Memaparkan catatan dengan label bolasepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bolasepak. Papar semua catatan

4 Nov 2012

Troli supermarket' tak tahan lama

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikata- kan betapa Johor akan kembali tampil sebagai kuasa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Keseriusan skuad Harimau Selatan itu membentuk barisan terbaik bagi menghadapi kancah Liga M musim depan jelas tergambar apabila mereka berjaya mendapatkan beberapa tonggak skuad kebangsaan.

Tonggak terbabit ialah perancang Selangor, Safiq Rahim, trio Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azmi Muslim dan pasangan kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Abdul Radzak serta pemain pertahanan Terengganu, Mohd. Muslim Ahmad.

17 Nov 2011

Bola Sepak Sukan Sea 2011 : Malaysia tumpaskan Indonesia

Indonesia 0 - 1 Malaysia

Malaysia akhirnya berjaya mengalahkan tuan rumah sukan Sea 2011 Indonesia 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hasil dan seterusnya menjuarai kumpulan A.Gol Malaysia dijaringkan oleh Syahrul Azwari pada minit ke-17 perlawanan.

Malaysia akan menentang Myanmar dalam aksi separuh akhir 19 november ini jam 8 malam 5 petang waktu Malaysia untuk meneruskan misi mempertahankan pingat emas sukan sea yang dimenangi dua tahun lalu.

13 Jun 2010

SUKMA '10 : Bolasepak

Peringkat suku akhir
SELANGOR 5 vs KELANTAN 0
Tempat: Stadium Hang Tuah
Tarikh: 14 Jun '10
Masa: 8.45 mlm

9 Jun 2010

SUKMA '10...Kelantan menang tipis....

KEPUTUSAN PENUH :
KELANTAN 1
Ramzul Zahini (m-80)
PULAU PINANG 0

note: Kelantan layak ke suku akhir sekiranya PPinang tewas kepada Terengganu....

8 Jun 2010

Terengganu, Selangor tunjuk taring


Pemain Kelantan, Mohamad Zamry Ramli (kiri) mengasak pemain Terengganu, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi pada perlawanan bola sepak Sukma antara Kelantan dengan Terengganu di padang bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, Melaka, semalam.


MELAKA - Biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 50 minit, penyandang juara, Terengganu tidak menghadapi masalah untuk membelasah Kelantan 4-0 pada aksi pembukaan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, semalam.
Terengganu yang meraih emas di tempat sendiri, dua tahun lalu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Nuraliff Zainal Abidin dilayangkan kad merah pada minit ke-40.
Mereka memulakan pesta gol menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-29, disusuli gol kedua menerusi penalti yang disempurnakan oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-55.
Tiga minit selepas itu Terengganu menambah gol ketiga menerusi Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-58, sebelum tirai gol ditutup oleh Jospeh pada minit terakhir.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Selangor turut cemerlang apabila membelasah Sabah 4-0 di Stadium Hang Tuah.
Bintang Liga Super Selangor, Farderin Kadir meledakkan dua gol di minit ke-31 dan 84, sebelum dua lagi jaringan menyusul menerusi Wan Mohd. Hoesne Wan Hussain di minit ke-26 dan Muhammad Syafiq Abd. Samad, minit ke-92.
Naib juara dua tahun lalu, Perlis tersentak apabila kalah mengejut 1-0 kepada Perak di Stadium Tun Fatimah.
S. Savirmuthu muncul hero Perak apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-82 bagi memastikan pasukannya mengutip tiga mata penuh.
Kedah, pemenang pingat gangsa Sukma 2008 membuka tirai perlawanan Kumpulan A dengan sekadar seri 2-2 berdepan Wilayah Persekutuan juga di Stadium Tun Fatimah.
Pemain Kedah, Muhamad Syafiq Jamal memecah kebuntuan gol pada minit ke-17, sebelum Wilayah Persekutuan menyamakan kedudukan 1-1 hasil ledakan Yong Kwong Yong pada minit ke-62.
Skuad Hijau Kuning kembali mendahului hasil jaringan Mohd. Hisham Shofi pada minit ke-78, namun jaringan Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-89 mengikat kedudukan 2-2.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di padang Sekolah Menengah Seri Kota, Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan Johor.
Mohd. Faizol Hussin meletakkan Johor di depan menerusi jaringan pada minit ke-51, namun Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Firdaus Azizul di minit ke-74

15 Dis 2009

Siaran langsung perlawanan Malaysia-Vietnam di TV2

Hari : Khamis
Tarikh : 17/12/2009
Masa : 6 Petang

KUALA LUMPUR 15 Dis — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea ke-25 antara Malaysia dan Vietnam pada Khamis ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya berkata siaran itu, yang ditaja oleh Telekom Malaysia, akan dapat ditonton menerusi TV2 dan dijangka bermula pada 6 petang.

"Bagaimanapun waktu siarannya tertakluk kepada pukul berapa perlawanan dimulakan,” katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri hari ini untuk mengumumkan program Rentak Juara-Rhythm Of Champions 2010.

Malaysia melayakkan diri setelah mengalahkan tuan rumah Laos 3-1 dalam perlawanan separuh akhir malam tadi manakala Vietnam menundukkan Singapura 4-1.

Perlawanan akhir itu nanti memberi peluang kepada Malaysia menebus kekalahan 3-1 kepada Vietnam di peringkat kumpulan.

Bernama

14 Dis 2009

Live Separuh Akhir Bolasepak Lelaki Sukan Sea, Laos.

LAOS vs MALAYSIA

Pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung perlawanan separuh akhir kedua bolasepak Sukan SEA Laos 2009 diantara pasukan tuan rumah, Laos, dengan Malaysia, yang akan dimainkan di Stadium Utama, Kompleks Sukan Negara di Vientiane.

Pasukan bolasepak Malaysia telah berjaya melayakkan diri ke separuh akhir setelah menewaskan juara bertahan, Thailand, 2-1, pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat lalu.
Siaran langsung tersebut akan bermula pada jam 8:00 malam waktu Malaysia, bersamaan dengan masa permulaan perlawanan.

Jadi, kepada penyokong-penyokong pasukan bolasepak negara dan peminat sukan Malaysia, jangan lupa untuk menonton siaran langsung ini di rangkaian TV2 pada jam 8:00 malam ini.

29 Sep 2009

Ulat tiket masih berleluasa di SSMIV

Ulat...Ulat...Ulat... masih ada lagi segelintir manusia yang mahu diri mereka digelarkan sebagai IBU segala ULAT dimana manusia jenis ini hanya mementingkan keuntungan biarpun hakikatnya orang lain yang terinaya angkara manusia durjana ini.

Itulah kata-kata yang dapat digambarkan pada situasi di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu apabila menjelang perlawanan antara Kelantan dengan pasukan yang boleh dianggap hebat.

Pada malam ini akan berlansungnya perlawanan kedua dalam kumpulan E TM Piala Malaysia '09 antara Kelantan akan menentang juara bertahan Piala Malaysia iaitu pasukan Kedah yang boleh dianggap pertemuan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong pasukan TheRedWarriors.

Seperti sedia maklum, setiap kali tibanya perlawanan sepeti ini akan terjadilah situasi dimana penyokong akan pulang hampa apabila tiket yang hendak dibeli akan kehabisan angkara Ulat tiket yang masih berleluasa dan tiket akan dapat dibeli oleh peminat pada sebelah malam dengan harga yang berlipat kali ganda dimana ulat-ulat tiket akan berlegar mencari pasaran. Nak tak nak penyokong terpaksa beli juga walaupun dengan harga yang mahal semata-mata untuk menyaksikan pemain-pemain TheRedWarriors beraksi.

Harap pihak KAFA@berkenaan dapat memantau dan membasmi ulat-ulat tersebut daripada terus menjalankan kegiatannya demi penyokong-penyokong TheRedwarriors supaya tidak sentiasa terinaya apabila menjelang hari perlawanan.

p/s: Tiket RM20--->RM40(ulat) luar biasa.... Tiket RM10--->RM20(ulat) terinaya..... akan majukah bolasepak untuk negara?

18 Sep 2009

KAFA beri amaran Kepada Halim


PENJAGA gol Kelantan, Halim Napi (gambar) diberi amaran keras oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) supaya tidak mengulangi insiden memukul pemain lawan.

Naib Presiden Kafa, Mohd. Affandi Hamzah berkata, Halim akan menghadapi tindakan disiplin jika gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau melakukan kesalahan melanggar disiplin.

"Walaupun Halim sudah tamat tempoh penggantungannya tetapi kita tetap membuat pemantauan sama ada dia mampu menunjukkan prestasi permainan memuaskan atau tidak melakukan kesalahan disiplin seperti sebelum ini," katanya pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu malam kelmarin.

Pada majlis itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa turut menyampaikan sumbangan wang hari raya kepada pihak pengurusan dan pemain-pemain Kelantan.

Terdahulu, Halim digantung perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana didapati bersalah menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak sebaik sahaja perlawanan separuh akhir pertama Piala FA tamat di Stadium Sultan Muhammed IV, 7 April lepas. - kosmo online

15 Sep 2009

Di manakah cinta bola sepak tempatan

SAYA baru kembali dari Itali minggu lalu dan mempunyai pengalaman yang hendak dikongsi bersama mengenai keindahan dan tempat-tempat bersejarah di sana.

Tidak dinafikan bahawa, Itali adalah negara yang kaya dengan sejarah dan monumen-monumen menakjubkan tetapi sesuatu yang menjadi perhatian saya semasa di sana adalah budaya bola sepak di kalangan masyarakatnya.

Saya mengambil kesempatan untuk menyaksikan perlawanan semasa saya berada di Milan.

Ia merupakan perlawanan pertama dalam Serie A dan pastinya para penyokong berpusu-pusu keluar dengan penuh semangat untuk menyokong pasukan pilihan mereka.

Saya merancang untuk menyaksikan perlawanan pasukan Jose Mourinho, Inter Milan menentang Bari di San Siro.

Ia kelihatan seperti Inter akan memenangi perlawanan itu tetapi Bari yang merupakan pasukan bukan pilihan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyamakan kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Ruangan ini bukan untuk mengisahkan tentang Inter Milan, AC Milan mahupun Bari tetapi mengenai gelagat peminat bola sepak yang saya temui di Itali.

Mereka datang daripada pelbagai bentuk dan saiz, latar belakang kehidupan yang berbeza dan pastinya anda dapat melihat gelagat kumpulan-kumpulan manusia yang berpakaian glamor dan bergaya dengan label jenama seperti Gucci dan Armani.

Tidak lupa juga, langkah warga tua yang begitu bertenaga dan perkara yang paling menyentuh hati saya adalah semangat penyokong kurang upaya yang diberikan tempat duduk khas buat mereka yang turut sama-sama menyokong pasukan pilihan mereka di atas kerusi roda.

Ia merupakan sesuatu yang menakjubkan dan kadang-kadang saya berharap keadaan di sana juga boleh berlaku di Malaysia.

Saya berpeluang untuk melihat semangat rakyat Malaysia terhadap bola sepak di negara ini tetapi ia hanya terjadi tiga atau empat kali setahun dimana kita boleh lihat dalam saingan Piala FA, peringkat akhir Piala Malaysia, Perisai Komuniti dan saingan merebut gelaran Liga Super.

Selain itu, tidak sampai separuh peminat yang datang ke stadium apabila saingan perlawanan bola sepak tempatan berlangsung.

Kali terakhir Stadium Bukit Jalil dibanjiri dengan kehadiran peminat yang sangat luar biasa adalah semasa kehadiran Manchester United untuk Siri Jelajah Asia dan kebanyakan peminat adalah penyokong setia Manchester United.

Rakyat Malaysia terlalu obses dengan saingan Liga Perdana England tetapi tidak menunjukkan sokongan kepada kemajuan arena bola sepak tempatan.

Apa yang saya perhatikan hanya Kedah, Kelantan, Selangor dan Perak sahaja yang mempunyai penyokong setia mereka dan saya sangat berharap pada masa akan datang kita mampu melihat perubahan dan peningkatan terhadap budaya bola sepak di negara ini.

Perlawanan bola sepak boleh menjadi festival sosial di kalangan masyarakat tidak kira kepada para peminat mahupun apa yang kita boleh pelajari di San Siro.

n Edleen Ismail adalah pengacara SportsCenter Malaysia. -utusan

29 Ogo 2009

Kematian Halim Kehilangan Besar Dunia Pengadilan Bola Sepak Malaysia

KANGAR, 28 Ogos (Bernama) -- Kematian pengadil bola sepak bertaraf dunia, Kapten (B) Halim Abdul Hamid di sini malam Khamis disifatkan sebagai hilangnya sebutir mutiara dalam dunia pengadilan sukan bola sepak negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata kematian Halim di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pukul 9.25 malam Khamis akibat sesak nafas dan jangkitan kuman di paru-parunya juga merupakan kehilangan besar kepada pembangunan sukan negeri.

Beliau yang ditemui semasa menziarahi jenazah allahyarham di Lorong Anggerik di sini berkata Halim, 47, mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai rakyat Malaysia yang pertama diberi penghormatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi pembantu pengadil pada Piala dunia 1998 di Perancis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Wan Manira Wan Mustaffa, 47, dan meninggalkan empat orang anak berusia antara 9 dan 16 tahun.

Selepas bersara dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat kapten pada Jun 2007, beliau terus ditawarkan berkhidmat di Universiti Malaysia Perlis sebagai Pegawai Belia dan Sukan.

"Allahyarham seorang yang bersemangat tinggi dan berpandangan jauh. Sememangnya menjadi pengadil sehingga ke peringkat dunia adalah cita-citanya dan dia sentiasa berusaha untuk memiliki apa yang diimpikan," kata Wan Manira.

Selain Menteri Besar Perlis, turut menziarahi jenazah allahyarham ialah anggota parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, para pengadil bola sepak seluruh negara dan rakan-rakanya dalam ATM.

Jenazahnya dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Peduka, dekat sini selepas solat Jumaat.

Bernama

9 Ogo 2009

Kapten pasukan Sepanyol meninggal

FLORENCE, Itali: Kapten pasukan bola sepak Sepanyol, Daniel Jarque (gambar) meninggak dunia semalam disebabkan kegagalan fungsi jantung di hotel penginapan pasukannya menjelang perlawanan persahabatan menentang Bologna di Itali.

Jarque, 26, adalah pemain posisi pertahanan tengah ditemui pengsan di bilik hotelnya oleh rakan sepasukan pada malam Sabtu, lalu dihantar ke hospital, namun gagal di selamatkan.

Jurucakap pasukan itu berkata dalam laman web mereka, Jarque gagal bertindak balas ke atas beberapa usaha menyelamatkannya. - Agensi

Nasib anak rantau dan Liga Malaysia

PADA November 2002, Eric Johnson menerima satu emel. Dalam emel itu tercatat hasrat seorang pemuda untuk memburu impian.

Dua bulan kemudian, jurulatih kelab bola sepak Western Illinois itu menyambut kunjungan penghantar emel berkenaan.

Kosuke Kimura (gambar) melangkah masuk ke pejabat Johnson tanpa dipelawa.

Sekalipun tidak fasih berbahasa Inggeris, Kimura memperkenalkan dirinya.

Mengimbas detik itu, Johnson ingat-ingat lupa mengenai emel yang menyatakan minat Kimura untuk mencuba nasib memburu impian di Amerika Syarikat.

Beribu batu ditempuhinya, dari Yokohama ke Illinois semata-mata untuk memenuhi cita-citanya.

Kini Kimura, antara tonggak Colorado Rapids, dikenali selaku pemain Jepun pertama menghiasi Major League Soccer atau MLS di Amerika Syarikat.

Musim pertamanya cukup mencabar.

"Saya banyak memanaskan bangku simpanan pasukan simpanan, bukannya skuad utama. Tapi sejak kecil saya dididik oleh bapa agar menjaga disiplin. Dia mengajar erti keyakinan diri dan keinginan."

Tanpa mengenal jemu, Kimura menjalani latihan keras, sentiasa bersaing malah memenangi kebanyakan bentesan, rebutan bola dan latihan pecut. Tidak lama kemudian dia mendapat peluang menyarung jersi pasukan utama Colorado.

Membesar di Jepun, Kimura, seperti remaja lain, menyimpan impian bermain dalam Liga J. Pada peringkat sekolah menengah, Kimura beraksi untuk pasukan simpanan Kawasaki Frontale.

Kimura mengalami kecederaan serius yang menyebabkan dia terlantar lebih sembilan bulan, lalu digugurkan oleh Kawasaki.

Dia kemudian tidak memilih bermain di peringkat universiti kerana percaya lazimnya pemain remaja menyertai kelab profesional dari peringkat menengah.

Rakannya, Issey Maholo, mencadangkan agar Kimura menulis kepada jurulatih-jurulatih Divisyen Satu di Amerika Syarikat.

Memandangkan Kimura tidak fasih berbahasa Inggeris, Maholo, yang bermain untuk Boston College dari 2003-2006, membantu menghantar emel kepada lebih 30 jurulatih sekolah Divisyen Satu di Amerika Syarikat.

Johnson antara yang memberi respons. Lantas terus terpikat menonton rakaman video yang dihantar dari Jepun.

Sesudah mengharungi ujian termasuk peperiksaan SAT, Kimura akhirnya berjaya.

Berapa ramai agaknya di kalangan pemain tempatan yang sanggup bersusah-payah mencari rezeki, menimba pengalaman dan ilmu di perantauan?

Berapa ramai pula agaknya jurulatih dan pegawai yang berlapang dada menerima seorang perantau untuk menyertai pasukan mereka?

Oh, terlupa, di Malaysia, kita melarang penggunaan pemain import. Kita juga tidak tahu struktur Liga Malaysia musim depan.

Yang kita tahu bola sepak Malaysia sedang menempuh zaman suram. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengawal selianya di FAM tidak pula mencerminkan iltizam untuk mengubah keadaan.

Tidak seperti Kimura yang berusaha mengubah nasib dan keadaan dirinya. -Ihsan kosmo

29 Jul 2009

FAM 'minta nyawa'

Rayu bola sepak ke Laos bawah Kategori B

MENYEDARI skuad negara tampil tanpa sebarang keputusan memberangsangkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur meminta simpati Majlis Olimpik Malaysia dengan tiket Kategori B untuk ke Sukan Sea Laos, Disember ini.

Ini diakui Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad (gambar) yang berkata, FAM sedar betapa tiada sebarang keputusan membanggakan diperoleh skuad negara dalam tempoh dua tahun lalu.
"Ketika Sukan Sea Korat 2007, kami memohon supaya MOM membiayai pemergian skuad negara ke Thailand kerana baru saja memenangi Pesta Bola Merdeka. Tapi sekarang kami tidak menang apa-apa pun," katanya.

MOM semalam mengadakan mesyuarat pemilihan untuk ke Sukan Sea Laos dengan wakil persatuan hadir membentangkan prestasi peserta masing-masing bagi menentukan sama ada pemergian mereka ditanggung MOM (Kategori A) atau persatuan (B).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar berkata, sebanyak 14 persatuan hadir membentangkan permohonan masing-masing semalam termasuk bola sepak.

"Kami perlu menghantar skuad bola sepak ke Sukan Sea kerana ia sukan yang popular dan bagi menjaga maruah persatuan di kalangan negara serantau. Malah, FAM datang dengan permohonan untuk Kategori B," katanya.

Sementara itu, Tunku Imran turut berkata, Lembaga Eksekutif MOM akan bersidang pada Ogos ini bagi membincangkan permohonan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk membayar pendahuluan untuk atlit Kategori B persatuan itu.

"Mereka ada mengusulkan supaya MOM terlebih dulu menanggung kos penghantaran atlit Kategori B mereka, dan kami akan bincangkan kemudian," katanya mengulas mengenai pembentangan KOAM yang ketika ini menyenaraikan lebih 32 atlit. -ihsan BHarian

16 Jul 2009

Sasaran utama Sukan SEA Laos


RAJAGOBAL (kiri) memberi kata-kata semangat kepada anak buahnya
pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM baru-baru ini.


TIDAK ada ruang lagi buat pemain senior untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa tahun ini.

Perancangan awal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memang menarik dengan pembahagian kejohanan sama rata buat skuad senior dan juga skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Skuad senior dijadualkan beraksi bertemu Manchester United Sabtu ini dan juga bersaing dalam Pestabola Merdeka 2009 yang sepatutnya berlangsung 1 hingga 15 Ogos depan.

Skuad B-23 pula dicadangkan beraksi untuk Piala Antara Benua 2009 yang sepatutnya berlangsung 1 hingga 14 Jun lalu disusuli beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan menjelang Sukan SEA XXV di Laos, Disember depan.

Namun pembatalan Piala Antara Benua dan Pestabola Merdeka atas alasan risiko penyebaran wabak selesema babi telah mencacatkan perancangan asal FAM itu.

FAM tiada pilihan selain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap skuad B-23 kebangsaan yang dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 1989 iaitu 20 tahun yang lalu.

Bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia masih belum memikirkan siapa yang akan dipanggil untuk aksi-aksi persahabatan antarabangsa selepas ini tetapi membayangkan untuk memberi lebih tumpuan kepada barisan pemain-pemain B-23.

"Buat masa ini biarlah kita beri tumpuan dahulu untuk perlawanan menentang United. Selepas itu, barulah saya akan fikirkan siapa yang akan dipanggil untuk aksi akan datang.

"Tapi kita kena ingat, kejohanan terpenting yang menjadi sasaran utama kita tahun ini adalah Sukan SEA. Jadi perlawanan dengan United ini pun sebahagian daripada persiapan kami menghadapi Sukan SEA. Sebab itulah saya hanya senaraikan empat saja pemain senior," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengikut laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan berkunjung ke Jakarta untuk menghadapi dua aksi persahabatan bertemu Indonesia pada 5 dan 8 Ogos depan.

Ketika ini, terdapat suara-suara sinis yang mempertikaikan pemilihan pemain yang dibuat Rajagobal untuk perlawanan menentang United Sabtu ini kerana dia tidak memanggil beberapa pemain senior yang beraksi cemerlang dalam Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Sebaliknya, Rajagobal hanya menyenaraikan empat pemain senior iaitu Amri Yahyah (Selangor), Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) dan V. Thirumurugan (Kedah) untuk bersama-sama 24 pemain B-23 tahun yang lain.

Sementara itu, ditanya persiapannya menjelang pertemuan dengan United petang Sabtu ini, Rajagobal memberitahu, dia akan menyenaraikan 25 pemain untuk berada dalam skuad akhir pada perlawanan tersebut.

"Daripada 28 pemain yang ada ketika ini, saya akan pilih 25 pemain terbaik untuk senarai akhir. Mungkin saya akan umumkan sehari sebelum perlawanan," katanya. - Ihsan Kosmo

9 Jul 2009

Kecederaan Mohd Badhri ( Piya ) serius

LUNDANG - Pasukan Kelantan yang mula menaiki tangga kini jatuh satu tangga iaitu kedudukan keempat pasukan terbaik dalam Liga Super selepas seri dengan Pulau Pinang.

Bagaikan pulang dengan tangan kosong, ditambah lagi beban kehilangan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang kini bercuti akibat tercedera ketika perlawanan menentang pasukan Pulau Pinang.

Badhri yang tercedera selepas dijatuhkan pemain Pulau Pinang pada minit ke-77 terjatuh akibat hujan lebat dikejarkan ke Hospital Bandaraya Pulau Pinang.

Selepas rawatan dilakukan di sana, Badhri dihantar pulang ke Kota Bharu dan dimasukkan ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) pada jam 9 pagi semalam.

Ketika Sinar Harian melawat pemain utama pasukan Pahlawan Merah ini, Badhri kini berehat di samping dijaga ahli keluarganya.

Kata pakar, dia telah pun selamat menjalani pembedahan kecil kerana kecederaannya telah mengakibatkan tulang sibula patah dan cedera di bahagian buku lali.

“Pihak hospital menjalankan satu pembedahan kecil selama sejam dan mungkin dia akan dirawat selama dua hingga ke tiga hari di sini. Untuk kembali beraksi di padang, dia perlu mengambil masa selama enam minggu ke atas untuk sembuh sepenuhnya.

“Saya rasakan, dalam masa tiga bulan dia sudah boleh beraksi. Rawatan susulan akan dilakukan melalui pembedahan kecil untuk membuka balutan di kawasan luka di tempat kecederaannya dan selepas dua minggu, dia akan menjalani rawatan fisioterapi jenis agresif berkemungkinan di USM,” katanya.

Badhri berkata, dia berharap kecederaannya tidak dijadikan sebagai penghalang buat pasukan ini meneruskan perjuangan dalam Liga Super.

“InsyaAllah, dalam masa sebulan, saya boleh kembali untuk latihan fisioterapi. Saya juga berhara,p agar kecederaan saya cepat sembuh dan bolehlah saya kembali ke padang.

“Mungkin saya tak dapat meneruskan permainan saya di Liga Super dan Liga Malaysia akan datang. Kepada ahli pasukan, saya berharap agar mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dengan memenangi baki perlawanan� yang ada,” katanya. -Ihsan Sinar

Masa halang Rajagobal bentuk skuad mantap jumpa MU



CARI KETenangan... Pemain skuad bola sepak negara sempat menjalani latihan kecergasan
dalam kolam di Kompleks Renang Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA - Bukan kehandalan bintang Manchester United yang meresahkan K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan 18 Julai ini tetapi 'masa' menjadi musuh utama jurulatih kebangsaan itu untuk membentuk skuad yang mantap.

Dengan hanya sembilan hari lagi aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rajagobal mengakui tidak banyak yang berupaya dilakukannya dari aspek persiapan skuad negara.

Lebih meresahkan, beliau hanya ada masa dua hari sahaja untuk mengatur segala persiapan untuk perlawanan persahabatan dengan Syria Ahad ini, disusuli perlawanan kedua pada Selasa depan.

Apa yang jelas, Rajagobal kini 'berperang dengan masa'.

''Apa yang anda jangkakan dari masa yang begitu singkat? Ya... saya tidak berpeluang merangka persediaan yang terbaik.

''Namun, inilah sahaja masa yang saya ada. Untuk itu saya harus membuat persediaan yang sesuai berdasarkan tempoh singkat yang saya ada.

''Sesi latihan pusat 28 pemain yang mula melapor diri hari ini adalah proses pemulihan mental dan fizikal pemain.

''Saya katakan begitu kerana semua pemain yang dipanggil secara fizikalnya baik kerana telah mengharungi tujuh perlawanan liga berturut-turut.

''Inilah bekalan untuk membentuk skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan yang terdekat iaitu dengan Syria," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Sebanyak 28 pemain dipanggil untuk pemilihan skuad kebangsaan yang akan menentang Manchester United pada 18 Julai ini.

Daripada jumlah itu, hanya empat pemain senior disenaraikan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Norhafiz Zamani Misbah dan V. Thirumurugan.

Jelas Rajagobal, semua pemain yang dipanggil, menyahut cabaran untuk latihan pusat yang bermula semalam.

Jelasnya, perlawanan persahabatan dengan Syria akan menjadi kayu ukur pemilihan pemain yang akan diturunkan ketika menentang United nanti.

''Setakat ini belum ada skuad bayangan siapa yang akan disenaraikan (menentang United).

''Begitu juga pemain senior, kedudukan mereka dalam skuad belum terjamin dan harus bersaing dengan pemain muda.

''Hanya perlawanan dengan Syria yang menjadi medan pemilihan pemain yang layak disenaraikan untuk menentang United," katanya.

Rajagobal turut mempertahankan tindakannya memilih sebahagian besar pemain muda.

''Pembentukan skuad ini bukan sekadar untuk perlawanan dengan United tetap matlamatnya adalah skuad SEA hujung tahun ini.

''Selepas Pestabola Merdeka dibatalkan, kita sudah tiada peluang untuk menguji skuad khas ke Sukan SEA.

''Peranan pemain senior ialah memberi semangat kepada pemain muda kerana mereka memiliki pengalaman," katanya.

Mengenai perlawanan dengan United, Rajagobal berkata, rasionalnya dia tidak rela melihat pasukan bimbingannya menjadi skuad belasahan.

''Bagi saya perlawanan dengan United bukan sekadar perlawanan pertunjukkan.

''Keputusan perlawanan tetap penting, saya tidak rela kita dibelasah.

''Namun apa yang lebih penting ialah pemain kita dapat menimba pengalaman dari perlawanan tersebut.

''Nikmatilah perlawanan dengan pemain bertaraf bintang, pelajarilah kelebihan mereka, berikan yang terbaik, itu harapan saya," katanya. -Ihsan Utusan

7 Jul 2009

80,000 sambut kedatangan Ronaldo ke Real Madrid

MADRID 7 Julai - Cristiano Ronaldo berkata beliau kini telah memenuhi impian masa kecilnya apabila secara rasmi menjadi pemain Real Madrid sebelum mencipta rekod menarik hampir 80,000 orang ke stadium Santiago Bernabeu.

"Saya sangat gembira berada di sini," kata pemain sayap Portugal berusia 24 tahun itu memberithau pada peminatnya yang memenuhi stadium yang terletak di ibu negara Sepanyol itu selepas melengkapkan keinginannya sekian lama untuk berpindah dari Manchester United.

"Bagi saya ia memenuhi impian sejak kecil untuk bermain dengan Real Madrid. Saya tidak sangka stadium ini penuh hanya kerana ingin melihat saya. Ia sangat mengagumkan,'' tambahnya.

Pegawai kelab itu berkata, acara sambutan itu telah memadamkan rekod kehadiran penonton bagi sambutan pemain yang dibuat oleh Diego Maradona pada Julai 1984 apabila pemain legenda itu muncul di Naples selepas menandatangani kontrak dengan Barcelona, yang menarik 75,000 penonton.