30 Mei 2009

KAFA mahu tingkat tahap keselamatan stadium

KUALA LUMPUR - Keputusan dibenarkan semula beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV disambut gembira oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), namun banyak lagi tugas untuk memastikan tahap keselamatan diperketatkan agar peristiwa rusuhan Mac lalu tidak berulang.

Menurut presidennya, Tan Sri Annuar Musa perbincangan antara KAFA dan perbadanan stadium akan diadakan bagi melakukan penambahbaikan stadium tersebut terutama sekali aspek keselamatan.

"Kita akan mengubah kedudukan kaunter tiket dan membina terowong untuk laluan pemain memasuki padang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, langkah-langkah keselamatan ketika perlawanan liga juga akan diperketatkan dan segelintir penyokong yang sering membuat kacau dengan melontar objek ke dalam padang dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana membenarkan kami beraksi semula di Kota Bharu.

"Ini adalah satu rangsangan buat pihak pengurusan dan pasukan Kelantan sebelum untuk kembali beraksi dengan lebih cemerlang seperti di awal musim," katanya.

Kata Annuar, peluang ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula kekuatan pasukan Kelantan apabila berlaku penurunan prestasi selepas dihukum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah.

sumber : utusan online

Tiada ulasan: