24 Mei 2009

Merah Kuning rampas persada Liga Super

PEMAIN Selangor, Safee Sali (kiri) cuba dihalang pemain Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Singa Utara gagal pertahan posisi selepas tewas di Kangar

PENGUASAAN Perlis di persada Liga Super akhirnya terungkai ekoran kekalahan di gelanggang sendiri ketika pesaing utama, Selangor, bergembira di Shah Alam, malam tadi.

Di Stadium Utama, jaringan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-74 membolehkan Terengganu menggamamkan lawan apabila gerakan solonya dari tengah terus ke kawasan penalti sebelum disudahkan dengan rembatan ke sasaran.

Ketika Perlis meningkatkan usaha menyerang buat mencari gol penyamaan, kealpaan benteng dihukum gol Abdul Manaf Mamat pada penghujung masa kecederaan untuk Terengganu pulang membawa kemenangan 2-0.

Perlis kini kekal dengan 38 mata, dipintas Selangor yang memiliki 40 mata selepas bangkit menundukkan Kedah hasil kejayaan 3-1 di Stadium Shah Alam.

Kedah bagaimanapun lebih awal mendahului menerusi jaringan Fauzi Shaari pada penghujung babak pertama sebelum Amri Yahyah mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-56.

Rudie Ramli kemudiannya menjelmakan gol pendahuluan Selangor pada minit ke-67 sebelum Amirulhadi Zainal melengkapkan kemenangan menerusi jaringan ketiga, tiga minit sebelum tamat.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan membelasah Pulau Pinang 5-1 untuk memintas Kedah di tangga ketiga. Johor FC turut menang besar, 4-0 mengatasi Pahang ketika KL Plus membenam Kelantan 2-0.

Di Stadium Darulaman, KM Naza berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak ketika pertembungan UPB MyTeam dan Polis di Stadium Petaling Jaya, berakhir seri tanpa jaringan.

Credit:Bharian

Tiada ulasan: