21 Mei 2009

MSSM: Kelantan kejutkan gergasi


AMIR Fakri (kanan) menewaskan Vinoth Sreedharan (kiri) untuk memenangi acara 400m di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.

KELANTAN membuat kejutan pada hari pertama kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), mengatasi kuasa-kuasa besar seperti Sarawak dan Selangor untuk mengetuai senarai pungutan pingat dengan lima emas, dua perak dan satu gangsa.

Negeri Pantai Timur itu mengungguli acara jarak sederhana 1,500 meter apabila meraih dua emas dalam acara perempuan 15 tahun dan lelaki 18 tahun masing-masing menerusi Nik Norzilawatie Nik Wil dan Nik Hafiz Nik Mohamad.

Satu emas dirangkul dalam jarak sederhana 400m lelaki 18 tahun oleh Muhamad Amir Fakri Ismail dengan baki dua emas dibawa pulang Bibi Nurashah Ishak dalam acara lempar cakera 15 tahun dan Wee Ai Yin dalam lompat tinggi perempuan bawah 12 tahun.


Pungutan itu yang mengatasi Terengganu di tempat kedua dengan 4-2-4 jelas sesuatu yang tidak dijangkakan kem Kelantan sendiri memandangkan negeri itu serba kekurangan dalam kemudahan latihan.

"Kami hanya mensasarkan tujuh atau lapan emas saja, lebih daripada itu adalah bonus. Kelantan sendiri tidak mempunyai kemudahan seperti trek larian dan kejohanan," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Olahraga Kelantan, Tan Voon Seng.

Jiran mereka, Terengganu pula tidak akan duduk diam dengan mereka kini bersedia menggempur dua acara riben biru, 100m lelaki dan perempuan 15 tahun yang bakal diadakan hari ini.

"Kami meletakkan harapan ke atas Harif Harma yang memiliki catatan peribadi, 10.9 saat dalam acara lelaki dengan Herma Nurul Ain menjadi sandaran kami dalam acara perempuan dengan catatan peribadi 12.9s," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Terengganu, Mohd Ariff Awang.- Ihsan BHarian

Tiada ulasan: