Memaparkan catatan dengan label kosmo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kosmo. Papar semua catatan

17 Feb 2011

Kelantan kekal rekod bersih

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

Ramzul Zahini (kiri) penggempur baru Kelantan yang perlu diberi perhatian.
"SAYA gembira dengan komitmen yang dipamerkan oleh semua pemain."

Demikian luahan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu selepas melihat kejayaan skuad bimbinganya memperoleh tiga mata penuh hasil kemenangan keatas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam kelmarin.Menurutnya, kejayaan tersebut amat bermakna buatnya meskipun barisan pemainya dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut.

Tambahnya, kejayaan tersebut hasil kesungguhan barisan pemainnya yang berjaya mencipta peluang serta berjaya menjaringkan gol pada babak kedua biarpun seakan-akan hilang punca pada separuh masa pertama.

"Percaturan kami pada separuh masa kedua berjaya walaupun kelibat penggempur sensasi kita Norshahrul Idlan Talaha agak terbatas dalam perlawanan tersebut.

"Walaupun Norshahrul dikawal ketat oleh tiga pemain Kuala Lumpur, namun aksi dua lagi rakannya iaitu Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd. Nizab (Ayub) jelas tidak mengecewakan. Kedua-duanya menunjukkan satu permainan yang bagus," katanya ketika ditemui di kota Bharu, semalam.

Jelasnya, beliau turut memuji aksi barisan pemainya yang menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut.

"Ini perlawanan kedua bagi Muhammad Ramzul dan saya fikir sudah ada peningkatan yang beliau pamerkan," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0.

Penyerang muda Kelantan, Ramzul Zahini Adenan muncul wira pasukan apabila jaringanya pada minit ke-46 menjadi titik tolak kebangkitan pasukan selepas mempamerkan aksi hambar di separuh masa pertama.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan semangat barisan pemain The Red Warriors apabila mempamerkan corak menyerang sehingga memaksa Kuala Lumpur lebih banyak bertahan di separuh masa kedua.

Penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan ketajaman penyudah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-87 selepas bijak menyudahkan hantaran pemain sayap kiri, Nurul Azuwan Roya.

Kemenangan ini menyaksikan Kelantan terus selesa dipuncak liga dengan kelebihan tiga mata mengatasi seteru utama Selangor yang berada di kedudukan empat.

13 Feb 2011

Kelantan pimpin liga

KAPTEN Kelantan, Badri Radzi (kiri) melepaskan sepakan ke arah pintu gol Johor FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam tadi.

KELANTAN mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan ketika menewaskan Johor FC 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam tadi.Kejayaan tersebut menyaksikan skuad kendalian M. Karathu itu merampas status pendahulu daripada Negeri Sembilan yang tumpas 0-2 kepada Perak dalam satu lagi perlawanan di Stadium Ipoh.

Begitupun, Kelantan terlebih dahulu dikejutkan Johor FC apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-25 hasil jaringan Mohd. Riduan Ma'on.

Tersentak dengan jaringan tersebut, The Red Warriors terus bangkit dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-29 menerusi Nurul Azwan Roya dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, tuan rumah menunjukkan kehebatan sebenar apabila meledak tiga gol lagi menerusi jaringan sendiri pemain Johor FC, Mohd. Riduan Ma'on pada minit ke-50 sebelum penyerang skuad negara, Norshahrul Idlan Talaha manambah gol ketiga pada minit ke-72 dan Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-77.

Kemenangan ini menyaksikan Kelantan terikat tujuh mata dengan Perak, namun mempunyai kelebihan menerusi perbezaan gol.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, tuan rumah, Pahang tersungkur 1-2 kepada Felda United.

Gol Felda United dijaringkan oleh Liew Kit Kong menerusi sepakan penalti pada minit ke-47 dan sepakan percuma Faderin Kadir (minit ke-59) sementara gol Pahang pula dijaringkan oleh Azamuddin Mohd. Akil pada minit ke-77.

Di Stadium Shah Alam, juara bertahan, Selangor terus gagal mencatat kemenangan kedua apabila diikat oleh Kuala Lumpur 1-1.

Perlawanan lain semalam menyaksikan Harimau Muda A menewaskan T-Team 3-1 sementara Sabah menewaskan Kedah 1-0.

8 Feb 2011

Liga Indonesia sama sahaja - Zolkples

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ada pandangan yang tersendiri berhubung perpindahan penyerang skuad Liga Super Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali ke kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Bagi Zolkples, beliau lebih suka sekira- nya Safee beraksi dalam saingan Liga Jepun ataupun Liga Korea Selatan memandangkan standard liga tersebut lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan Liga Indonesia."Secara peribadi, saya lebih suka jika Safee beraksi bersama salah sebuah kelab di Jepun ataupun Korea Selatan kerana di sana standard liga mereka lebih tinggi jika dibandingkan dengan Indonesia.

"Pasukan kebangsaan Indonesia pun tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Jadi... saya tidak rasa dia (Safee) akan dapat banyak manfaat sekiranya beraksi bersama kelab Indonesia," kata Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Safee dilapor telah disenaraikan bersama-sama penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat bagi menjalani sesi pemilihan beraksi buat salah sebuah kelab di Jepun.

Namun semalam, Safee mengumumkan bahawa dia akan beraksi bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Safee, 27, akan menandata- ngani kotrak selama setahun bersama Pelita Jaya pada Isnin depan.

Bagaimanapun, Zolkples menjelaskan bahawa perpindahan Safee kali ini ada petanda positif terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan menganggap ia seba- gai langkah permulaan untuk pemain-pemain lain mengikut jejak langkahnya.

"Mungkin selepas perpindahan Safee ini, akan ada pula pemain-pemain Malaysia yang lain ditawarkan untuk turut beraksi bersama kelab-kelab di luar negara. Siapa tahu?" ujar Zolkples.

27 Jan 2011

Karathu ganti Sathianathan


TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal menggantikan B. Sathianathan selaku ketua jurulatih The Red Warriors akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Datuk M. Karathu dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru berkuatkuasa semalam.

Annuar memberitahu perkara itu dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen swasta di Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau, Karathu yang merupakan bekas jurulatih skuad Seladang musim 2008-2009 akan mula melatih Kelantan hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.Tugas pertama Karathu musim ini ialah bertemu Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) menyambut baik perlantikan tersebut.

Presidennya, Marhasim Mat berkata, pihaknya menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan yang ada pada jurulatih berkenaan.

"Lagipun beliau pernah membimbing Kelantan pada tahun 1994 dan membantu pasukan kita mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

"Saya berharap beliau dapat meneruskan legasi kejayaan yang telah dibentuk oleh bekas jurulatih Sathianathan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, kelab tersebut meminta penyokong setia The Red Warriors menerima pelantikan tersebut dan percaya bahawa pihak pengurusan telah membuat pilihan yang terbaik untuk pasukan.

Selasa lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000 kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

Dia didapati bersalah kerana memberi kenyataan kepada media berhubung pemilihan stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu. 

Sathianathan memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kelantan pada 23 September 2009 selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas pengendali West Ham United dan Persija Balik Papan, Peter James Butler.

Bersama Kelantan, dia membantu Kelantan melakar sejarah dengan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun.

Oleh Yatimin
Kosmo

24 Jan 2011

Happy penaja utama Kelantan

ANNUAR (kanan) diperkenalkan kepada pemain Kelantan pada majlis menandatangani tajaan di Kota Bharu semalam.

KELANTAN melengkapkan persiapan untuk mengharungi Liga Super musim 2011 dengan mengumumkan penaja-penaja yang akan bersama pasukan itu dengan syarikat jenama prabayar Happy sebagai rakan kongsi dan penaja utama dengan tajaan bernilai jutaan ringgit.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, selain Happy, enam lagi penaja, Al-Hamra Group, TRW Station, Umbro, Al-Jabbar, Sinar Harian dan Yusmira Trading turut bersama-sama memberikan sumbangan dalam usaha mengukuhkan lagi dana The Red Warriors.

Menurutnya, dengan adanya penajaan ini terutama beberapa syarikat yang dipelopori anak jati Kelantan ini mampu menaikkan semangat pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

"Saya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan ini tetapi ia cukup memberi suntikan baru kepada KAFA dan pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk musim baru bola sepak tempatan.

"Happy bukan sekadar penaja utama untuk pasukan Liga Super Kelantan tetapi sebagai rakan kongsi dalam program pembangunan akar umbi bola sepak Kelantan dengan penubuhan pusat, klinik dan karnival bola sepak serta liga bawah umur," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani dokumen penajaan oleh semua penaja selain memperkenalkan jersi Kelantan untuk musim 2011 bersama logo penaja di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu semalam.

2 Jan 2011

KAFA mahu pajak stadium RM10j



ANNUAR (kiri) mempengerusikan mesyuarat agung KAFA kali ke-56 di Kota Bharu semalam.



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat tawaran untuk memajak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV daripada kerajaan negeri itu untuk tempoh 30 tahun dengan nilai RM10 juta.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia membolehkan pihaknya menaik taraf stadium yang agak daif sebelum ini dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai tuan rumah kejohanan peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pajakan tersebut bukanlah bertujuan mengambil alih sepenuhnya pengurusan stadium, sebaliknya hanyalah untuk menaikkan imej bola sepak Kelantan dan negara.

"Jika kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bersetuju, KAFA akan membayar dengan jumlah tersebut.

"Dalam tempoh itu, stadium ini akan berubah wajah daripada apa yang ada sekarang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung KAFA kali ke-56 di Kota Bharu semalam.

Pada mesyuarat itu, Annuar diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawa- tan presiden untuk tempoh tiga tahun lagi manakala jawatan timbalan presiden kini dipegang Datuk Afandi Hamzah.

Annuar yang juga Timba- lan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, FAM sebelum ini pernah meminta PSK bertindak segera menaik taraf kemudahan stadium yang sudah uzur.

Ini kerana, jika tidak FAM boleh mengambil tindakan untuk tidak membenarkan sebarang kejohanan peringkat kebangsaan seperti Liga Malaysia diadakan di stadium tersebut.

Beliau berkata, surat tunjuk minat telah pun dihantar kepada perbadanan berkenaan untuk dipertimbangkan.
"Perbadanan telah pun membalas surat berkenaan yang meminta KAFA memperincikan beberapa perkara lagi bagi dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi.

"Beberapa pihak telah menyatakan persetujuan untuk menjadi rakan kongsi KAFA bagi membantu menaik taraf stadium itu jika kerajaan negeri bersetuju untuk memajaknya," ujarnya.

Sementara itu, KAFA bercadang untuk membuka keanggotaan KAFA kepada peminat seperti yang dilakukan oleh kelab terkemuka di luar negara bagi membantu menaikkan imej persatuan tersebut.

"Kita akan buka keanggo- taan dengan yuran yang paling murah dan dengan ini pelbagai insentif akan diberi selain dapat bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

"Selain itu KAFA akan menubuhkan sebuah syarikat anak miliknya bagi menguruskan pasukan The Red Warriors bagi merealisasikan hasrat membawa sukan tersebut ke tahap lebih profesional," jelasnya.

Tambahnya, dengan adanya syarikat itu nanti, ia membolehkan KAFA menumpukan perhatian membangunkan sukan tersebut di peringkat lain seperti menghidupkan liga peringkat daerah.

Bapa harap Khairul tak lupa diri



KEPULANGAN Khairul Fahmi ke Kota Bharu akan disambut secara besar-besaran pada Isnin ini. 


"JANGAN mudah lupa diri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi potensi yang ada dalam diri untuk terus berjaya pada masa hadapan".

Demikian amanat dan nasihat seorang ayah, Che Mat Hussain, 58, kepada anaknya, Khairul Fahmi, 21, yang merupakan penjaga gol utama pasukan kebangsaan dan Kelantan.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Su' di kalangan ahli keluarga selepas berjaya membantu Harimau Malaya bergelar juara buat kali pertama pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.

"Kami semuanya terkejut dengan apa yang telah ditunjukkan olehnya sepanjang tahun ini. Mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola sepak.

"Kejayaan ini adalah berkat usaha dan displin yang tinggi yang ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang ada dalam diri- nya," kata Che Mat Hussain ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang, Kota Bharu semalam.

Tambahnya, sebelum turun beraksi di atas padang, anaknya itu akan menghubunginya terlebih dahulu untuk memohon restu dan meminta keluarga mendoakan kejayaannya.

"Setiap kali beraksi baik untuk Kelantan mahupun negara, dia (Khairul Fahmi) akan menghubungi saya dan ibunya supaya mendoakan keselamatan dan kejayaannya," ujarnya. 

Akhbar semalam melaporkan, persembahan cemerlang penjaga gol Malaysia itu bukan sekadar menarik peminat baru ke akaun Facebook, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini laman web sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gol kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima menumpaskan Support Timnas yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.
Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi dalam bola sepak, ayahnya memberitahu, ia bermula ketika dia berumur lapan tahun lagi dan apa yang menarik mengenai Khairul Fahmi, dia hanya minat beraksi sebagai penjaga gol sahaja.

"Dari kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi itu dan mula beraksi bersama pasukan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang ketika berumur 12 tahun.

"Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) Johor Bahru sebelumdan berpindah ke Seko- lah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk mengambil Sijil Pela- jaran Malaysia (SPM)," ujarnya.

Dalam pada itu, Che Mat memberitahu, satu sambutan besar-besaran akan dilakukan oleh penduduk kampung dengan kerjasama wakil rakyat untuk menyambut kepulangan Khairul.
"Majlis itu akan diadakan pada 3 Januari ini," ujarnya.

20 Dis 2010

Peminat mahu RTM siar pukul 8 malam, bukan 8.30 malam

DUA aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010 menemukan Malaysia dan Vietnam pada Rabu lalu dan kelmarin menyaksikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya menyiarkan siaran langsung bermula daripada minit ke-30 permainan.

Ini kerana, pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tetap mahu menyiarkan Berita Nasional dari pukul 8 malam hingga 8.30 malam sebelum memberi laluan kepada siaran langsung sedangkan sepak mula perlawanan adalah pada pukul 8 malam.

Kini dilema yang sama melanda peminat-peminat bola sepak tempatan apabila aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini turut akan bermula pukul 8 malam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, tiada alasan sebenarnya yang boleh diberikan pihak terbabit untuk tidak membenarkan siaran langsung aksi final itu dimulakan pada pukul 8 malam.

"Semua rakyat Malaysia begitu menantikan aksi final tersebut. Saya pasti, permintaan atau gesaan supaya RTM menyiarkan siaran langsung bermula 8 malam akan berterusan selagi pihak terlibat tidak memberi jaminan.

"Kami akan berusaha untuk mencari juga jalan supaya siaran langsung di RTM tetap akan bermula 8 malam dan bukannya 8.30 malam seperti dua perlawanan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia di Putrajaya petang semalam.

Justeru, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim diharap dapat bertolak ansur dalam hal ini dan membuat pengumuman dalam masa terdekat untuk menamatkan keresahan para peminat bola sepak di negara ini.

p/s: harap-harap Menteri penerangan,komunikasi dan kebudyaan dapat mempertimbangkan permintaan peminat ini...kesianlah pada peminat-peminat yang tiada langganan Astro sports...

13 Dis 2010

Kegemilangan bola sepak Kelantan


PEMAIN skuad Kelantan meraikan kejayaan mereka muncul juara Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70.



PERSATUAN Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berpuas hati dengan penganjuran edisi ke-70 saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja dan berharap kejohanan tahun depan dapat dianjurkan pada skala lebih besar selain terus menjadi medan penting mencungkil bakat baru.
Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan berharap kejohanan Piala Emas Raja-Raja dapat dijadikan pentas buat pasukan-pasukan mengenal pasti, mencungkil dan mengasah bakat pemain-pemain yang berpotensi untuk diketengahkan dalam skuad utama Liga Perdana atau Liga Super.
“Matlamat kami ialah menjadikan kejohanan ini sebagai medan bagi pasukan-pasukan mengetengahkan bakat pemain ke saingan liga lebih tinggi,” katanya.
Menurut Takiyuddin, sebagai antara kejohanan tertua di negara ini, Piala Emas Raja-Raja boleh memainkan peranan signifikan dalam membantu usaha pembangunan bola sepak tanah air terutamanya penyaluran barisan pemain pelapis.
Menerusi siaran langsung di Astro Arena (Saluran 801) dan sokongan padu media cetak dan elektronik tahun ini, pertandingan itu dapat diikuti dengan lebih dekat, sekali gus memberi pendedahan dan meningkatkan profil pemain dan pasukan.
“Peranan media amat penting, terutama bagi kejohanan seperti Piala Emas Raja-Raja yang selama ini dianjurkan dengan bajet yang amat terhad,” katanya sambil berterima kasih kepada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang merupakan penaja utama kejohanan.
Buat tahun kedua berturut-turut, Puncak Niaga muncul sebagai penaja utama dengan jumlah tajaan RM200,000 untuk edisi tahun ini.
Pengurusan PBSMM juga berharap dapat melakukan penambahbaikan bagi memastikan kualiti pertandingan terus meningkat dan dapat menarik pembabitan lebih banyak penaja.
Tahun ini, pendaftaran lima pemain dari Liga Super dibenarkan dengan tujuan merancakkan saingan dan memberi peluang kepada pasukan memperkuatkan barisan mereka.
Masalah jadual juga bakal diperhalusi terutama apabila mengambil kira pertandingan di akhir tahun yang sering dibelenggu masalah hujan dan musim tengkujuh.
Menurut Takiyuddin, PBSMM mempunyai beberapa perancangan masa depan termasuk membentuk sebuah pasukan untuk bersaing dalam Liga FAM dan liga-liga yang lebih tinggi.
“Ini tentunya memerlukan kos yang amat tinggi, harapan kami ia menjadi realiti pada tahun 2012. Pada masa ini, kami merancang untuk menjana dana menerusi aktiviti amal,” katanya.
Saingan tahun ini bermula sejak 5 November lepas tanpa menggunakan sistem zon seperti lazimnya. Sebaliknya 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan tanpa mengira zon.
Empat venue dipilih bagi perlawanan peringkat kumpulan iaitu Stadium Utama Negeri Kangar, Stadium Perak di Ipoh, Stadium UiTM di Shah Alam dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV di Kota Bharu.
Dalam pada itu, penganjuran perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk seperti edisi tahun lepas.
Kelantan melengkapkan kejayaan tahun ini dengan mengetepikan Kedah pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Ia merupakan kejayaan berganda buat Kelantan yang sebelum ini berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.
Kelantan menundukkan Kedah 4- 3 menerusi penentuan penalti, sekali gus memberikan hadiah berganda buat 10,000 ribu penyokong Red Warriors yang hadir memberi sokongan padu di Stadium Sultan Mouhammed ke-IV Kota Bharu itu.
Dengan kemenangan itu, Kelantan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan piala manakala Rosairil Asrol Mat Nor dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan. -kosmo

10 Dis 2010

'Bukan wang, tapi keluarga'


NOR FARHAN (kiri) bakal menyarung jersi T-Team musim depan.



"SAYA berhijrah bukannya untuk mencari wang lebih, sebaliknya untuk memberikan tumpuan pada keluarga selepas isteri saya mendapat kerja di Terengganu."

Demikian luahan ikhlas bekas pemain sayap pasukan The Red Warriors, Nor Farhan Muhammad yang menjelaskan mengenai keputusannya meninggalkan juara Piala Malaysia itu.

Menurut beliau, hasrat berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) lebih awal tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas. 

"Untuk pengetahuan semua, saya tidak mendapat tawaran yang lumayan daripada T-Team seperti mana yang dikatakan oleh banyak pihak sebelum ini. 

"Saya terkilan dan sedih juga dengan kenyataan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan saya melompat untuk mencari gaji yang lebih lumayan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, sebelum ini tiada sebarang perbincangan di antara pemain dengan Annuar.
"Sedar-sedar beliau (Tan Sri Annuar) hendak bagi RM16,000 kepada saya dan ucapkan terima kasih kerana tawaran itu.

"Di T-Team, saya tidak mendapat sebanyak itu. Kerana keluarga, saya terpaksa berkorban," ujarnya.
Dalam pada itu, Nor Farhan memberitahu, isu itu sebenarnya tidak lagi berbangkit kerana sebelum berhijrah, beliau telah merujuk perkara tersebut kepada FAM terlebih dahulu. 

"Saya sudah merujuk surat tawaran yang diberi oleh Annuar kepada FAM dan mendapat pengesahan daripada FAM bahawa surat tawaran itu tidak boleh diterima pakai oleh pemain kerana kandungannya tidak lengkap. 

"Dalam surat itu juga tidak ditulis perlu dijawab dalam masa 30 hari dan jumlah gaji yang akan diterima biarpun ada terma serta syarat, jadi saya anggap itu hanya surat tawaran semata-mata dan bukannya kontrak," katanya. 

Kosmo! semalam melaporkan tiga bekas pemain Kelantan, Nor Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat berdepan kemungkinan digantung satu musim andai mereka didapati bersalah melanggar kontrak bersama pasukan lama mereka, Kelantan.

Indra, Farhan dan Azizi dikatakan telah menyertai pasukan T-Team untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2011 dan mereka dikatakan sudah turun menjalani latihan di Kuala Terengganu pada minggu ini.

Mereka didakwa tidak membalas notis tawaran lanjut kontrak yang dibuat oleh KAFA yang membawa maksud pemain-pemain tersebut telah bersetuju untuk bersama Kelantan bagi musim 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain yang melanggar syarat tersebut boleh dikenakan hukuman penggantungan selama semusim.

p/s:kalu betul hok Farhan royak maknanya beliau bukanlah mata duitan tetapi faktor keluarga menyebabkan beliau telah berhijrah le T.Team...Good Luck semoga buleh main dengan tenang lepas ni dan terlepas hukuman dari FAM

6 Dis 2010

Kedah, Kelantan ada kelebihan

KELANTAN dan Kedah memiliki kelebihan psikologi apabila turun berdepan lawan masing-masing pada saingan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak PUNCAK Piala Emas Raja-Raja hari ini untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir pada 11 Disember ini.
Kelantan membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu selepas menumpaskan skuad Penyu itu 3-0 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu, minggu lepas.
Kedah pula mempunyai gelanggang sendiri untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyekat kebangkitan Johor selepas menumpaskan skuad selatan tanah air itu 3-1 di Stadium Larkin, minggu lepas.
Dengan kelebihan 3-0, Kelantan seharusnya tidak hilang fokus manakala Terengganu berdepan tugas sukar mencipta keajaiban memburu sekurang-kurangnya empat gol atau lebih biarpun bermain di laman sendiri di Kuala Terengganu.
Kelantan boleh menghela nafas lega dan mampu untuk tidak menurunkan kesebelasan utama dengan tujuan merehatkan pemain tonggak bagi menghadapi lawan sekiranya mara ke perlawanan akhir nanti.
Dengan gawang mereka nampak selamat di tangan Mohd. Shahrizan Ismail, jurulatih Zahasmi Ismail berpuas hati dengan jentera pertahanannya yang dikemudi Sharudi Aziz selain Sani Nawi, Shafiq Haikal dan Nik Mohd. Shahrul Azim.
Jentera tengah Kelantan dilihat semakin ampuh dengan peningkatan prestasi Mohd. Ezrie Shafizie, Rosairul Asrul, Izuan Salahuddin serta Khairan Ezuan Razali.
Dua nama yang menjadi sebutan dalam skuad Kelantan kini, Ramzul Zahidi Adenan dan Aris Zaidi, penjaring dua gol ketika menentang Terengganu minggu lepas, bakal terus menjadi duri buat Terengganu.
Pada satu lagi separuh akhir, Kedah yang berazam mahu menebus kekecewaan kalah di final tahun lepas, dijangka tidak berdepan tugas sukar mempertahankan hasil tuaian di Stadium Larkin di Johor Bahru sebelum ini.
Jurulatih Kedah, Mohamad Ramlee mengharapkan pemainnya terus mempamerkan konsistensi.

5 Dis 2010

Norshahrul meniti kemasyhuran

NORSHAHRUL (kanan) dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.


“SAYA langsung tidak sangka untuk memenangi anugerah ini.”
Demikian luahan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ketika diajukan pertanyaan mengenai perasaannya selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 awal bulan lalu.

“Secara jujurnya, saya langsung tidak menjangka saya akan dipilih untuk merangkul anugerah tersebut kerana pemain-pemain lain yang turut tercalon semuanya hebat-hebat belaka.

“Namun, mungkin sudah rezeki saya dan saya bersyukur kerana dipilih untuk menjadi penerima anugerah ini.

“Yang pasti, pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini,” jelas Norshahrul kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Selain anugerah MVP, Norshahrul yang juga penyerang skuad kebangsaan turut merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik.

Bak kata pepatah - ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’
Itu yang berlaku kepada Norshahrul apabila dua anugerah yang dimenanginya hadir dua hari selepas dia membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Kelantan berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan.

Sekalipun tidak mencatatkan nama sebagai penjaring, namun tidak keterluan jika Norshahrul dilabel sebagai nadi utama terhadap kejayaan yang dilakar skuad The Red Warriors itu.

Bukan sahaja pada pertemuan menentang Negeri Sembilan, malah aksi lincah penyerang berusia 24 ini sentiasa membuatkan benteng pertahanan pihak lawan menjadi kucar-kacir.

Jika dua anugerah yang dimenangi anak jati kelahiran Besut, Terengganu ini dinilai berdasarkan faktor jaringan, ternyata dia bukan pemain pilihan bagi merangkul gelaran tersebut.

Ini kerana, bekas penyerang UPB My-Team itu hanya merekodkan 14 gol sepanjang saingan musim ini.

Bagaimanapun, jaringan bukanlah faktor utama yang mengangkat Norshahrul merangkul anugerah yang dimenanginya itu.

Pelbagai aspek telah diambil kira dan dia sudah pastinya menepati kriteria-kriteria yang diperlukan barisan panel pemilih yang diketuai jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagopal.

Ternyata, kejayaannya memenangi anugerah tersebut memberi suntikan semangat buat Norshahrul yang terpilih menggalas cabaran skuad Bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

NORSHAHRUL (kanan) meledakkan gol tunggal Malaysia ketika tewas 1-5 kepada Indonesia, Rabu lalu.


Sekalipun telah melebihi had umur, Norshahrul tetap disenaraikan atas kuota tiga pemain senior.
Bagaimanapun, langkah skuad negara tersekat di pusingan kedua selepas mereka tewas 1-2 kepada bekas juara, Iran.

Namun kejayaan anak-anak buah Rajagopal melangkah ke pusingan kedua wajar diberi pujian selepas 32 tahun Malaysia gagal berbuat demikian.

“Sekalipun kami tersingkir pada pusingan kedua, namun kami telah berjaya mempamerkan peningkatan biarpun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.

“Jika kami mampu mengekalkan rentak kecemerlangan ini dan terus bekerja keras, saya yakin skuad kebangsaan mampu pergi lebih jauh pada masa akan datang,” kata Norshahrul yang meledak gol tunggal ketika menentang Iran.

Kini ujian terbaru buat Norshahrul bersama skuad kebangsaan adalah menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia.
Di bumi Guangzhou, skuad kebangsaan pincang tanpa kelibat beberapa tonggak utama.

Malangnya, pada aksi pembukaan menentang Indonesia, mereka dibelasah 5-1 meskipun dia menjaringkan gol tunggal Malaysia.
Norshahrul adalah antara pemain yang membantu skuad B-23 negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Vientiene, Loas tahun lalu.

30 Nov 2010

Ada yang lupa diri


 SEBAHAGIAN daripada pemain skuad Kelantan yang memulakan latihan di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu semalam.



“PEMAIN yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka adalah ‘nobody’ (tidak dikenali). “KAFA ambil mereka waktu mereka digugurkan, waktu mereka tak dibayar gaji, team (pasukan) mereka bubar. Ada yang terpaksa merantau kerana gaji murah. 

“KAFA dan penyokong beri mereka gaji dan bonus, beri latihan yang baik, beri pendedahan dalam dan luar negara, beri publisiti dan beri teamwork yang terbaik. Akhirnya mereka lupa siapa yang jadikan mereka bintang.”

Demikian luahan kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) yang dipetik daripada laman sosial Facebook setelah beberapa pemain bintangnya dikhabarkan gagal menghadiri sesi latihan pertama yang bermula kelmarin.

Beliau nyata kecewa dengan sikap sesetengah pemain yang gagal melaporkan diri pada sesi latihan pramusim tersebut walaupun hakikatnya mereka dan pemain lain dikira secara automatik telah mengikat kontrak bersama Kelantan untuk tempoh dua musim melalui surat tawaran bertarikh 1 September lalu kerana tiada seorang pun yang menolaknya.
“Terdapat pemain yang ghairah untuk mendapatkan gaji yang tinggi, membuat rundingan di saat-saat akhir pendaftaran, sedangkan peraturan telah menetapkan mereka berbuat demikian dua bulan sebelumnya. 

“Saya tak dapat layan pemain secara individu terutama yang minta gaji tinggi. Saya perlu adil kepada semua. Kalau ada negeri nak tawar gaji tinggi, itu hak mereka dan pemain pilihlah sendiri tapi mesti ikut peraturan. 

Pemain wajib tebus kontrak, negeri wajib berunding dan bayar yuran perpindahan. Pelaburan KAFA bukan sedikit,” katanya.

Tambah Annuar, kelab juga seharusnya membuat tawaran kontrak tiga bulan sebelum tempohnya tamat. Tindakan-tindakan ini mungkin akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada kelab asal yang kehilangan pemain pada saat-saat akhir.

Jelasnya, kesan yang buruk juga mungkin akan diterima oleh pemain yang mana status mereka boleh dipertikaikan dan mungkin juga menjadi kes di mahkamah sivil kerana melanggar kontrak.
“Mereka semua (pemain) dinasihatkan merujuk kepada peraturan dengan menghubungi sekretariat di FAM sekiranya terdapat keraguan.

“Pemain dan pasukan yang menyertai Liga Malaysia terutama dalam Liga Super patut berusaha untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme masing-masing sesuai dengan penyertaan dalam liga profesional,” ujarnya. 

Bagaimanapun kata Annuar, akhir-akhir ini didapati banyak pemain dan juga kelab yang langsung tidak memahami peraturan-peraturan asas berhubung dengan etika sebagai pemain ataupun tanggungjawab pengurusan kelab.

Sementara itu, Kosmo! difahamkan, ada desas-desus mengatakan kegagalan pemain terbabit menyertai latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sejak kelmarin ekoran rasa tidak puas hati mengenai beberapa perkara.

Antaranya kerana ada pemain yang kini sedang menimbang tawaran daripada pasukan lain yang lebih lumayan sedangkan mereka telah pun sah milik Kelantan melalui surat tawaran yang diberikan sebelum ini.

Selain itu, KAFA juga enggan melayan permintaan beberapa pemain yang mahu gaji mereka dinaikkan lagi walaupun sebahagian pemain bintang menerima gaji yang cukup lumayan sebelum ini.

Kosmo! yang mengikuti sesi latihan pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV mendapati, semua pemain sudah memulakan latihan kecuali tiga pemain bintang termasuk Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan termasuk S. Chanturu yang mengalami kecederaan.

15 Nov 2010

'Jangan salah faham, saya tidak politikkan sukan'

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) menafikan dakwaan kononnya beliau telah mempolitikkan kemenangan Kelantan yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Sambil itu, beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai salah faham dan soal hendak mempolitikkan sukan tidak timbul kerana kedua-dua parti mempunyai pandangan masing-masing.

"Saya tidak membuat keputusan berdasarkan parti dan saya minta maaf jika ada pihak yang berkecil hati dan salah faham," katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelan- tan yang berakhir kelmarin salah seorang anggota Exco kerajaan negeri telah membangkitkan isu tersebut sebagai tidak wajar ia dijadi- kan pentas UMNO memandangkan sukan adalah milik rakyat sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan bahawa ketika ini Piala Malaysia itu diarak ke seluruh negeri bagi membuktikan sukan tersebut adalah untuk semua dan berharap kerajaan negeri perlu memahaminya.

"Kalau tidak puas hati kita boleh berbincang. Sukan tidak harus dipolitikkan. Saya menjalankan tugas seba- gai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)," kata Annuar.

Annuar ditemui ketika melawat keluarga Allahyarham Che Karma Sulaiman, 39, di Kampung Sungai Dua, dekat Kota Bharu yang meninggal dunia akibat sesak nafas selepas menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan(Selangor) di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober lalu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataannya yang seolah-olah membayangkan untuk melepaskan jawatan seperti mana dilaporkan baru-baru ini, Anuuar berkata: "Saya bukan Superman, dan saya bukanlah segala-galanya untuk KAFA. Jawatan itu terbuka kepada semua."

Kosmo

8 Nov 2010

'Saya sedia kembali jadi jurulatih skuad negara'

JURULATIH pasukan Kelantan, B. Sathianathan (gambar) meluahkan hasrat untuk kembali membimbing skuad bola sepak kebangsaan setelah membuktikan kemampuannya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk kembali melatih skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang kedua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Memang menjadi harapan semua jurulatih untuk bergelar jurulatih kebangsaan dan saya pernah berada di posisi itu suatu ketika dahulu.

"Sekiranya pihak FAM memberi peluang kedua, saya tidak akan melepaskan peluang tersebut kerana saya minat untuk kembali bergelar jurulatih kebangsaan," katanya semalam.

Sathianathan berkata, beliau tidak merendahkan kemampuan jurulatih kebangsaan ketika ini, K. Rajagobal yang disifatkannya sebagai seorang jurulatih yang berbakat.

"Saya puji dengan langkah bijak dan berani Rajagobal mengetengahkan barisan pemain baru dan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, China," katanya.

Rajagobal terpaksa menggugurkan beberapa pemain terbaiknya ke Guangzhou apabila sebilangan besar pemain senior mengalami kece- deraan ketika menghadapi saingan sepanjang musim liga tempatan.

Kekosongan itu diisi dengan beberapa pemain baru bagi mengalas cabaran yang akan bermula hari ini.
Malaysia dijadual bertemu Kyrgyztsan pada perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Huagong, Guangzhou hari ini.

Sementara itu, dalam perkemba- ngan lain, Sathianathan memberitahu, beliau akan terus mempertahankan kritikannya bahawa Liga Malaysia masih belum mencapai tahap liga profesional.

Menurutnya, beliau mengkritik demikian kerana mahu melihat mutu bola sepak Malaysia dipertingkatkan demi kelangsungannya pada masa hadapan.

Selain itu, beliau juga menyedari bahawa sebilangan besar pasukan negeri dan kelab tempatan tidak berminat untuk mengambilnya sebagai jurulatih kerana tidak suka dengan sikapnya yang disifatkan sebagai panas baran.

"Dalam bola sepak, kita tidak perlu bodek orang untuk mendapat tempat, sebaliknya untuk memaju- kan sukan ini, kita kena berterus terang," katanya yang menamatkan tugas dengan FAM pada 2009.

kosmo

Masum, Kelantan dilabel pilihan


FAHRUL RAZI KAMARUDDIN (kiri) telah membuktikan bahawa dia adalah penggempur berbisa Masum dalam saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja.



SELEPAS memperagakan aksi hebat dalam tiga perlawanan peringkat awal, skuad Masum kini dianggap antara skuad pilihan yang perlu diawasi apabila saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja memasuki peringkat suku akhir minggu depan.

Masum yang dibimbing Omar Ali, menang dua perlawanan awal Kumpulan D sebelum ini dengan mengatasi PDRM 3-1 dan Singapura 2-0.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 13 dan 20 November ini.
Kelibat tonggak utama Nursalam Zainal Abidin, yang sudah mengum- pul tiga gol peribadi setakat ini dan ketua pasukan, Fahrul Razi Kama- ruddin yang sudah meledak dua gol, pasti sekali lagi menjadi pertaruhan buat Masum untuk mencatat seja- rah mara ke akhir.

Pada edisi lepas, Masum terkandas di pusingan awal tetapi kali ini, anak-anak buah Omar Ali mempamerkan peningkatan dan kematangan hasil daripada program latihan berterusan dan penyertaan dalam kejohanan kompetitif sejak beberapa bulan lepas.

Masum berdepan naib juara Kumpulan C iaitu sama ada Kedah atau Perak.
Sebelum ini, ramalan awal bahawa dua pasukan pilihan Selangor dan Singapura bakal mengungguli saingan ternyata meleset apabila dua juara sebanyak 12 kali itu tampil dengan aksi hambar dan tersungkur di saingan awal.

Selain Masum, Kelantan yang memburu kejuaraan ke-13 musim ini, berada dalam keadaan terbaik untuk melangkah jauh apabila mempamerkan prestasi kemas.

Skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu bakal bertemu naib juara Kumpulan A yang yang hanya dapat ditentukan esok.
Perlawanan Kumpulan A (Perlis, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur) di Stadium Utama Negeri Kangar bermula hari ini dan berakhir esok.

Saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 13 dan 20 November ini manakala separuh akhir dijadualkan pada 28 November dan 4 Disember.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 11 Disember depan.

Kosmo

1 Nov 2010

Dendam Piya berbalas




"DENDAM saya akhirnya berbalas."
Demikian ujar playmaker Kelantan, Badri Radzi (gambar) atau lebih dikenali sebagai Piya apabila dia tampil antara watak penting dalam skuad The Red Warriors yang mengukir sejarah menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 89 tahun pertandingan.

Musim lalu, dia terpaksa berada di bangku penonton dengan dendam yang tersarang menyaksikan bagaimana pasukannya mudah dijinakkan Negeri Sembilan 1-3 kerana terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan yang dialaminya.

Menurut Piya, dia agak gugup apabila berpeluang beraksi pada final Piala Malaysia buat kali pertama yang turut menjejaskan gaya permainannya pada separuh masa pertama.

"Pada babak pertama saya akui kami tidak beraksi dengan baik, segala-galanya serba tidak menjadi dan yang jelas kami sedikit gugup ditambah pula dengan gol awal yang diperoleh Negeri Sembilan.

"Ketika waktu rehat, jurulatih kata kami tak pernah kalah bila beraksi di luar, ini adalah peluang kami untuk membawa pulang piala untuk peminat dan Tan Sri (Annuar Musa), jadi kena main all out (habis-habisan)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Piya, selepas mendapat kata-kata semangat itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya tampil agresif untuk mempamerkan aksi berbeza pada babak kedua dengan menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Jelasnya, ketiadaan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sebelum itu dilihat sukar untuk ditembusi, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Kelantan.

"Memang betul, ketiadaan Aidil memudahkan lagi kerja kami. Sebelum itu kamisusah untuk membawa bola masuk ke dalam kawasan kotak penalti. 

"Selepas dia dikeluarkan, barulah kami mampu bergerak dengan baik di bahagian hadapan.

"Selepas menerima bola hantaran Norfarhan Mohamad, saya tahu ini adalah peluang terbaik dan saya kena sempurnakannya. 

"Saya terus lari membawa bola ke depan dan pada masa itu saya yakin untuk melakukan jaringan. Tanpa teragak-agak, saya melakukan rembatan yang terus menerjah ke gawang lawan. Saya puas kerana dendam sekian lama akhirnya terlerai," ujar Piya.

Kosmo

27 Okt 2010

Penyokong kecoh harga tiket naik




MAHAL, zalim dan cekik darah. Itu antara rungutan peminat setia pasukan The Red Warriors yang menyelar tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tahun lepas, kedua-dua pasukan juga pernah bertembung di pentas akhir merebut piala berprestij tanah air itu yang mana kehadiran penyokong mencatat sejarah paling ramai pernah dihimpunkan dalam satu perlawanan bola sepak tempatan.

Ketika itu tiket dijual dengan harga RM20 dan secara tiba-tiba, musim ini FAM menaikkan harga tiket kepada RM30 sehingga menimbulkan kemarahan seluruh peminat bola sepak Kelantan yang merasakan harga tersebut adalah terlalu tinggi.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Klate.Net), Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, tindakan tersebut dilihat satu lagi usaha FAM untuk menjatuhkan masa depan bola sepak Kelantan.

Menurutnya, selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk yang terbaru menggantung khidmat jurulatih B. Sathianathan sebelum kes tersebut ditangguhkan untuk perbicaraan semula, isu tiket kembali menjadikan FAM mangsa kecaman.

"Saya tidak melihat di mana relevannya harga tiket tersebut perlu dinaikkan. FAM perlu memberi penjelasan kenapa harga tiket ini naik berbanding tahun lalu yang dijual pada harga RM20.

"Pada pendapat saya, harga ini dinaikkan selepas melihat penyokong Kelantan yang begitu ramai membanjiri stadium pada perlawanan akhir musim lalu dan ini adalah masa yang baik untuk FAM mengaut keuntungan," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, pertimbangan- pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira oleh FAM termasuklah peminat bola sepak Kelantan bukannya terdiri daripada golongan yang berada tetapi mereka yang berpendapatan rendah, namun cintakan bola sepak tempatan.

Jelasnya, sekiranya FAM menggunakan helah menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana menyangka peminat bola sepak Kelantan pasti akan ke stadium walaupun dengan tiket yang mahal, tidak mustahil sambutan perlawanan akhir kali ini akan dingin.

"Penyokong tidak bodoh. Kami bukan orang berada. Ada yang bekerja sebagai buruh dan petani hanya memperoleh gaji sekitar RM150 seminggu dan ini pastinya membebankan dan tidak mustahil sekiranya mereka membatalkan hasrat untuk ke stadium.

"Sepatutnya FAM memberi sokongan dalam usaha memajukan bola sepak tempatan selepas melihat sambutan peminat yang semakin ramai mengunjungi stadium tetapi tindakan ini sekali lagi dilihat sebagai cubaan 'membunuh' masa depan bola sepak khasnya di Kelantan," ujarnya. 

Selain itu, mereka juga turut kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang seperti 'menangguk di air keruh' apabila menaikkan lagi harga tiket daripada RM30 kepada RM40 dengan kononnya menyediakan pakej termasuk barangan cenderahati.
Bagi mereka, selepas sekian lama menunjukkan sokongan tanpa berbelah bagi kepada pasukan Kelantan termasuk menjelajah ke seluruh negara setiap kali pasu- kan mereka beraksi, tindakan KAFA itu membuatkan mereka terkilan.
Semalam, lebih 100 penyokong skuad Kelantan mengadakan piket membantah kenaikan harga tiket oleh FAM di hadapan Stadium Sultan Muhammed IV dan turut menggesa KAFA membatalkan hasrat menjual tiket tersebut secara pakej dengan harga yang lebih mahal. 

Seorang lagi peminat bola sepak Kelantan, Mahizi Mahmood, 32, memberitahu, selain marah dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket, dia juga nyata kesal dengan sikap KAFA yang dilihat tidak prihatin dengan nasib para penyokong.

"Sudahlah FAM mengenakan tiket dengan harga yang tinggi, KAFA pula turut sama bersekongkol menaikkan lagi harga sebanyak RM10 kononnya atas nama pakej dengan memberi barangan cenderahati.

"Kalaulah KAFA tahu mengenang budi, mereka seharusnya membantu memberi subsidi atau sekurang-kurangnya mengekalkan harga tiket RM30 itu, bukannya dengan menekan lagi penyokong dengan menaikkan kepada RM40," jelasnya.
Selain itu, bagaikan ada kewajaran di sebalik kemarahan para penyokong kerana jarak antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur itu cukup panjang perjalanannya menjadikan mereka juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk kos pengangkutan.
Bukan sahaja tiket, dikhabarkan kos pengangkutan awam termasuk kadar sewa bas juga melambung dengan begitu mendadak iaitu antara RM3,200 hingga RM3,800 berbanding harga biasa hanya sekitar RM2,400 hingga RM2,600.
Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tampil memberi penjelasan yang dilihat sedikit melegakan kemarahan penyokong Kelantan apabila pihaknya bersetuju mengekalkan harga tiket kepada RM30.
Jelasnya, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan untuk penyokong Kelantan iaitu dengan 10,000 akan mula dijual secara biasa pada pukul 10 pagi ini di kesemua lapan kaunter jualan tiket di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

"Manakala 10,000 keping lagi akan dijual bersama barangan cenderamata, sementara selebihnya akan diperuntukkan kepada rombongan kelab penyokong. KAFA sedang berusaha untuk mendapat tiket tambahan untuk memenuhi permintaan," ujarnya