Memaparkan catatan dengan label EPL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label EPL. Papar semua catatan

20 Jun 2012

Kelantan vs Queens Park Ranger

Update : 
Tarikh dan lokasi perlawanan telah diubah...Harga tiket adalah RM 30 hingga RM 130

Pasukan Liga Super Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan antrabangsa menentang kelab EPL Queens Park Rangers(QPR).
 
Perlawanan ini dijangka akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 21 Julai 20 julai ini.Cukup mengecewakan bagi peminat-peminat setia The Red Warriors apabila perlawanan sehebat ini diadakan diluar Kelantan.Namun kita akur kerana Stadium kita tidak cukup untuk menampung jumlah penonton yang bakal hadir nanti.

Kelantan bakal menurunkan barisan terkuat termasuk kesemua pemain import bagi menghadapi kelab EPL ini yang diterajui oleh pengurus berpengalaman Mark Hughes.


14 Mei 2012

Manchester City juara EPL 2012!!!

Manchester City muncul Juara Liga Perdana Inggeris(EPL) apabila berjaya menewaskan QPR semalam 3-2 yang menyaksikan musuh seterunya Manchester United juga mencatat kemenangan tipis 0-1 keatas Sunderland.

Manchester City dan Manchester United berkongsi 89 mata namun perbezaan jaringan membolehkan Manchester City dijulang sebagai juara baru EPL.


26 Apr 2012

Rasional Manchester City ke Malaysia pada bulan Ramadhan

Gergasi Liga Perdana Inggeris sekali lagi akan bertandang ke Malaysia pada 24 julai dalam siri jelajah  Asia.Kali ini bukan Manchester United atau Liverpool tetapi kelab yang sedang meningkat naik dan sedang bersaing dengan Manchester United bagi merebut kejuaraa Liga Perdana Inggeris(EPL) iaitu Manchester City.

Kedatangan kelab tersebut dianggap tidak tepat pada masanya kerana ketika itu umat islam sedang berpuasa dalam konteks Malaysia sebuah negara yang majoritinya beragama islam.Rajagopal yang ditanya wartawan tentang faedah perlawanan ini menjawab : “Daripada kita tiada perlawanan pada bulan Ramadan, saya kira ini kesempatan terbaik untuk pemain belajar satu dua perkara daripada pemain bertaraf dunia. Kita kena berfikiran positif.” 

23 Ogo 2011

Apek dan Safee Sali bakal ke EPL?

Hari ini baca utusan malaysia berita tentang dua pemain kebangsaan akan diberi peluang untuk mengikuti latihan di Kelab Queens Park Rangers yang baru dinaikkan ke liga Perdana Inggeris musim ini.

7 Mac 2011

Liverpool malukan United


KUYT (tengah) meledakkan hatrik untuk membantu Liverpool menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam tadi.



STATUS Manchester United selaku pendahulu Liga Perdana England semakin tercalar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Setelah tewas 1-2 kepada Chelsea pada awal pagi Rabu lalu, skuad kendalian Alex Ferguson itu menerima malu lebih besar apabila tunduk 1-3 kepada Liverpool di Anfield malam tadi.
Hatrik daripada penyerang Belanda, Dirk Kuyt sudah cukup untuk membuatkan Liverpool terus melonjak ke tangga keenam liga.
United kini kekal dengan kelebihan tiga mata di persada liga berbanding pasukan di tangga kedua, Arsenal tetapi skuad The Gunners kurang satu perlawanan.

28 Feb 2011

Arsenal kempunan,Liverpool tewas lagi

Arsenal sekali lagi kempunan untuk menjulang piala liga apabila dihampakan kelab ditangga 16 liga inggeris 2-1,jaringan gol pada lewat penghujung saingan oleh Obafemi Martins memastikan Birmingham menjulang kejuaraan tersebut.

26 Okt 2009

Mana taring United?




JANGAN pandang Liverpool tidak berkemampuan.
Bila kena pada harinya, satu persatu kelab gergasi boleh dibaham.

Itu yang berlaku semalam di Anfield yang menyaksikan The Reds mengecewakan Manchester United 2-0 pada perlawanan Liga Perdana England (EPL).

Kemenangan tersebut sekali gus membuka peluang skuad bimbingan Rafael Benitez itu untuk bersaing merebut gelaran liga.

Pada perlawanan semalam, bintang Sepanyol, Fernando Torres dan pemain gantian, David Ngong muncul pemusnah apabila masing-masingnya menjaringkan gol pada minit ke-65 dan juga pada minit kecederaan babak kedua.

Namun apa yang penting, tiada lagi kejayaan yang lebih manis buat anak buah Benitez ini daripada menjadi penghalang kepada kemaraan The Red Devils.

Hasil kejayaan ini juga menyaksikan Chelsea kembali merampas takhta pendahulu Liga Perdana England dengan 24 mata daripada 10 perlawanan manakala United di tangga kedua dengan 22 mata.

Tottenham Hotspur pula menghuni tangga ketiga dengan 19 mata dan Liverpool terikat 18 mata di tangga keempat bersama Arsenal dan Manchester City yang memiliki baki satu perlawanan. – Agensi- Kosmo

15 Sep 2009

Liverpool dapat penaja baru musim 2010


PENGARAH Eksekutif Kumpulan Standard Chartered Bank, Gareth Bullock (kiri) bergambar bersama duta Liverpool, Kenny Dalglish (tengah) dan Pengarah Kelab Liverpool, Christian Purslow selepas majlis penajaan di Anfield kelmarin.


LONDON - Liverpool mengumumkan perjanjian penajaan jersi lumayan mereka kelmarin selepas menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Bank Standard Chartered.

Jenama bank dari Britain itu akan terpampang pada jersi The Reds bermula Julai 2010 menggantikan lambang minuman keras Denmark, Carlsberg yang menjadi penaja kepada juara Liga Perdana 18 kali itu sejak 1991.

Maklumat lanjut mengenai perjanjian itu tidak didedahkan, namun ia dipercayai bernilai sekitar £80 juta (RM465 juta).

"Peluang penajaan ini telah menarik banyak minat daripada pelbagai jenama lain yang diiktiraf di seluruh dunia," kata pengarah urusan Liverpool, Christian Purs- low.

"Dengan Standard Chartered, kami percaya kami memiliki rakan kongsi yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan impian besar kami di kelab ini.

"Ia adalah satu petanda besar terhadap perkembangan yang kami lakukan di Liverpool iaitu dengan kejayaan kami mendapat satu perjanjian terbesar dalam sejarah pengiklanan kami."

Suntikan dana ini akan memberi peluang besar kepada pemilik bersama dari Amerika Syarikat, Tom Hicks and George Gillett Jr yang membeli Liverpool pada 2007, namun gagal menggunakan reputasi terkenal mereka bagi memperoleh keuntungan menerusi perjanjian penajaan.

Liverpool adalah kelab paling berjaya dalam bola sepak Britain dengan memenangi 18 kejuaraan liga dan lima trofi Eropah. - kosmo

13 Sep 2009

Man. City, Liverpool berpesta gol

LONDON - Manchester City terus mempamerkan kegarangan mereka apabila berjaya menewaskan Arsenal 4-2 pada aksi Liga Perdana England semalam.

Liverpool turut berpesta gol apabila membelasah Burnley 4-0 di Anfield manakala Chelsea terus mengekalkan rekod kemenangan bersih musim ini biarpun sekadar menang tipis 2-1 ke atas Stoke City.

Di Stadium City of Manchester, hajat Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure untuk mengecewakan bekas pasukan mereka tercapai hasil tiga gol dalam tempoh 10 minit yang diperoleh City dalam tempoh 16 minit terakhir.

City mendahului pada minit ke-20 selepas penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia tertolak bola ke gawang sendiri sebelum Robin van Persie berjaya menyamakan kedudukan buat Arsenal pada minit ke-62.

Namun, City terus mengganas menerusi tiga gol, masing-masing menerusi jaringan Craig Bellamy pada minit ke-74, Adeba- yor (80) dan Shaun Wright-Phillips (84).

Tomas Rosicky menjaringkan gol kedua Arsenal pada minit ke-88 tetapi ia sudah terlewat untuk menyekat kemenangan bergaya City.

Di Anfield, hatrik menerusi Yossi Benayoun(gambar) pada minit ke-27, 61 dan 82 serta satu jaringan Dirk Kuyt (41) mengesahkan kemena- ngan Liverpool.

Di Stadium Britannia, Chelsea ketinggalan menerusi jaringan Abdoulaye Faye pada minit ke-32 sebelum Didier Drogba dan Florent Malouda menyelamatkan maruah The Blues dengan gol pada penghujung babak pertama dan babak kedua. -kosmo

10 Ogo 2009

Penalti julang Chelsea


Wayne Rooney (tengah) menyumbat gol penyamaan melepasi penjaga gol Chelsea, Petr Cech (terbaring) pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, London, semalam. - REUTER
WEMBLEY, England - Chelsea merangkul kejuaraan pembuka tirai bola sepak England, Perisai Komuniti selepas menundukkan Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 apabila masa penuh berakhir seri 2-2, semalam.

Ia merupakan kemenangan bermakna buat pengurus baru mereka, Carlo Ancelotti yang membimbing pasukan Blues itu dalam perlawanan kompetitif pertamanya.

Perlawanan tradisi itu juga sekali gus membuka tirai musim baru England, namun ia berlangsung agak panas, terutama selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Nani meletakkan United di depan hanya 10 minit selepas perlawanan bermula, manakala Ricardo Carvalho menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Ketika kedudukan terikat 1-1, pemain United, Patrice Evra terbaring di atas padang selepas dikasari Michael Ballack, dan ketika itu pemain tengah Chelsea, Frank Lampard merembat bola untuk kedudukan 2-1.

Jaringan tersebut mencetus kemarahan pemain-pemain United, namun pada ketika permainan hampir ditamatkan, Wayne Rooney berjaya menyamakan kedudukan 2-2, biarpun ulang tayang televisyen menunjukkan dia berada pada posisi ofsaid.

Bayangan awal kekalahan United muncul selepas sepakan penalti pertama yang diambil Ryan Giggs diselamatkan penjaga gol, Peter Cech, yang turut mudah menepis sepakan lemah Evra.

Chelsea mengesahkan kemenangan mereka menerusi sepakan terakhir yang disempurnakan oleh Salomon Kalou. - AP

6 Jul 2009

Dari Anfield ke Old Trafford



OWEN (kiri) ceria selepas menjalani ujian perubatan di Bridgewater Hospital, Manchester baru-baru ini.

"SAYA telah mengadakan perbincangan dengan kelab lain sehinggalah pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menghubungi saya pada pagi Rabu (1 Julai 2009) menjemput saya bersarapan pagi dengannya.

"Ferguson jelaskan dia berhasrat membawa saya ke United."

Demikian pengakuan Micheal Owen mengenai perpindahan pantas kurang daripada 48 jam ke United kerana perbincangan hanya bermula Rabu lalu dan diselesaikan sepenuhnya dua hari kemudian.

Penyerang yang akan mencecah usia 30 tahun pada 14 Disember depan itu telah menandatangani kontrak dua tahun bersama United dengan perpindahan percuma setelah kontraknya dengan Newcastle United berakhir pada 30 Jun lalu.

"Saya menyatakan persetujuan. Ini adalah peluang terbaik saya perlu menerimanya.

"Memang saya melalui kesuraman prestasi sepanjang berada di Newcastle tetapi keseluruhan karier saya adalah sangat baik.

"Saya yakin dengan menyertai kelab besar seperti United ini, ia dapat menghidupkan semula karier saya," jelas Owen.

Sering dilabel sebagai pemain yang kerap mengalami kecederaan, Owen menegaskan, dia sudah bersedia untuk mempertingkatkan tahap kecergasannya supaya dapat meyakinkan seluruh peminat United.

"Saya pasti ramai yang terkejut dengan keputusan ujian kesihatan saya ini. Saya lulus ujian dan kecergasan saya juga berada pada tahap tinggi," kata Owen.

Sejarah telah menunjukkan bahawa Owen sering mengalami kecederaan hamstring ketika dia bersama Liverpool dan selain mengalami masalah ligamen sepanjang berada di Newcastle.

Namun bagi Ferguson, itu semua tidak merisaukannya malah percaya Owen mampu mengembalikan sentuhannya.

"Owen merupakan penyerang kelas dunia dan dia telah membuktikannya dengan rekod sebelum ini," kata Ferguson.

Menyingkap perjalanan karier bola sepak Owen, anak keempat kepada pasangan Janette dan Terry Owen ini telah membesar dengan bermain bola sepak sejak kecil kerana bapanya, Terry merupakan bekas pemain bola sepak profesional.

Owen adalah peminat kelab Everton dan beraksi untuk pasukan sekolah rendahnya di Hawarden, Wales dengan memecahkan semua rekod jaringan pada pertandingan peringkat sekolah.

Ketika berusia 13 tahun, Owen menandatangani kontrak sebagai pemain remaja Liverpool biarpun sebelum itu dia telah mengadakan perbincangan dengan Chelsea, United dan Arsenal.

Akhirnya pada 1996 selepas dia tamat persekolahan di Lilleshall pada usia 16 tahun, Owen mula menyertai Skim Latihan Remaja Liverpool.

Pada tahun tersebut juga, Owen membantu Liverpool muncul juara Piala FA Remaja dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir untuk menewaskan West Ham yang ketika itu diwakili oleh Frank Lampard dan Rio Ferdinand.

Hanya empat bulan selepas itu, dia telah ditawarkan kontrak menyertai skuad senior Liverpool sejurus selepas menyambut hari jadinya ke-17 iaitu pada 18 Disember 1996.

Kemunculan pertamanya bersama Liverpool ialah ketika bertemu Wimbledon pada Mei 1997.

Namun, selepas lapan musim mencipta kejayaan di Liverpool, Owen mengorak langkah berhijrah ke kelab Sepanyol, Real Madrid pada musim 2004/05.

Namun hanya semusim dia bersama Real, Owen kembali semula ke England.

Pada Ogos 2005, Owen akhirnya sah menjadi milik Newcastle.

Namun, perpindahan Owen ke United menjadi sejarah kerana jarang sekali bekas pemain Liverpool atau United berpindah ke kelab musuh tradisi mereka itu.

Pemain terakhir yang berpindah secara terus melibatkan kedua-dua pasukan itu adalah Phil Chisnall yang berhijrah dari United ke Liverpool pada 1964.-kosmo

25 Mei 2009

EPL: Newcastle, Boro West Brom terkeluar


PEMAIN Hull, Andy Dawson (kiri) menarik pemain United, Nani dalam saingan EPL di Stadium KC, malam tadi.

LONDON: Dua gergasi - Liverpool dan Chelsea - masing-masing merakamkan kemenangan, malam tadi untuk menduduki tempat kedua dan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari yang menyaksikan dua pasukan - Newcastle dan Middlesbrough sah tersingkir ke liga bawah, musim depan.

Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 di gelanggang sendiri untuk mengesahkan diri selaku naib juara di belakang Manchester United manakala Chelsea menewaskan Sunderland 3-2 dengan lawan mereka itu menguntum senyuman terselamat untuk kekal dalam liga elit.

Apapun, hari yang malang pasti terarah kepada Newcastle yang tewas kepada Aston Villa gara-gara jaringan sendiri oleh Damien Duff pada minit ke-38.

Hull City yang tewas 1-0 kepada United di tempat sendiri melonjak riang selepas mendengar keputusan kekalahan Newcastle bagi menjamin tempat mereka untuk kekal semusim lagi dalam EPL.

Newcastle yang sudah 16 tahun beraksi dalam liga elit kini akan menyertai Middlesbrough yang tewas kepada West Ham 1-2 dan West Bromwich ke liga Championship, musim depan.

Dalam perlawanan lain yang kurang bermakna, Arsenal membelasah Stoke City 4-1, Everton menewaskan Fulham 2-0, Wigan mengatasi Portsmouth 1-0 dan Manchester City menewaskan Bolton 1-0. - Agensi

18 Mei 2009

United mahu atasi rekod hebat Liverpool


FERGUSON mencipta sejarah tersendiri dalam bola sepak England.


LONDON - Selepas bergelar juara Liga Perdana England buat kali ketiga berturut-turut, pengurus Manchester United, Alex Ferguson sudah memikirkan percaturannya untuk menghadapi saingan musim depan.

Beliau tetap dengan misinya untuk mempertahankan gelaran tersebut.

Ia bukan untuk kepuasan diri tetapi dalam usaha mereka memintas reputasi Liverpool dalam bola sepak England.

United merangkul gelaran Liga Perdana musim 2008/09 setelah meraih satu mata ketika seri 0-0 dengan Arsenal, sekali gus menyamai rekod pencapaian Liverpool yang sudah merangkul 18 gelaran liga.

Kejayaan kelmarin merupakan gelaran ke-11 yang diraih Ferguson bersama United.

Misi mereka selepas ini ialah untuk memburu gelaran ke-19 dalam bola sepak England bagi membolehkan mereka mengatasi rekod Liverpool.

"Saya kini memikirkan apa yang perlu kami lakukan tahun depan. Gelaran ke-19 menjadi sasaran agar ia terus terpahat dalam sejarah kelab ini," katanya.

Ferguson, 67, juga mendedahkan bahawa beliau merancang untuk bersara selepas ini.

"Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas tetapi akan mengumumkan persaraan apabila tahap kesihatan sudah tidak mengizinkan," katanya.

- Agensi

17 Mei 2009

Manchester United juara EPL


RONALDO (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Samai rekod musuh tradisi, Liverpool kumpul 18 mahkota liga

LONDON: Manchester United memenangi kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris 2008-09 berbekalkan keputusan seri 0-0 menentang Arsenal di Old Trafford, semalam.

United kini mempunyai 87 mata dengan baki satu perlawanan manakala kelab tangga kedua, Liverpool, yang turun menentang West Bromwich Albion hari ini mempunyai 80 mata.

Ia adalah kejuaraan liga ketiga berturut-turut buat United dan satu mata dalam perlawanan kedua terakhir kempen itu sudah mencukupi untuk meletakkan Red Devils di luar jangkauan Liverpool serta memastikan mereka menyamai rekod musuh ketat itu dengan sejumlah 18 mahkota liga.

“Ia tempoh 90 minit paling panjang dalam sejarah tetapi kami sudah berjaya mencapainya,” kata pengurus berusia 67 tahun itu selepas persembahan agak gemuruh pasukannya, “Tiada sebarang percubaan berbahaya yang menunjukkan betapa berhati-hatinya perlawanan itu.”.

Ditanya apakah maknanya untuk menyamai rekod Liverpool, Ferguson berkata; “Ia akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapatkannya di hadapan mereka. Kami mahu berkembang dengan pasukan ini, yang berkemampuan melakukannya.”

Namun, ia adalah persembahan hambar oleh United tetapi keraian bermula sebaik wisel penamat yang memastikan kejuaraan dan meletakkan mereka bersama Liverpool sebagai kelab England paling banyak memenangi trofi.

Arsenal, yang akan menduduki tempat keempat, banyak menguasai bola tanpa mencipta terlalu banyak peluang terbuka tatkala jentera serangan United hanya sesekali mengancam gawang pelawat.

Ferguson kini sudah mempunyai 25 trofi utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap untuk menjadikannya 26 apabila United berdepan Barcelona dalam final Liga Juara-Juara pada di Rome, pada 27 Mei ini.

Berbekal gol daripada Cristiano Ronaldo dan persembahan berkualiti dari penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga mempunyai pertahanan kental yang menyumbang kepada penjaga gol Edwin van der Sar mencatatkan rekod British dengan melalui 1,311 minit tanpa melepaskan gol.

Ia seketika tampak goyah April lalu, apabila mereka kalah 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool dan kemudian 2-0 di tangan Fulham sebelum kembali memulakan rentetan kemenangan tanpa kalah yang menjarakkan mereka mengatasi Liverpool. - Agensi

Benitez bangga pencapaian Liverpool

BIRMINGHAM, England - Rafael Benitez percaya Liverpool telah menunjukkan petanda peningkatan mendadak dalam kancah Liga Perdana England musim ini sekalipun peluang mereka untuk menyaingi gelaran juara sudah tertutup.

Mata tertinggi yang pernah dikutip mereka ialah 82 mata pada 2006, musim kedua Benitez bersama Liverpool tetapi dengan baki dua perlawanan sekarang ini mereka telah mengumpul 80 mata dan hanya tewas dua kali dalam saingan liga musim ini.

Walaupun Benitez berasa kecewa pasukannya sudah tidak mampu untuk meneruskan persaingan merebut takhta tetapi beliau sudah merasakan pasukannya telah mempamerkan peningkatan dalam kempen musim ini.

"Bagi kami 80 mata sudah cukup bagus, 82 merupakan mata terbaik yang pernah kami kumpul dalam Liga Perdana England sebelum ini.

"Ia saat yang menakjubkan jika kami berjaya mengatasinya, walaupun menamatkan saingan dengan 86 mata ia sudah cukup bagus,

"Saya gembira kerana kami begitu konsisten. Ia sesuatu yang positif dan baik untuk masa depan.

"Kami akan cuba melaksanakan tugas dalam baki perlawanan dan lihat apa yang akan terjadi.

Liverpool akan menerima suntikan dengan kehadiran semula pemain tengah, Xabi Alonso selepas dia terlepas perlawanan menentang West Ham kerana kecederaan buku lali.

Walaupun mengharungi musim yang cemerlang bersama pasukan Liverpool, Alonso merasakan kejayaan hanya dapat diukur melalui trofi kejuaraan.

Alonso mengakui tujuh keputusan seri yang dicatatkan Liverpool di tempat sendiri sedikit menjejaskan peluang mereka merangkul piala.

"Jika hendak diikutkan dalam aksi liga ia adalah yang terbaik berbanding sebelum ini tetapi jika anda tidak memenangi sebarang piala ia tidak boleh dikira musim yang bagus.

"Kami sepatutnya berasa kecewa dengan diri sendiri, cuba untuk mengkritik dan menganalisis apa yang kami tidak lakukan dengan sebaik mungkin.

"Sudah tentu anda juga perlu fikirkan kami telah melakukan peningkatan dalam Liga Perdana England dan kami perlu terus bekerja keras.

"Ia begitu menyakitkan apabila melihat dan memikirkannya semula keputusan seri yang telah dicatatkan termasuk dua kekalahan.

"Ia suatu perkara biasa untuk memikirkan di mana kami akan berada jika berjaya mencatatkan beberapa lagi keputusan yang bagus. Namun, semua pasukan dalam liga boleh memperkatakan perkara yang sama," katanya.

Pemain tengah West Brom, Borja Valero mengharapkan kemenangan dapat dicatatkan apabila bertemu rakannya Alvaro Arbeloa untuk menghidupkan peluang mereka yang berada di tangga terbawah liga keluar dari penyingkiran.

Kedua-dua pemain yang beraksi bersama di Real Madrid masih lagi perhubung selepas kedua-duanya berpindah ke England.

Albion kurang tiga mata untuk berada di zon selamat dan Valero masih sempat berjenaka, tatkala peluang Liverpool untuk merangkul piala sudah berkubur.

"Saya memberitahu mereka tidak mempunyai peluang untuk menjuarai liga dan memberikan kami tiga mata untuk tidak tersingkir

"Ia akan menjadi lebih sukar, sudah tentu salah satu perlawanan yang sukar tahun ini.

"Namun, kami yakin beraksi di tempat sendiri buat masa ini dan kami perlu percaya kepada diri sendiri dan cuba untuk memenangi perlawanan ini.

"Apa yang akan berlaku kami akan memberikan kesukaran buat Liverpool di The Hawthorns," katanya.

Pengurus West Brom, Tony Mowbray perlu membuat keputusan sama ada terus menggunakan Dean Kiely atau memanggil pemain yang disahkan cergas, Scott Carson tetapi Graham Dorrans dan James Morrison kedua-duanya tidak dapat beraksi. - AFP

14 Mei 2009

Gerrard terima anugerah FWA/England


GERRARD dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) buat pertama kali kelmarin.

LONDON - Kepimpinan Steven Gerrard sebagai kapten Liverpool tidak perlu dipersoalkan lagi.

Dia berjaya memimpin Liverpool untuk menjadi antara pencabar utama kejuaraan Liga Perdana England sejak beberapa musim lepas.

Disebabkan daya kepimpinannya yang tinggi itu, Gerrard telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) buat pertama kali kelmarin.

Gerrard berjaya mengetepikan pencabarnya dari Manchester United, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand menerusi undian ahli FWA.

Pemain berusia 28 tahun itu mengharungi musim ini sebagai penyerang kedua dengan gandingan hebatnya bersama Fernando Torres.

Dia telah menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan dan memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Liverpool pada kempen Eropah.

"Kami sangat gembira untuk mengiktiraf segala sumbangan Steven musim ini dengan anugerah berprestij kami ini," kata pengerusi FWA, Steve Bates.

"Steven mengharungi musim yang menakjubkan dan kerap kali menjadi pembangkit semangat terhadap kejayaan Liverpool muncul sebagai pencabar utama kejuaraan liga.

"Penulis sukan juga menganggap dia sebagai tunjang utama pasukan Liverpool dan seorang pemain yang sanggup memberi apa saja demi pasukannya."

Gerrard yang akan menerima anugerah tersebut pada majlis makan malam di London 20 Mei ini, menggantikan bintang United, Cristiano Ronaldo yang memenangi anugerah FWA pada 2007 dan 2008.

Pemenang terdahulu anugerah yang diperkenalkan pada 1948 itu ialah Bobby Charlton, Bobby Moore, George Best, Jurgen Klinsmann, Eric Cantona dan Thierry Henry. - AFP

Gol Carrick / Tevez selamatkan MU

LONDON: Carlos Tevez menyumbang gol penyamaan, manakala jaringan lewat Michael Carrick membuka ruang kepada Manchester United memburu kejuaraan liga apabila menewaskan Wigan Athletic 2-1, awal pagi tadi.

United yang dikejutkan dengan jaringan tuan rumah menerusi penyerang, Hugo Rodallega pada minit ke-29 selepas berjaya mengelirukan pertahanan, Nemanja Vidic.

Masuk separuh masa kedua, United terus menggandakan serangan tetapi seakan-akan mudah dikekang pertahanan Wigan.

Bagaimanapun, kemasukan Tevez menggantikan Anderson pada minit ke-58 menjadikan rentak permainan terus agresif dan pada minit ke-62 muncul jaringan Tevez.

Meskipun Tevez sebelum ini dilaporkan akan meninggalkan Old Trafford penghujung musim, kemasukannya nyata memberi nafas baru pada bahagian serangan.

Jaringan Tevez muncul apabila beliau mendapat bola daripada Carrick yang meledak kencang sebelum Tevez menyilang kaki dan menguisnya masuk ke pintu gol.

"Dia adalah pemain kecil yang melakukan keajaiban. Dia tahu saya mahukan dia terus di United," kata pengurus Alex Ferguson. 

Gol kemenangan United menyusul apabila Carrick menyambar hantar John O'Shea pada minit ke-85 dengan rembatan kencang ke arah kanan pintu gol lawan. - Reuters

13 Mei 2009

Tevez minat ke Anfield

Carlos Tevez

LONDON: Carlos Tevez (gambar) berhasrat untuk menyertai pencabar terdekat Manchester United, Liverpool, sekali gus mengundang rasa marah Alex Ferguson yang sentiasa enggan menjual pemain bertaraf bintangnya ke Anfield.

Tapi, melainkan United menjadikan status Tevez daripada dipinjam sebagai kekal, mereka mungkin tidak boleh berbuat apa-apa kerana pemain itu akan menjadi ejen bebas pada musim panas ini.

Fergie pernah menghalang Gabriel Heinze berpindah ke Liverpool dua tahun lalu walaupun mereka memang hendak menjualnya.

Liverpool dikatakan sudah menghubungi pemilik Tevez, Kia Joorabchian untuk menyatakan minat mereka dan pemain Argentina itu turut berminat untuk ke Anfield.

Tindakan itu akan membolehkan Tevez, 25, terus tinggal di Cheshire yang menjadi tempat tinggal keluarganya ketika ini. Dia bagaimanapun tidak menghiraukan kesan daripada perpindahan itu kerana sudah menyatakan minatnya untuk terus kekal, tapi berasa United tidak mahukannya.

Fergie perlu membuat keputusan sama ada membelanjakan £26 juta daripada £30 juta diperolehnya daripada penjualan Tevez, tapi tanda-tanda menunjukkan dia mungkin tidak menjual pemain itu. - Agensi

30 Apr 2009

Silap bagi penalti

LONDON: Pengadil, Howard Webb mengakui melakukan kesilapan menghadiahkan sepakan penalti kepada Manchester United sewaktu perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford, Sabtu lalu.

Pasukan pelawat mendahului 2-0 ketika Webb menyatakan penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes mengasari Michael Carrick selepas permainan berlangsung selama 57 minit apabila rakaman ulang tayang televisyen menunjukkan dia menampan bola keluar untuk menyelamatkan keadaan sebelum bertembung dengan pemain tengah itu.

Cristiano Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu untuk kembali meletakkan United bersaing dalam perlawanan itu yang menyaksikan mereka akhirnya menang 5-2 untuk kembali melonjak ke tangga teratas liga.

Webb memberitahu: “Saya menyaksikannya semula dan saya rasa ia kesilapan tetapi kami membuat keputusan seperti itu dengan jujur.

“Ia bukan satu perkara senang dengan aksi seperti itu melalui pandangan ketika berada di atas padang.” Bercakap kepada BBC Radio Cambridgeshire, Webb berkata: “Saya dapat melihat pemain Manchester United menyentuh bola dan melihatnya dipaut oleh penjaga gol tetapi tidak dapat melihat lencongan jari penjaga gol menyentuh bola itu.

"Saya kecewa kerana saya sentiasa cuba mencari kesempurnaan. Saya akan melihat pita dengan lebih lanjut pada penghujung minggu selepas ini dan cuba mengelak daripada kembali berlaku pada masa depan.

“Saya tidak mahu mempunyai kesan negatif terhadap perlawanan dan saya tidak mendapat kepuasan daripada mencapai tahap tinggi yang kami letakkan terhadap diri kami sendiri.”

Pemain tengah Spurs, Jermaine Jenas mengkritik keputusan itu dengan mengatakan Webb “goyah di bawah tekanan” dan pemain itu kini akan berdepan tindakan disiplin daripada Persatuan Bola Sepak (FA) terhadap komen diberikannya.

FA memberikannya tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan kenyataan dibuatnya selepas dipetik sebagai berkata: “Suasana, keadaan, kepentingan perlawanan itu, banyak faktor perlu diambil kira apabila keputusan dibuat”. - Reuters

23 Apr 2009

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Manchester United 2 [Rooney min9, Carrick min82] - Portsmouth 0

Chelsea 0 - Everton 0