Barca cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas United yang pada awalnya bermula baik namun bergelut mencari prestasi terbaik di sepanjang perlawanan.

``Saya rasa gol pertama telah membunuh kami, kami bermula cemerlang, namun kami agak gementar selepas itu.

``Kami mempunyai banyak masa, kami mempunyai peluang gol terbaik di babak kedua namun ia adalah adil kerana kami kalah kepada pasukan yang lebih baik.

``Selepas jaringan pertama ia amat menyukarkan kami.

``Mereka bertahan agak baik, kami jangkakan kami mampu menembusi pertahanan mereka, namun kami kecewa,’’ katanya kepada ITV.

Pertahanan United cemerlang musim ini namun goyah sejak awal perlawanan dan kerap terdedah yang menjadi punca dua gol dibolosi.

``Memang malang melepaskan jaringan sedemikian apatah lagi pada peringkat seperti ini, sedangkan pertahanan kami cemerlang musim ini.

``Namun kami menentang pasukan yang bagus dan kami patut memberikan mereka pujian. Xavi dan Iniesta menyekat kami di sepanjang perlawanan. Mereka membuatkan kami sukar,’’ kata Ferguson.

Jaringan kedua menjelma 20 minit menuju masa penamat apabila Messi tiba tepat pada masanya untuk menyambar bola lintang Xavi. - AGENSI


LIONEL Messi meraikan kejayaan menyumbat gol menentang Manchester United awal pagi tadi. - REUTERS

Keputusan akhir UEFA

Pemain-pemain Barca menjulang piala selepas menewaskan MU

Barcelona FC dimahkotakan juara uefa buat kali ke 3, selepas menundukkan MU 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Rome awal pagi tadi. 

Gol-gol Barca dihasilkan menerusi Eto'o (10) dan Messi(70).

p/s: xleh nak tulis panje2, ngantuk plak...

27 Mei 2009

Barcelona vs Manchester United Percaturan veteran, muda ( Ferguson vs Pep Guardiola )





APAKAH ada penamat lain yang lebih menarik buat Liga Juara-Juara Eropah, selain daripada menyaksikan dua kelab besar dan paling popular dalam bola sepak, Manchester United bertemu Barcelona di final?

Perlawanan di Stadium Olimpik Rome itu ibarat pertarungan tinju heavyweight; penyandang juara dan pasukan pilihan, United menentang pasukan paling menyerlah musim ini, Barcelona.

Jika dicampurkan antara kedua-dua pasukan, sudah lima gelaran Eropah yang dikumpul; tiga United dan dua Barcelona. Meskipun ia sekadar menyamai rekod Liverpoo; lima kejuaraan dan dua kurang daripada Real Madrid (tujuh gelaran), namun hakikatnya kedua-dua kelab itu adalah yang terbaik ketika ini.

Corak menyerang yang diamalkan United dan Barcelona turut menjanjikan perlawanan yang mengujakan dan menghiburkan. Jika United meneruskan tradisi kelab Inggeris dengan hantaran-hantaran jauh, Barcelona pula adalah pasukan paling banyak berlari di Eropah.

Barca turun selaku juara Liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol manakala United pula baru mempertahankan gelaran Liga Perdana England dan Piala Liga, menjadikan pertarungan awal pagi ini ibarat 'buku bertemu ruas'.

Kebanyakan peminat berkecuali memilih Barcelona untuk muncul juara kerana ia memberi kepuasan buat mereka, selain menjadikan kejohanan lebih menarik.

Namun bagi pakar, United adalah calon pilihan untuk mempertahankan gelaran kerana pengalaman yang dimiliki, selain muslihat yang terselindung di sebalik percaturan jurulatihnya, Sir Alex Ferguson.

Ferguson, 67, yang tiba di Old Trafford hampir 23 tahun lalu punya pengalaman luas untuk mencari taktik dan strategi bagi memerangkap Barca, yang dibimbing jurulatih muda berusia 38 tahun, Pep Guardiola.

Melihat statistik Barcelona, kelab Catalan itu dijangka mendominasi tengah padang dan mengawal bola lebih lama, sama seperti yang dilakukan ketika menentang Chelsea di Nou Camp.

Namun, United telah belajar daripada dua saingan separuh akhir Barca ketika menentang Chelsea. Xavi Hernandez, Andreas Iniesta dan Lionel Messi diberi banyak ruang untuk mengawal bola, namun langkah mereka tersekat sebaik menghampiri kubu lawan.

Empat tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand, John O'Shea, Patrice Evra dan Nemanja Vidic cukup berpengalaman untuk mematahkan gerakan rangkaian serangan Barca; Lionel Messi, Thiery Henry dan Samuel Eto'o.

Pada ketika Ferdinand bakal memegang tanggungjawab mengekang Eto'o, Evra pula berperanan mengawal penyerang licik yang dalam proses menjadi Pemain Terbaik Dunia, Messi.

Ferguson mempunyai pilihan untuk menurunkan Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez dalam jentera serangannya.

Yang pasti, Ronaldo dan Rooney tidak mungkin tercicir daripada kesebelasan utama. Tanpa dua tonggak pertahanan yang digantung, Eric Abidal dan Daniel Alves, pemain veteran Brazil, Sylvinho mungkin berperanan mengekang Ronaldo.

Dengan faktor umur yang melewati 35 tahun, stamina Sylvinho mungkin sukar untuk menandingi kelincahan bintang Portugal itu, yang bakal diletak di sayap kiri, posisi yang akan menjadi kekuatan utama Red Devils.

Satu lagi kelebihan United, sesuatu yang sudah lama disedari, betapa kelab-kelab Sepanyol cukup benci dengan permainan fizikal kelab Inggeris.

Apa pun, pengalaman menentang Chelsea di separuh akhir, malah kalah kepada United pada separuh akhir tahun lalu, meletakkan Barca dalam situasi lebih bersedia.

Jika mereka mampu bermain bijak; tidak bergantung kepada fizikal semata-mata, dan mampu memaksimumkan kekuatan utama - trio Messi, Henry dan Eto'o - tiada sebab mengapa Barcelona tidak mampu menjulang Piala Eropah buat kali ketiga selepas kemenangan pada 1992 dan 2006.

Kombinasi Messi, Henry dan Eto'o telah menghasilkan lebih 100 gol musim ini, rekod yang cukup digeruni. Berita bahawa Henry sudah pulih dan sedia diturunkan dalam kesebelasan utama, pasti menggerunkan United.

Biarpun kehilangan Alves dan Abidal, ia tidak banyak menjejaskan pasukan kerana kedua-dua pemain itu tidaklah begitu menyumbang kepada gerakan serangan Barca.

Malah, fakta bahawa Messi lebih menyerlah berbanding Ronaldo sepanjang musim ini turut memberi keyakinan buat Barca, serangan mereka mampu lebih menyengat daripada kelab Inggeris itu.

Kelemahan utama United yang sedia dihukum Barcelona adalah pertahanan kanannya. Sama ada slot diberi kepada O'Shea, pemain remaja, Rafael Da Silva atau pemain veteran, Gary Neville, ia tetap posisi yang bakal menjadi lubuk serangan Barcelona.

Dengan Ronaldo sering keberatan untuk membantu benteng dan mudah kehilangan bola, pemain-pemain Barca punya banyak peluang untuk menyusup ke kubu lawan melalui sayap terutama menerusi gerakan Iniesta dan Henry.

Menyedari kudrat Silvinho mungkin tidak cukup kuat untuk mengekang Ronaldo, Guardiola dijangka memilih Yaya Toure untuk mengawal sayap Portugal itu.

Walaupun posisi asal Toure adalah pemain tengah, namun adik kepada pertahanan Arsenal, Kolo Toure itu bakal bertukar peranan untuk mengawal Ronaldo. Sudah tentu, dia sudah mendapat banyak tips daripada abangnya yang berpengalaman menentang United di separuh akhir. - Ihsan Utusan

Kelantan bangkit di Bukit Jalil


PEMAIN Terengganu, Abd Manaf Mamat (kanan) berebut bola dengan pemain Johor FC, Md Nurul Azuwan Roya pada saingan Liga Super di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Terengganu menang 3-2.

Hajat Kedah catat tiga mata tidak kesampaian tewas 1-0 kepada Perak

PERAK meraih kemenangan semangat bagi menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut untuk bangkit bagi mengaibkan pasukan di tangga keempat, Kedah 1-0, keputusan yang nyata melegakan jurulatih M Karathu.

Kata-kata semangat di bilik persalinan, nyata membangkitkan semangat pemain Perak apabila berjaya berada di depan pada minit ke-47 menerusi gol Razali Umar Kandasamy.

Dia yang tidak dikawal, berjaya mencuri bola daripada kaki Mohd Sabri Md Abu sehingga memaksa penjaga gol Kedah, Md Helmi Eliza Alias, meninggalkan gawang. Tapi Razali bijak menguis bola ke gawang.

Walaupun corak permainan anak buah Azrai Khor Abdullah lebih tersusun, barisan Perak kental bertahan sehingga wisel penamat. Keputusan itu menyaksikan Kedah kekal di tangga keempat Liga Super dengan 31 mata dan Perak mengumpul 23 mata.

Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu yang disuntik semangat selepas mengaibkan Perlis, Sabtu lalu, menjadikan Johor FC sasaran mereka apabila menundukkan pelawat 3-2.

Terengganu bermula garang dan gol yang dinanti hadir pada minit ke-32 apabila Ashaari Shamsudin yang menerima hantaran daripada Manaf Mamat, meledakkan bola ke gawang menggunakan kaki kirinya, menewaskan penjaga gol Johor FC, G Jeevanathan.

Kegirangan tuan rumah tersentak menjelang tamat separuh masa apabila Eddy Helmi Abdul Manan, yang tidak dikawal, mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Md Shabinee Allawee pada minit ke-36.

Ashari bermain cemerlang malam tadi untuk mencatatkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 90, manakala gol kedua Johor FC dijaringkan Md Azizan Baba pada minit ke-68.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelantan menghapuskan badi lima kekalahan berturut-turut apabila menewaskan KL Plus 1-0 hasil jaringan Zairul Fitri pada minit ke-35 bagi mencatat kemenangan pertama di 'rumah baru' mereka selepas dilarang beraksi di Stadium Sultan Mohd IV. -Ihsan Bharian

Penyokong Kelantan terima apa jua keputusan

Perbuatan yang tidak bermoral segelintir penyokong Kelantan
padahnya diterima oleh seluruh rakyat Kelantan.


KUALA LUMPUR - Dua kelab penyokong bola sepak pasukan Kelantan bersedia untuk menerima dan menyokong apa jua keputusan yang bakal diputuskan mesyuarat Majlis Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini, sama ada menarik diri atau meneruskan baki saingan Liga Super.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berkata, seboleh-bolehnya mereka tidak mahu Kelantan yang baru dinobatkan sebagai naib juara Piala FA 2009 menarik diri.

"Ini kerana jika perkara itu berlaku ia amat merugikan terutamanya dari segi pembangunan bakat-bakat muda yang ada di Kelantan.

"Jalan penyelesaian masih belum tertutup sepenuhnya kerana mungkin boleh mengajukan terus masalah ini kepada presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah," katanya lagi.

Beliau berkata, apa pun, pihaknya tetap berpendirian untuk menyokong penuh apa juga keputusan yang akan dibuat oleh KAFA, yang turut disokong oleh pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Mohd. Yahya Jamada Ali.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang KAFA jika hasrat menarik diri diteruskan juga," kata Mohd. Yahya ketika dihubungi.

Tambah beliau, pihaknya tidak mahu melihat kisah lama berulang kembali iaitu KAFA terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya akan memusnahkan pasukan itu sendiri.

"Kemeriahan bola sepak tempatan akan hilang serinya tahun ini kerana persembahan Kelantan merupakan salah satu faktor yang menjadikannya lebih menarik terutamanya daripada sokongan peminat," katanya. - Ihsan Utusan

Api perjuangan Kelantan terus menyala

Kesungguhan pemain kelantan untuk
memburu kemenangan akhirnya termakbul.


KUALA LUMPUR - Kelantan akhirnya menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan apabila menundukkan KL PLUS 1-0 dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Gol tunggal Zairul Fitree Ishak pada babak pertama cukup untuk menggembirakan kira-kira 300 penyokong skuad Wira Merah itu, yang amat mengharapkan kemenangan selepas dilanda pelbagai masalah akibat hukuman yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, aksi kedua-dua pasukan pada 10 minit pertama berlangsung hambar dengan bola banyak berlegar di tengah padang dan sesekali menyaksikan cubaan liar dari rangkaian serangan masing-masing.

Sehingga di minit ke-20 apabila penyerang Kelantan, Che Hishamuddin Hassan yang saling bertukar hantaran dengan Indra Putra Mahayuddin melakukan rembatan dalam petak penalti, namun penjaga gol KL PLUS, Razi Effandi Suhit berjaya menepis bola keluar.

Kelantan memperolehi gol pertama pada minit ke-34 apabila pertahanan kiri, Zairul melakukan sepakan voli dari luar kotak penalti selepas pertahanan KL PLUS cuba mengeluarkan bola sepakan percuma Mohd. Zamri Ramli.

Nasib Kelantan tidak menentu


IMBAS KEMBALI... Segelintir penyokong Kelantan menterbalikkan trak polis sebelum membakarnya di pekarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV pada 7 April lalu.


NASIB pasukan Kelantan sama ada akan meneruskan baki saingan Liga Super bagi musim 2009 atau sebaliknya masih belum diputuskan.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan mesyuaratnya dalam masa terdekat bagi memutuskan perkara tersebut.

Terdahulu, Kafa mengancam untuk menarik diri daripada meneruskan baki saingan Liga Super musim ini ekoran pelbagai masalah.

Tidak cukup dengan penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, perjalanan jauh yang memenatkan serta kerugian RM30,000 yang ditanggung ekoran terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menambahkan lagi derita skuad Wira Merah itu.

Malah, lima kekalahan berturut-turut yang dialami seolah-olah memburukkan lagi situasi Kelantan yang kini jatuh ke tangga ketujuh liga.

Ketika semua peminat setia pasukan dari Pantai Timur itu berdebar-debar menanti keputusan yang bakal dibuat oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, namun masih ada beberapa pihak yang masih mengharapkan sedikit keajaiban.

Dua kelab penyokong bola sepak Kelantan semalam telah menyuarakan kesediaan mereka untuk menerima dan menyokong apa jua keputusan yang bakal diputuskan Kafa nanti.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berharap skuad Wira Merah yang baru dinobatkan sebagai naib juara Piala FA 2009 baru-baru ini tidak akan menarik diri.

"Jangan tarik diri kerana jika perkara ini berlaku, ia amat merugikan terutama dari segi pembangunan bakat- bakat muda yang ada di Kelantan," katanya semalam.

Marhashim berkata, pihaknya akan meminta Kafa sekali lagi cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang menjadi punca utama kepada isu penarikan ini.

"Jalan penyelesaian masih belum tertutup sepenuhnya kerana rayuan mungkin boleh diajukan terus kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, walau apa pun keputu- sannya, pihaknya tetap akan memberi sokongan penuh kepada Kafa di mana turut disokong oleh Pengerusi Kelab Penyokong Bola sepak Kelantan, Mohd. Yahya Jamada Ali.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang Kafa jika hasrat menarik diri diteruskan juga," kata Mohd. Yahya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu melihat kisah lama berulang kembali di mana Kafa terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya akan memusnahkan pasukan itu sendiri.

"Kemeriahan di dalam bola sepak tempatan akan hilang serinya pada tahun ini kerana persembahan Kelantan merupakan salah satu faktor yang menjadikannya lebih menarik terutama dari segi sokongan peminat," katanya.

Kosmo

26 Mei 2009

Tengku Muhammad Faris dilantik Pemangku Raja

Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja mulai semalam sehingga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sembuh daripada gering.

Pelantikan itu bagi membolehkan Tengku Muhammad Faris menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias mengumumkan perkara tersebut pada sidang akhbar ringkas di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, pelantikan putera sulung baginda itu berkuat kuasa serta-merta semalam sehingga Tuanku Ismail sembuh.

Ia diputuskan oleh Majlis Perajaan Negeri yang bermesyuarat petang semalam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim.

‘‘Majlis Perajaan bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja semasa Tuanku Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Kelantan gering sehingga tidak boleh menjalankan tugas,” katanya.

Biarpun stabil, Sultan Kelantan masih belum pulih sepenuhnya dan dihantar ke Hospital Mt. Elizabeth, Singapura untuk menerima rawatan lanjut bermula semalam.

KL Plus mahu kecewakan Kelantan


PEMAIN KL Plus, Mohammad Ab. Aziz Ismail tersungkur selepas diasak kapten Kelantan, Badhri Radzi (kanan) pada perlawanan Liga Super, Sabtu lalu.


PASUKAN berstatus kelab, KL Plus bersedia menambah episod kekalahan Kelantan apabila kedua-dua pasukan itu kembali berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Pengurus KL Plus, Husni Md. Yusof berkata, setelah menewaskan Kelantan 2-0 juga pada saingan Liga Super, Sabtu lalu, bari- sannya kini berkeyakinan tinggi untuk mengulangi kejutan.

"Moral pemain-pemain kini sangat tinggi untuk meneruskan rentak kemenangan, sekali gus meraih tiga mata lagi walaupun sedar Kelantan merupakan sebuah pasukan yang bagus," kata Husni semalam.

Untuk rekod, perlawanan antara kedua- dua pasukan sepatutnya berlangsung pada 3 Januari lepas sebagai perlawanan pertama.

Namun, ia terpaksa dibatalkan setelah Kelantan didakwa gagal menyediakan venue yang baik di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Ekoran itu, Persatuan Bola Sepak Malay- sia (FAM) bertindak memberikan kemena- ngan percuma 3-0 berpihak kepada KL Plus sebelum menarik balik keputusan tersebut.

Kelantan dilihat mula kehilangan taring selepas tewas lima perlawanan berturut-turut.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada keletihan pemain-pemain yang terpaksa melalui perjalanan jauh akibat penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Mengenai spekulasi skuad Wira Merah itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Husni berkata, pihaknya yang meminta siasatan dilaku- kan.

"Perkara itu disiasat SPRM sejak sebulan lepas dan setakat ini belum ada apa-apa mengenainya dan kita cuba melihat perkara ini dari sudut positif," katanya.

KL Plus yang dibimbing oleh Mat Zan Mat Aris kini menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan hanya mencatatkan lima kemenangan daripada 16 perlawanan yang diharu- ngi.

kosmo

25 Mei 2009

Ancaman KAFA Seperti Bunuh Diri, Kata Raja Bola

Datuk Abdul Ghani Minhat

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengancam untuk menarik diri daripada meneruskan 11 baki perlawanan Liga Super musim ini diibaratkan sebagai perbuatan membunuh diri.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat (gambar) yang melihat ugutan KAFA itu akan memberi kesan kepada negara dan pemain Kelantan khususnya.

"Secara tidak langsung, tindakan itu akan membunuh bakat-bakat baru yang ada di negeri itu terutamanya apabila kita bercakap mengenai aspek pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata jika keadaan itu berlaku, pemain muda sudah tidak ada matlamat untuk meneruskan permainan bola sepak malah akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan kerana Kelantan sememangnya melahirkan pemain berbakat sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga digelar sebagai 'Raja Bola' berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu menggunakan budi bicara dalam menangani isu penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV itu.

FAM menggantungkan stadium itu sebagai gelanggang sendiri KAFA bermula 9 April berikutan insiden rusuhan penyokong menyebabkan KAFA menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

"Mungkin FAM boleh mengenakan beberapa syarat tambahan seperti jaminan keselamatan daripada KAFA agar rusuhan penonton tidak berulang," katanya.

Beliau berkata jika hendak diteruskan juga larangan itu mungkin Kelantan boleh bermain di tempat yang lebih dekat seperti di Terengganu di mana perjalanannya hanya mengambil masa dua atau tiga jam sahaja.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan berkata persatuan itu menimbang untuk menarik diri daripada meneruskan saingan Liga Super berikutan penggantungan stadium itu.

Anuar berkata terdapat dua pilihan yang dirancang iaitu Kelantan akan terus beraksi dalam baki saingan Liga Super dengan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah tetapi terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan.

Pilihan kedua pula Kelantan akan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi mengekalkan pasukan sedia ada untuk mengadakan perlawanan amal mencari dana kewangan bagi membolehkan mereka kembali beraksi pada saingan Piala Malaysia yang bermula Oktober ini.

Khamis lepas, FAM menerusi jawatankuasa rayuannya telah menolak rayuan KAFA terhadap penggantungan stadium itu.

Sumber : BERNAMA.COM

EPL: Newcastle, Boro West Brom terkeluar


PEMAIN Hull, Andy Dawson (kiri) menarik pemain United, Nani dalam saingan EPL di Stadium KC, malam tadi.

LONDON: Dua gergasi - Liverpool dan Chelsea - masing-masing merakamkan kemenangan, malam tadi untuk menduduki tempat kedua dan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari yang menyaksikan dua pasukan - Newcastle dan Middlesbrough sah tersingkir ke liga bawah, musim depan.

Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 di gelanggang sendiri untuk mengesahkan diri selaku naib juara di belakang Manchester United manakala Chelsea menewaskan Sunderland 3-2 dengan lawan mereka itu menguntum senyuman terselamat untuk kekal dalam liga elit.

Apapun, hari yang malang pasti terarah kepada Newcastle yang tewas kepada Aston Villa gara-gara jaringan sendiri oleh Damien Duff pada minit ke-38.

Hull City yang tewas 1-0 kepada United di tempat sendiri melonjak riang selepas mendengar keputusan kekalahan Newcastle bagi menjamin tempat mereka untuk kekal semusim lagi dalam EPL.

Newcastle yang sudah 16 tahun beraksi dalam liga elit kini akan menyertai Middlesbrough yang tewas kepada West Ham 1-2 dan West Bromwich ke liga Championship, musim depan.

Dalam perlawanan lain yang kurang bermakna, Arsenal membelasah Stoke City 4-1, Everton menewaskan Fulham 2-0, Wigan mengatasi Portsmouth 1-0 dan Manchester City menewaskan Bolton 1-0. - Agensi

Annuar Musa makin bingung



KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau kini serba salah berikutan keputusan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengekalkan penggantungan Stadium Sultan Muhammed IV sebagai gelanggang sendiri sehingga tamat musim ini.

"Keadaan ini membuatkan saya berada di dalam keadaan serba salah dengan apa yang perlu dilakukannya tetapi saya akan berjumpa dengan semua pihak seperti pemain-pemain, pengurusan pasukan dan kelab penyokong bagi berbincang.

"Namun keputusan akhir mengenai tindakan seterusnya hanya akan diketahui pada mesyuarat Majlis KAFA yang akan diadakan pada Rabu ini," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, antara pilihan yang mungkin terpaksa dibuat oleh KAFA adalah menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan Liga Super.

Ini berikutan keputusan FAM yang mengekalkan hukuman penggantungan stadium itu sejak 9 April lepas kerana insiden rusuhan penyokong walaupun KAFA telah merayu sekali gus terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah ketika ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak untuk mengajukan masalah itu terus kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Annuar berkata, adakah itu sistem yang diamalkan setiap kali masalah timbul.

"Apa yang saya tahu, kita perlu mengikut sistem yang telah ditetapkan. Jadi mengikut peraturan jika sesuatu hukuman dikenakan adalah dibenarkan membuat rayuan," katanya.

Mengenai kekalahan kali kelima berturut-turut Kelantan dalam saingan Liga Super, Annuar berkata perkara itu telah diduga.

"Kita terpaksa melakukan perjalanan jauh yang memenatkan, kadang-kadang latihan tidak dapat dibuat malah terpaksa berbelanja untuk penginapan dan sebagainya," katanya.

Annuar berkata, beliau yakin jika dibenarkan kembali bermain di Stadium Sultan Muhammed IV, pemain-pemain Kelantan akan kembali bangkit dan bersemangat di hadapan penyokong tempatan.

Episod kekalahan naib juara Piala FA 2009 itu pada aksi Liga Super bermula awal bulan ini apabila tewas kepada Negeri Sembilan (2-0), Johor FC (2-1), Perlis (2-0), Perlis (2-1) dan KL Plus 2-1. - BERNAMA

Presiden Kafa serba salah

PRESIDEN Persatuan Bola sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mengakui, beliau kini serba salah berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sehingga tamat musim ini.

"Keadaan ini membuatkan saya berada di dalam keadaan serba salah dengan apa yang perlu dilakukannya tetapi saya akan berjumpa dengan semua pihak seperti pemain-pemain, pengurusan pasukan dan kelab penyokong bagi berbincang.

"Namun keputusan akhir mengenai tindakan seterusnya hanya akan diketahui pada mesyuarat Majlis Kafa yang akan diadakan pada Rabu ini," katanya kelmarin.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata antara pilihan yang mungkin terpaksa dibuat oleh Kafa adalah menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan Liga Super.

Ia berikutan keputusan FAM yang mengekalkan hukuman penggantungan stadium itu sejak 9 April lepas kerana insiden rusuhan penyokong walaupun Kafa telah merayu sekali gus terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah ketika ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak untuk mengajukan masalah itu terus kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Annuar menjawab: "Adakah itu sistem yang diamalkan setiap kali masalah timbul.

"Apa yang saya tahu, kita perlu mengikut sistem yang telah ditetapkan. Jadi mengikut peraturan jika sesuatu hukuman dikenakan adalah dibenarkan membuat rayuan," katanya.

Mengenai kekalahan kali kelima berturut-turut Kelantan dalam saingan Liga Super malam kelmarin, Annuar berkata, perkara itu telah diduga.

"Kita terpaksa melakukan perjalanan jauh yang memenatkan, kadang-kadang latihan tidak dapat dibuat malah terpaksa berbelanja untuk penginapan dan sebagainya," katanya.

Annuar berkata, beliau yakin jika dibenarkan kembali bermain di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, pemain-pemain Kelantan akan kembali bangkit dan bersemangat untuk bermain di hadapan penyokong tempatan.

Episod kekalahan naib juara Piala FA 2009 itu pada aksi Liga Super bermula awal bulan ini apabila tewas kepada Negeri Sembilan (2-0), Johor FC (2-1), Perlis (2-0), Perlis (2-1) dan KL Plus 2-1.

Sumber : Kosmo Online

24 Mei 2009

Merah Kuning rampas persada Liga Super

PEMAIN Selangor, Safee Sali (kiri) cuba dihalang pemain Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Singa Utara gagal pertahan posisi selepas tewas di Kangar

PENGUASAAN Perlis di persada Liga Super akhirnya terungkai ekoran kekalahan di gelanggang sendiri ketika pesaing utama, Selangor, bergembira di Shah Alam, malam tadi.

Di Stadium Utama, jaringan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-74 membolehkan Terengganu menggamamkan lawan apabila gerakan solonya dari tengah terus ke kawasan penalti sebelum disudahkan dengan rembatan ke sasaran.

Ketika Perlis meningkatkan usaha menyerang buat mencari gol penyamaan, kealpaan benteng dihukum gol Abdul Manaf Mamat pada penghujung masa kecederaan untuk Terengganu pulang membawa kemenangan 2-0.

Perlis kini kekal dengan 38 mata, dipintas Selangor yang memiliki 40 mata selepas bangkit menundukkan Kedah hasil kejayaan 3-1 di Stadium Shah Alam.

Kedah bagaimanapun lebih awal mendahului menerusi jaringan Fauzi Shaari pada penghujung babak pertama sebelum Amri Yahyah mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-56.

Rudie Ramli kemudiannya menjelmakan gol pendahuluan Selangor pada minit ke-67 sebelum Amirulhadi Zainal melengkapkan kemenangan menerusi jaringan ketiga, tiga minit sebelum tamat.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan membelasah Pulau Pinang 5-1 untuk memintas Kedah di tangga ketiga. Johor FC turut menang besar, 4-0 mengatasi Pahang ketika KL Plus membenam Kelantan 2-0.

Di Stadium Darulaman, KM Naza berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak ketika pertembungan UPB MyTeam dan Polis di Stadium Petaling Jaya, berakhir seri tanpa jaringan.

Credit:Bharian

Terengganu juara MSSM 2009

Kelantan berpuashati di tempat Kedua

KUALA LUMPUR - Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 selepas menamatkan saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11-7-1 dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11-5-8.

Pelari jarak sederhana, Nik Hafiz Nik Mohamad dari Kelantan dinobatkan sebagai Olahragawan manakala peserta jalan kaki, Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak dipilih sebagai Olahragawati MSSM 2009.

Nik Hafiz mencipta rekod kejohanan dalam acara 800m dan memenangi emas acara 1,500m dalam kategori bawah 18.

Pada saingan semalam, Nur Aisyah mencipta rekod dalam acara 3,000m jalan kaki perempuan bawah 15 dengan catatan masa 14:59.59s mengatasi rekod 15:18.38s yang dipegang Nur Suhila M. Rusni pada tahun 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menyampaikan piala pusingan tajaan Nestle kepada Terengganu dan mengumumkan bahawa negeri itu akan menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun depan.

"Berdasarkan prestasi atlet sepanjang menjalani latihan, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dan kami akan cuba mempertahankan gelaran ini di gelanggang sendiri tahun depan," kata Ketua Kontinjen Terengganu, Mohd. Azmy Zakaria.

Sementara itu, empat lagi rekod kejohanan dicipta pada hari terakhir kejohanan yang menyaksikan atlet Terengganu mencipta dua daripadanya.

Pelari pecutnya, Harith Ammar Mohd. Sobri, pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu, berjaya memecahkan rekod acara 200m bawah 15 tahun dengan catatan masa 22.50s bagi memadamkan rekod 22.58s oleh Muhd. Ajmal Aiman juga dari Terengganu tahun lepas.

"Saya berasa sungguh bertuah dan sangat bersyukur kerana dapat memenangi emas dan pada masa sama dapat memperbaharui rekod kejohanan selepas gigih menjalani latihan selama dua tahun," katanya.

Kejayaan yang diperolehinya pada kejohanan kali ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kerana tidak dapat beraksi pada dua kejohanan yang sama akibat kecederaan hamstring.

Sebelum tirai kejohanan dilabuhkan, kuartet 4x400m Terengganu turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 3:21.66s untuk memadamkan rekod yang dipegang kuartet Johor iaitu 3:21.79s pada tahun lepas.

Peserta Sabah, Jvan De Jvender Johwas berjaya mengatasi rekod dalam acara lompat kijang lelaki bawah 15 tahun selama lapan tahun dengan lompatan sejauh 14.26m.

"Saya hanya sasarkan untuk menyamai jarak yang saya lakukan pada MSS Sabah tetapi saya tidak menyangka saya dapat mencatat jarak lompatan mencapai 14 meter," katanya.

Jven, berjaya membuat lompatan untuk memadamkan rekod terdahulu 14.20m yang dipegang Mohd. Marzuki Abdul Samah. - BERNAMA

Ronaldo, Messi penentu kejuaraan

BARCELONA – Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique merasakan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi akan menjadi penentu kemenangan kelab masing-masing pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

‘‘Mereka pemain yang sukar disekat, anda boleh mencuba pelbagai cara namun mereka memiliki sesuatu yang berlainan.

‘‘Saya amat mengenali Ronaldo, namun dia boleh mengejutkan anda. Kedua- duanya pemain yang menakjubkan, jika Ronaldo bijak menggunakan helah untuk melepasi seseorang, Messi pula hanya dengan tiga gerakan dapat melepasi tiga pemain,’’ kata bekas pemain pertahanan United itu.

Pique menghabiskan lapan tahun di akademi remaja Barcelona bersama Messi dan ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas sebelum berpindah ke Old Trafford pada 2004.

Namun, pertahanan tengah kelahiran Catalan itu bergelut untuk memberi impak di Manchester dan kembali ke Barcelona dengan perjanjian yang dilaporkan sebanyak 6 juta pound (RM33.334 juta)

Ia ternyata satu urusniaga yang baik buat United, yang mendapatkan pemain itu secara percuma namun sejak itu, pemain berusia 22 tahun itu mempamer peningkatan.

Pique menjadi sebahagian daripada pemain penting pasukan Barca, berjaya menjulang trofi Piala Raja Sepanyol dan piala liga serta berpeluang menjulang kejuaraan ketiga apabila berdepan United di Stadium Olimpik Rome.

Bagi Pique sememangnya menjadi impian untuk berdepan bekas pasukannya.

‘‘Ia akan menjadi perlawanan penting dalam karier singkat saya dan saya bersedia dengan cara bertenang.

‘‘Saya membantu Barca selagi terdaya dengan acara memberikan maklumat mengenai United. Kami berbincang mengenai cara permainan mereka dan saya juga telah memberitahu apa yang saya rasakan kelemahan mereka.

‘‘Apabila saya kembali ke sini (Barcelona), saya tidak menjangkakan semua ini dan bagi saya ia perlawanan yang istimewa,’’ katanya.

Beraksi pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara merupakan kemuncak kepada musim gemilang Pique, yang pada awalnya menjangkakan dia akan menghabiskan masa di bangku simpanan sementara menunggu peluang.

Walaupun cedera, dia beraksi sejak awal musim dan dia juga membuat kemunculan sulung bersama pasukan kebangsaan Sepanyol.

Jaringannya ketika kemenangan bersejarah 6-2 ke atas musuh tradisi Real Madrid membantu dia menjadi pemain pilihan peminat malahan ketua pasukan, Carles Puyol tidak diturunkan pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Chelsea.

‘‘Memang benar ia merupakan satu kesalahan jika meminta lebih daripada apa yang sepatutnya, ini musim pertama saya di Barca, saya pernah mewakili pasukan remaja dan saya membesar di sini dengan mengetahui falsafah kelab ini. Ini menjadikan saya lebih mudah,’’ katanya.

‘‘Saya gembira di United namun kembali ke Barca sesuatu yang hebat kerana di sini asal saya dan ini pasukan saya.

‘‘Anda boleh bermain untuk kelab lain dan memberikan yang terbaik namun ia tidak akan sama dengan pasukan asal anda, pasukan di mana anda membesar,’’ katanya. – AFP

21 Mei 2009

Tarik diri : Keputusan paling sukar tapi wajar

Setelah mengalami empat kekalahan berturut-turut selepas perlawanan Piala Fa yang turut menemui kegagalan pengurusan kelantan perlu berfikir panjang samaada ingin meneruskan baki liga super atau ‘memberikan kemenangan percuma’ kepada pasukan-pasukan lain.

Presiden KAFA menyatakan bayangan Kelantan akan menarik diri dari liga super tahun ini jika keadaan berterusan,satu tindakan yang bijak kerana KAFA tidak perlu menanggung hutang pembayaran gaji pemain yang semestinya akan membawa masalah yang lebih besar seperti tahun-tahun lepas.

Ini bukanlah satu ugutan kepada badan induk bolasepak Malaysia iaitu FAM tetapi hakikat sebenar yang terpaksa ditanggung oleh mana-mana persatuan bolasepak dunia apabila kantung mereka disekat dengan tidak membenarkan perlawanan diadakan di gelanggang sendiri.

FAM adalah badan bolasepak yang telah lama ditubuhkan untuk memajukan bolasepak tetapi sejak akhir-akhir ini banyak keputusan yang dibuat oleh FAM tidak menunjukan kematangan badan induk tersebut dan ternyata berat sebelah serta tidak profesional.

Kita bukanya hendak menyalahkan FAM seratus peratus tapi hukuman yang dikenakan agak berat seolah-olah ingin membunuh kerjaya pemain-pemain Kelantan serta pihak pengurusan KAFA.

Pengantungan hingga akhir musim adalah tindakan yang amat berat dan tidak boleh diterima oleh rata-rata peminat setia Red Warriors.

Kita menyedari kesalahan penyokong Kelantan yang merusuh dengan membakar kenderaan Polis dan awam adalah jenayah berat tetapi tindakan tersebut bukanlah di lakukan oleh peminat-peminat setia Kelantan tetapi segelintir golongan yang memang tidak bertamadun serta tidak sayangkan bolasepak Kelantan.

rusuhan121

Kenderaan polis yang dibakar segelintir penyokong kelantan yang tidak bertamadun

Oleh itu sebelum apa yang lebih parah menimpa pasukan Kelantan tindakan Tan Sri Annuar Musa membayangkan The Red Warriors akan menarik diri dari baki liga super tahun ini adalah wajar walaupun sukar untuk di lakukan.

Kepada peminat setia Kelantan kita berundur bukan berti kita pengecut kita berundur kerana kita tidak diperlakukan seadil-adilnya…

The Red warriors

MSSM: Kelantan kejutkan gergasi


AMIR Fakri (kanan) menewaskan Vinoth Sreedharan (kiri) untuk memenangi acara 400m di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.

KELANTAN membuat kejutan pada hari pertama kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), mengatasi kuasa-kuasa besar seperti Sarawak dan Selangor untuk mengetuai senarai pungutan pingat dengan lima emas, dua perak dan satu gangsa.

Negeri Pantai Timur itu mengungguli acara jarak sederhana 1,500 meter apabila meraih dua emas dalam acara perempuan 15 tahun dan lelaki 18 tahun masing-masing menerusi Nik Norzilawatie Nik Wil dan Nik Hafiz Nik Mohamad.

Satu emas dirangkul dalam jarak sederhana 400m lelaki 18 tahun oleh Muhamad Amir Fakri Ismail dengan baki dua emas dibawa pulang Bibi Nurashah Ishak dalam acara lempar cakera 15 tahun dan Wee Ai Yin dalam lompat tinggi perempuan bawah 12 tahun.


Pungutan itu yang mengatasi Terengganu di tempat kedua dengan 4-2-4 jelas sesuatu yang tidak dijangkakan kem Kelantan sendiri memandangkan negeri itu serba kekurangan dalam kemudahan latihan.

"Kami hanya mensasarkan tujuh atau lapan emas saja, lebih daripada itu adalah bonus. Kelantan sendiri tidak mempunyai kemudahan seperti trek larian dan kejohanan," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Olahraga Kelantan, Tan Voon Seng.

Jiran mereka, Terengganu pula tidak akan duduk diam dengan mereka kini bersedia menggempur dua acara riben biru, 100m lelaki dan perempuan 15 tahun yang bakal diadakan hari ini.

"Kami meletakkan harapan ke atas Harif Harma yang memiliki catatan peribadi, 10.9 saat dalam acara lelaki dengan Herma Nurul Ain menjadi sandaran kami dalam acara perempuan dengan catatan peribadi 12.9s," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Terengganu, Mohd Ariff Awang.- Ihsan BHarian

Shakhtar juara Piala UEFA



Presiden Kafa serba salah
ISTANBUL: Jaringan pemain Brazil, Jadson pada masa tambahan membolehkan Shakhtar Donetsk menang 2-1 ke atas Werder Bremen dalam perlawanan akhir Piala UEFA Cup, awal pagi tadi.

Ia malam bersejarah bagi Shakhtar kerana menjadi kelab pertama dari Ukraine menggondol kejuaraan Eropah itu.

Rembatan kencang Jadson pada minit ke-97 itu mengelirukan penjaga gol Werder, Tim Wiese dan menjadi gol kemenangan Shakhtar selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 seleps tamat 90 minit permainan.

Sebelum ini, penyerang Brazil, Luiz Adriano membuka jaringan awal pada minit ke-25 selepas memperoleh peluang hasil kesilapan penjaga gol Werder, Andriy Pyatov.

Werder kemudian bangkit dan pada minit ke-35 apabila Naldo memperoleh jaringan penyamaan. - AFP

Kafa tak sanggup tanggung kerugian



Itu dilema Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak digantung beraksi di tempat sendiri Stadium Sultan Mohammad Ke-IV bermula 9 April lalu.

Tiada persatuan yang mahu kantung mereka kering kerana ia akan membunuh bola sepak itu sendiri selain menjejaskan 'periuk nasi' pemain.

Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membayar gaji pemain sekiranya sesebuah persatuan itu tidak mampu membayar gaji mereka?

Skuad bola sepak Kelantan memang tenat ketika ini.

Pendapatan mereka di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV disekat oleh FAM dan akibatnya Kafa terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan.

Kelantan masih ada baki 11 perlawanan Liga Super dan Kafa mendapati mereka akan terus menanggung kerugian berjumlah RM330,000 sekiranya meneruskan saingan sehingga ke penghujung musim.

Menyedari masalah yang dilihat agak tenat itu, Kafa terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu daripada dua opsyen yang mereka rancangkan.

Opsyen pertama, Kelantan akan terus beraksi dalam baki saingan Liga Super musim ini dengan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri tetapi terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan.

Opsyen kedua, Kelantan akan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi mengekalkan pasukan sedia ada untuk mengadakan perlawanan amal mencari dana kewangan bagi membolehkan mereka kembali beraksi pada saingan Piala Malaysia, Oktober depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri membuat pendedahan tersebut pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Nasional malam kelmarin yang menyaksikan Kelantan kalah buat kali keempat berturut-turut, kali ini tewas 1-2 kepada Perlis.

Menurut Annuar, selepas hampir dua bulan menyembunyikan masalah kepada pihak media, dia akhirnya terpaksa meluahkannya juga untuk memastikan orang ramai mengetahui situasi sebenar yang dihadapi pasukan Kelantan ketika ini.

"Kita telah menjalankan kajian menyeluruh. Kita hanya dapat sekitar 5,000 penonton saja pada setiap kali beraksi di Stadium Nasional. Ini bermakna pada setiap perlawanan, kita kerugian RM30,000 termasuklah kos sewa stadium, bas, hotel, makan dan sebagainya.

"Selepas dibuat kira-kira, kantung Kafa akan mengalami defisit RM400,000 pada penghujung musim nanti. Kafa satu-satunya pasukan negeri yang bergantung penuh kepada kutipan tiket," katanya.

KEPUTUSAN sama ada Kelantan akan terus beraksi pada baki saingan
Liga Super akan ditentukan pada 27 Mei ini.


Justeru, Annuar berkata, langkah yang dilihat lebih selamat untuk mengelakkan Kafa terus mengalami kerugian adalah dengan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi dengan cara baik.

"Kita akan buat permohonan tarik diri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sebelum ini kita dah buat rayuan tetapi tidak mendapat simpati mana-mana pihak malah rayuan kami telah pun ditolak FAM.

"Jika kita tarik diri, dalam dua hingga tiga bulan yang ada ini saya akan gunakan untuk merayu kerajaan negeri, individu atau syarikat swasta untuk menaja dari segi kewangan supaya kita dapat kembali beraksi dalam Piala Malaysia," jelasnya.

Annuar berkata, keputusan sama ada Kafa akan memilih opsyen pertama atau opsyen kedua itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Ahli Majlis Kafa pada 27 Mei ini.

Sementara itu, Annuar memberitahu, semua pihak termasuk Ketua Polis Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan persatuan penyokong Kelantan memberi jaminan insiden keganasan penonton pada 7 April lalu tidak akan berulang lagi jika FAM bermurah hati membenarkan semula Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV dalam masa terdekat ini.

"Semua pihak sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanggungjawab memastikan perlawanan diadakan dengan lancar di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

"Lagipun Kelantan merupakan satu-satunya pasukan di dunia yang tidak dibenarkan beraksi di stadium sendiri. Jika ada pun, pasukan lain yang dihukum tetap diberikan beraksi di stadium sendiri tetapi tanpa dihadiri penonton," ujar Annuar. -Ihsan Kosmo