28 Mei 2009

Masa untuk pulihkan semangat

KUALA LUMPUR - Peluang berehat selama dua minggu dalam saingan Liga Super akan digunakan sepenuhnya oleh pasukan Kelantan untuk merawat dan memulihkan keyakinan di kalangan pemain terutama sekali selepas berjaya menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan KL PLUS 1-0 kelmarin.

Kemenangan tipis tersebut dianggap sebagai satu kemenangan psikologi dan ia diakui sendiri oleh pengendali pasukan Wira Merah itu, Peter Butler (gambar) yang terpaksa menunggu selama enam perlawanan untuk melihat pasukan bimbingannya kembali mencatat kemenangan.

"Satu masa yang lama untuk menantikan sentuhan kemenangan kembali dicatat oleh pasukan Kelantan dan saya harap keputusan perlawanan pada malam ini (kelmarin) mampu menaikkan semula semangat pemain," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Jelasnya, kemenangan tersebut mampu untuk meredakan ketegangan masalah yang dihadapi seluruh pasukan Kelantan berikutan hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kembali ke Kota Bharu untuk membuat persediaan dengan lebih rapi.

"Banyak perkara yang perlu kami lakukan walaupun dalam tempoh rehat pertengahan musim selama dua minggu, semuanya adalah untuk melihat peningkatan permainan berlaku secara terus-menerus.

"Perlawanan persahabatan akan diadakan dalam tempoh rehat ini untuk memulihkan kembali keyakinan dan kekuatan mental pemain," kata Butler.

Menurutnya, tekanan memang sentiasa menghantui pemainnya selepas dihukum untuk beraksi di Kuala Lumpur dan pemain begitu merindukan sokongan padu dari penyokong setia di Kota Bharu.

"Semua orang begitu merindui suasana penyokong yang ramai, tanyalah pasukan mana pun mereka sudah tentu tidak mahu menjadikan gelanggang lain sebagai gelanggang sendiri.

"Letaklah Selangor beraksi di Kangar dan Perlis beraksi di Johor Bahru sudah tentu suasana dan keadaannya sama seperti yang kami lalui. Siapa yang mahu beraksi di gelanggang lawan?," katanya.

Tiada ulasan: