25 Mei 2009

Ancaman KAFA Seperti Bunuh Diri, Kata Raja Bola

Datuk Abdul Ghani Minhat

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengancam untuk menarik diri daripada meneruskan 11 baki perlawanan Liga Super musim ini diibaratkan sebagai perbuatan membunuh diri.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat (gambar) yang melihat ugutan KAFA itu akan memberi kesan kepada negara dan pemain Kelantan khususnya.

"Secara tidak langsung, tindakan itu akan membunuh bakat-bakat baru yang ada di negeri itu terutamanya apabila kita bercakap mengenai aspek pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata jika keadaan itu berlaku, pemain muda sudah tidak ada matlamat untuk meneruskan permainan bola sepak malah akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan kerana Kelantan sememangnya melahirkan pemain berbakat sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga digelar sebagai 'Raja Bola' berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu menggunakan budi bicara dalam menangani isu penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV itu.

FAM menggantungkan stadium itu sebagai gelanggang sendiri KAFA bermula 9 April berikutan insiden rusuhan penyokong menyebabkan KAFA menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

"Mungkin FAM boleh mengenakan beberapa syarat tambahan seperti jaminan keselamatan daripada KAFA agar rusuhan penonton tidak berulang," katanya.

Beliau berkata jika hendak diteruskan juga larangan itu mungkin Kelantan boleh bermain di tempat yang lebih dekat seperti di Terengganu di mana perjalanannya hanya mengambil masa dua atau tiga jam sahaja.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan berkata persatuan itu menimbang untuk menarik diri daripada meneruskan saingan Liga Super berikutan penggantungan stadium itu.

Anuar berkata terdapat dua pilihan yang dirancang iaitu Kelantan akan terus beraksi dalam baki saingan Liga Super dengan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah tetapi terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan.

Pilihan kedua pula Kelantan akan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi mengekalkan pasukan sedia ada untuk mengadakan perlawanan amal mencari dana kewangan bagi membolehkan mereka kembali beraksi pada saingan Piala Malaysia yang bermula Oktober ini.

Khamis lepas, FAM menerusi jawatankuasa rayuannya telah menolak rayuan KAFA terhadap penggantungan stadium itu.

Sumber : BERNAMA.COM

Tiada ulasan: