27 Mei 2009

Kelantan bangkit di Bukit Jalil


PEMAIN Terengganu, Abd Manaf Mamat (kanan) berebut bola dengan pemain Johor FC, Md Nurul Azuwan Roya pada saingan Liga Super di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Terengganu menang 3-2.

Hajat Kedah catat tiga mata tidak kesampaian tewas 1-0 kepada Perak

PERAK meraih kemenangan semangat bagi menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut untuk bangkit bagi mengaibkan pasukan di tangga keempat, Kedah 1-0, keputusan yang nyata melegakan jurulatih M Karathu.

Kata-kata semangat di bilik persalinan, nyata membangkitkan semangat pemain Perak apabila berjaya berada di depan pada minit ke-47 menerusi gol Razali Umar Kandasamy.

Dia yang tidak dikawal, berjaya mencuri bola daripada kaki Mohd Sabri Md Abu sehingga memaksa penjaga gol Kedah, Md Helmi Eliza Alias, meninggalkan gawang. Tapi Razali bijak menguis bola ke gawang.

Walaupun corak permainan anak buah Azrai Khor Abdullah lebih tersusun, barisan Perak kental bertahan sehingga wisel penamat. Keputusan itu menyaksikan Kedah kekal di tangga keempat Liga Super dengan 31 mata dan Perak mengumpul 23 mata.

Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu yang disuntik semangat selepas mengaibkan Perlis, Sabtu lalu, menjadikan Johor FC sasaran mereka apabila menundukkan pelawat 3-2.

Terengganu bermula garang dan gol yang dinanti hadir pada minit ke-32 apabila Ashaari Shamsudin yang menerima hantaran daripada Manaf Mamat, meledakkan bola ke gawang menggunakan kaki kirinya, menewaskan penjaga gol Johor FC, G Jeevanathan.

Kegirangan tuan rumah tersentak menjelang tamat separuh masa apabila Eddy Helmi Abdul Manan, yang tidak dikawal, mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Md Shabinee Allawee pada minit ke-36.

Ashari bermain cemerlang malam tadi untuk mencatatkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 90, manakala gol kedua Johor FC dijaringkan Md Azizan Baba pada minit ke-68.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelantan menghapuskan badi lima kekalahan berturut-turut apabila menewaskan KL Plus 1-0 hasil jaringan Zairul Fitri pada minit ke-35 bagi mencatat kemenangan pertama di 'rumah baru' mereka selepas dilarang beraksi di Stadium Sultan Mohd IV. -Ihsan Bharian

Tiada ulasan: