Memaparkan catatan dengan label stadium baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label stadium baru. Papar semua catatan

1 Apr 2013

TRW tolak stadium baru

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan menggunakan stadium kerajaan negeri di Bandar Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh, bagi tujuan perlawanan membabitkan pasukan The Red Warriors (TRW).

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dipetik menerusi laman sosialnya berkata, demi keselesaan penyokong, TRW akan terus menyewa Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebagai gelanggang rasmi sehingga mempunyai stadium sendiri diuruskan oleh mereka.

 “Yang pasti Kafa dan TRW tidak akan menyewa di sana jika siap dibina sekali pun. Ramai yang minta saya komen tapi saya tidak mahu komen. Itu hak kerajaan negeri hendak buat atau janji apa-apa. Kafa tidak terlibat, tidak pernah dilibatkan, malah tidak tahu menahu (perkara ini).

“Kita hanya dengar (pembinaan stadium itu) menerusi akhbar dan iklan. Difahamkan ia sebuah stadium pelbagai guna bagi tujuan aktiviti sukan, ceramah dan lain-lain,” katanya.

 Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan pecah tanah projek membina stadium bernilai RM320 juta di Bukit Merbau.

Difahamkan stadium berkenaan, apabila siap, mempunyai kemudahan setaraf dengan Stadium Olimpik Beijing di China.

7 Jan 2013

Stadium baru jika menang tiga piala

Nilai: Jika menang tiga piala musim ini, skuad Kelantan dijanjikan ganjaran paling mahal - sebuah stadium baru menggantikan Stadium Sultan Muhammad IV yang dibina pada tahun 1967 dengan kapasiti hanya 30,000 orang. 

 Pertambahan jumlah kehadiran penonton serta masalah kesesakan tempat duduk dan tempat letak kenderaan jelas memerlukan perhatian segera pihak tertentu. Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menjanjikan perubahan kepada penyokong The Red Warrior (TRW) dan bersedia membantu mendapatkan sebuah stadium di negeri itu.

 “Apabila ada perlawanan, penyokong yang hadir melebihi kapasiti stadium dan terpaksa berasak-asak, terpaksa berjalan jauh. 

Sebelum ini ada yang kata hendak bina stadium tetapi sehingga kini belum nampak lagi. “Jika TRW menang tiga piala tahun ini, kita boleh tolong untuk mendapatkan stadium baru di Kelantan," katanya berucap di hadapan Kelab Penyokong The Red Warrior (TRW) KLIA di Dataran Doraymee, semalam. Mustafa berkata, transformasi yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah berjaya merubah wajah TRW daripada 'zero' kepada hero termasuk kini mempunyai lebih 30 kelab penyokong. Sumber : Bharian

26 Feb 2012

Kafa bina stadium RM300 juta

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal memiliki stadium sendiri di tapak yang dikurniakan Sultan Muhammad Ke-V di Bandar Baru Tunjong.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bernilai kira-kira RM300 juta, akan dibina secepat mungkin di tanah seluas kira-kira lapan hektar.

19 Dis 2011

Dua Stadium satu Score Board

Penyokong-penyokong bolasepak Kelantan dilihat paling bertuah andai 'impian' untuk memiliki stadium baru yang lebih selesa bakal menjadi kenyataan.Selepas ini penyokong-penyokong tidak perlu memikirkan tentang masalah untuk mendapatkan tiket-tiket perlawanan serta tidak perlu lagi berasak-rasak untuk memasuki stadium.

Isu stadium baru menjadi topik hangat apabila Kerajaan negeri yang telah mengumumkan bakal membina Stadium The Red Warriors di Bukit Merbau,Pasir Puteh.

Namun KAFA melalui presidennya TSAM juga telah mengumumkan bahawa bakal mendapat Stadium Baru yang ingin dinamakan sebagai Stadium Sultan Muhammad ke V.Stadium tersebut bakal dibina dengan peruntukan dari kerajaan pusat.

 Lakaran Stadium yang bakal dibina di Bukit Merbau ,Pasir Puteh

18 Mei 2011

Kenyataan Media : Kelantan akan bina stadium muat 40,000

Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.

10 Feb 2010

Stadium baru jadi kenyataan






HASRAT peminat bola sepak Kelantan menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium baru mungkin akan menjadi kenyataan.
Ini kerana kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tapak pembinaan bagi kompleks sukan termasuk sebuah stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood berkata, mesyuarat Perbadanan Stadium sebelum ini turut memutuskan untuk mengekalkan Stadium Sultan Muhammed IV yang berusia lebih 40 tahun itu.
Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 16 hektar di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu sebagai lokasi pembinaan kompleks sukan tersebut.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri juga memohon sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membina kompleks sukan yang dicadangkan itu.
"Kita memilih untuk mendirikan stadium baru ini atas sebuah tapak baru kerana berpendapat stadium yang sedia ada mempunyai nilai sentimental serta sejarah yang tersendiri.
"Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa sebuah stadium baru sangat diperlukan untuk pelbagai program termasuk bola sepak, cuma ketika ini kita berdepan masalah kekangan kewangan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon Kerajaan Pusat membina sebuah stadium bola sepak berharga RM100 juta di Kelantan bagi memberi keselesaan kepada penonton menyaksi- kan perlawanan bola sepak.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bola sepak baru yang dicadangkan itu dapat menampung kira-kira 30,000 penonton berbanding Stadium Sultan Muhammed IV yang hanya boleh menampung 15,000 penonton sahaja.


STADIUM Sultan Muhammed IV yang hanya mampu menampung 15,000 penonton.



Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri begitu berbesar hati sekiranya pihak-pihak berkenaan bersedia untuk menyumbang dari segi dana bagi pembinaan stadium baru tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini belum ada perbincangan khusus antara kerajaan negeri dan KAFA mengenai perancangan tersebut.
"Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan seketika isu-isu tertentu semata-mata untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan sukan serta bola sepak tempatan.
"Kerajaan negeri memandang serius dan positif mengenai perkara ini dan ia seharusnya mampu direalisasikan untuk kepentingan golongan belia di negeri ini," ujarnya.
Katanya, beliau bersama Timbalan Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Stadium sebelum ini telah melakukan lawatan ke Korea Selatan untuk melihat sendiri stadium serta prasarana sukan yang dimiliki negara tersebut.
Abdul Fatah turut melahirkan harapan untuk menjadikan program pembangunan sukan di Kelantan setanding dengan negeri- negeri lain.
"Sukan hari ini bukan lagi sekadar hobi atau minat tetapi ia mampu dijadikan satu kerjaya yang baik dan mendatangkan pulangan lumayan kepada para atlet dan ahli sukan," tambahnya.

8 Feb 2010

KAFA mohon stadium baru








PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon Kerajaan Pusat membina sebuah stadium bola sepak berharga RM100 juta di Kelantan bagi memberi kesele- saan kepada penonton menyaksi- kan perlawanan bola sepak.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bola sepak baru yang dicadangkan itu dapat menampung kira-kira 30,000 penonton berbanding Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu hanya dapat menampung kira-kira 15,000 penonton sahaja.
"Sambutan luar biasa peminat setia pasukan Kelantan setiap kali perlawanan Liga Malaysia sebenarnya memberi isyarat tentang perlunya sebuah stadium bola sepak yang lebih besar dan dilengkapi dengan fasiliti terkini dibina di negeri ini,"
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kelab Penyokong Ketereh dan Barangan Jenama 


STADIUM Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu hanya dapat menampung kira-kira 15,000 penonton.



The Red Warriors di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu semalam.
Turut hadir jurulatih, B. Sathia- nathan dan pemain Kelantan.
Annuar memberitahu, beliau telah mengemukakan permohonan tersebut ketika bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Mohamed Nor Yaacob di Unit Perancangan Ekonomi, JPM, Putrajaya pada Khamis lalu.
"Saya telah menyampaikan saranan dan syor mewakili pihak pe- ngurusan KAFA serta rakyat Kelantan untuk memohon sebuah stadium bola sepak baru dibina di Kelantan melalui peruntukan Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
"Alhamdulillah, cadangan yang dikemukakan oleh KAFA itu mendapat perhatian positif," katanya
Menurut Annuar, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak milik kerajaan persekutuan untuk pembinaan stadium bola sepak baru itu.








Dalam pada itu tambahnya, stadium baru itu juga dicadangkan diuruskan sendiri oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Kelantan merupakan satu-satu- nya negeri yang tidak memiliki stadium serba canggih.
Malah, ada negeri memiliki dua stadium bersaiz antarabangsa seperti Sarawak yang membina stadium baru ketika Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja pada tahun 1997.
Melaka turut membina stadium baru iaitu Stadium Hang Jebat.

Dari Meja Presiden - Stadium Baru



"Alhamdulillah, syukur kerana dengan izinNya maka saya diberikan peluang untuk berkongsi serba sedikit situasi semasa bersama-sama peminat red warriors sekalian. Sesungguhnya menjadi harapan kita semua untuk melihat sebuah stadium baru yang mempunyai kapasiti yang lebih besar, selesa dan dilengkapi dengan fasiliti serta kelengkapan terkini tersergam indah di bumi Cik Siti Wan Kembang yang amat kita sayangi ini.

InsyaAllah harapan kita ini  akan menjadi kenyataan. Hasil pertemuan bersama denganMenteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Tan Sri Mohamed Nor Yaacob sewaktu perjumpaan di Unit Perancangan Ekonomi JPM pada hari Khamis 4hb Feb 2010 jam 2.30 p.m, saya telah menyampaikan saranan dan syor mewakili pihak pengurusan KAFA dan rakyat Kelantan untuk memohon sebuah stadium bola sepak yang baru melalui peruntukan Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia yang ke 10. Dan turut hadir bersama saya ketika itu adalah Dato' Mustapha Mohamad serta Dato' Awang Adek Husin.

Ironinya stadium yang ada sekarang hanya mampu menampung seramai 15000 peminat dalam satu-satu perlawanan. Lebih memeritkan, KAFA terpaksa membayar sewa dan levi yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM50,000.00 dalam satu-satu perlawanan yang sama sekali berbeza sekiranya diadakan diStadium Nasional Bukit Jalil yang hanya memakan kos hanya sekitar RM10,000.00. Sukacita ingin saya maklumkan yang cadangan ini mendapat respon positif dari YB Tan Sri Mohamed Nor Yaacob. InsyaAllah impian semua rakyat Kelantan akan menjadi kenyataan.