28 Mei 2009

Barcelona terhebat Eropah juara UCL 08/09


GAMBAR atas, pemain FC Barcelona meraikan kejuaraan Liga Juara Juara di Stadium Olimpik, Rom, awal pagi tadi, apabila menewaskan pasukan Manchester United 2-0. Gambar bawah, kiri, penyerang Barcelona, Samuel Eto'o (tengah) melepasi pemain tengah Manchester, Michael Carrick (kiri) dan pertahanan, Nemanja Vidic sebelum menyumbat gol pertama Barcelona. Gambar bawah, kanan, penyerang Barcelona, Lionel Messi (tengah) menggelecek dan mengatasi pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo (kanan), Park Ji-sung (kiri) dan Rio Ferdinand. - Foto AF/Reuters

ROME 28 Mei - Barcelona menewaskan Manchester United 2-0 untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara menerusi jaringan Samuel Eto’o dan Lionel Messi pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Olimpik Rome awal pagi tadi.

Eto’o meletakan juara Sepanyol itu di depan pada minit ke-10 dan tandukan cantik Messi pada minit ke-70 mengesahkan Barcelona memenangi kejohanan peringkat kelab Eropah paling berprestij buat kali ketiga.

Kemenangan ke atas juara bertahan itu melengkapkan kejuaraan treble untuk jurulatih Barcelona, Pep Guardiola pada musim pertamanya selepas memenangi liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol.


LIONEL Messi (kiri) menanduk untuk menjaringkan gol kemenangan Barcelona melepasi penjaga gawang Manchester United, Edwin van der Sar dan hanya dapat diperhatikan oleh Rio Ferdinand pada pertembungan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik, Rome awal pagi tadi. BArcelona juara 2-0. - REUTERS


United pula gagal memburu kejuaraan keempat peringkat Eropah, yang juga trofi keempat United selepas memenangi Liga Perdana England, kejohanan Kelab Piala Dunia FIFA dan Piala Liga.

Jaringan pertama Eto’o diperoleh apabila dia berjaya memintas dari penjuru kanan dan melepasi halangan Nemanja Vidic dan melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol United Edwin van der Sar di penjuru gawang.


SAMUEL Samuel Eto'o (kanan) meraikan kejayaan menyumbat gol pembukaan Barcelona bersama-sama Andres Iniesta selepas 10 minit prlawanan menentang Manchester United bermula di Stadium Olimpiik, Rome, awal pagi tadi. - REUTERS


Xavi melakukan percubaan menerusi sepakan bebas namun terkena tiang gawang United sejurus babak kedua bermula sebelum Lionel Messi mengesahkan kemenangan apabila menanduk hantaran lintang Xavi.

Barcelona, yang merupakan juara Eropah 1992 dan 2006, mengambil giliran menguasai perlawanan selepas United menguasainya di sepanjang 10 minit pertama babak awal.

Pada awal perlawanan, United memperoleh peluang gol menerusi sepakan bebas Ronaldo yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Barcelona Victor Valdes namun Park Ji-sung gagal tiba tepat pada masanya untuk menyambar bola yang terlepas.

Ronaldo menghidupkan penjuru kanan United sehinggalah Barcelona menjaringkan gol pertama dengan Eto’o mempamer gerakan menarik, mengawal bola dengan kemahirannya menewaskan penjaga gol United.

Selepas mendapat gol pertama, Barcelona mengawal permainan dan setiap gerakan United kerap dapat dipatahkan oleh kelab Catalan itu.

PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson kelilhatan hampa
selepas melihat pasukannya kalah di tangan Barcelona 2-0 di Stadium Olimpik awal pagi tadi


Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson(gambar) enggan memberikan sebarang alasan selepas pasukannya kalah kepada Barcelona sebaliknya berkata kelab Sepanyol itu selayaknya menjadi pemenang pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome awal pagi tadi.

Gergasi Sepanyol, Barca cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas United yang pada awalnya bermula baik namun bergelut mencari prestasi terbaik di sepanjang perlawanan.

``Saya rasa gol pertama telah membunuh kami, kami bermula cemerlang, namun kami agak gementar selepas itu.

``Kami mempunyai banyak masa, kami mempunyai peluang gol terbaik di babak kedua namun ia adalah adil kerana kami kalah kepada pasukan yang lebih baik.

``Selepas jaringan pertama ia amat menyukarkan kami.

``Mereka bertahan agak baik, kami jangkakan kami mampu menembusi pertahanan mereka, namun kami kecewa,’’ katanya kepada ITV.

Pertahanan United cemerlang musim ini namun goyah sejak awal perlawanan dan kerap terdedah yang menjadi punca dua gol dibolosi.

``Memang malang melepaskan jaringan sedemikian apatah lagi pada peringkat seperti ini, sedangkan pertahanan kami cemerlang musim ini.

``Namun kami menentang pasukan yang bagus dan kami patut memberikan mereka pujian. Xavi dan Iniesta menyekat kami di sepanjang perlawanan. Mereka membuatkan kami sukar,’’ kata Ferguson.

Jaringan kedua menjelma 20 minit menuju masa penamat apabila Messi tiba tepat pada masanya untuk menyambar bola lintang Xavi. - AGENSI


LIONEL Messi meraikan kejayaan menyumbat gol menentang Manchester United awal pagi tadi. - REUTERS

Tiada ulasan: