29 Mei 2009

Kelantan Boleh Bermain Di Kota Baharu Tapi Bersyarat - FAM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat menarik balik penggantungan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV sebagai venue tuan rumah pasukan Kelantan berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan yang disiarkan melalui laman web FAM, keputusan itu dicapai berikutan semakan semula oleh Jawatankuasa Tatatertib yang bermesyuarat semalam mengenai hukuman penggantungan yang dikenakan pada 10 April lepas kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan KAFA akan dibenarkan bermain serta merta tetapi bersyarat.

"Bentuk syarat itu hanya akan ditentukan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang akan bermesyuarat di dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Keputusan itu bermakna Kelantan akan memulakan aksi Liga Super setelah berehat dua minggu menentang UPB-MyTeam pada 16 Jun di hadapan ribuan penyokong "The Red Warriors".

Kelantan sebelum ini telah digantung sepanjang musim ini daripada menggunakan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV berikutan rusuhan penonton pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada 7 April lepas, malah KAFA turut didenda hampir RM100,000.

KAFA sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan Liga Super setelah terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sumber : bernama.com

Tiada ulasan: