27 Mei 2009

Nasib Kelantan tidak menentu


IMBAS KEMBALI... Segelintir penyokong Kelantan menterbalikkan trak polis sebelum membakarnya di pekarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV pada 7 April lalu.


NASIB pasukan Kelantan sama ada akan meneruskan baki saingan Liga Super bagi musim 2009 atau sebaliknya masih belum diputuskan.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan mesyuaratnya dalam masa terdekat bagi memutuskan perkara tersebut.

Terdahulu, Kafa mengancam untuk menarik diri daripada meneruskan baki saingan Liga Super musim ini ekoran pelbagai masalah.

Tidak cukup dengan penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, perjalanan jauh yang memenatkan serta kerugian RM30,000 yang ditanggung ekoran terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menambahkan lagi derita skuad Wira Merah itu.

Malah, lima kekalahan berturut-turut yang dialami seolah-olah memburukkan lagi situasi Kelantan yang kini jatuh ke tangga ketujuh liga.

Ketika semua peminat setia pasukan dari Pantai Timur itu berdebar-debar menanti keputusan yang bakal dibuat oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, namun masih ada beberapa pihak yang masih mengharapkan sedikit keajaiban.

Dua kelab penyokong bola sepak Kelantan semalam telah menyuarakan kesediaan mereka untuk menerima dan menyokong apa jua keputusan yang bakal diputuskan Kafa nanti.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhashim Mat berharap skuad Wira Merah yang baru dinobatkan sebagai naib juara Piala FA 2009 baru-baru ini tidak akan menarik diri.

"Jangan tarik diri kerana jika perkara ini berlaku, ia amat merugikan terutama dari segi pembangunan bakat- bakat muda yang ada di Kelantan," katanya semalam.

Marhashim berkata, pihaknya akan meminta Kafa sekali lagi cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang menjadi punca utama kepada isu penarikan ini.

"Jalan penyelesaian masih belum tertutup sepenuhnya kerana rayuan mungkin boleh diajukan terus kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, walau apa pun keputu- sannya, pihaknya tetap akan memberi sokongan penuh kepada Kafa di mana turut disokong oleh Pengerusi Kelab Penyokong Bola sepak Kelantan, Mohd. Yahya Jamada Ali.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang Kafa jika hasrat menarik diri diteruskan juga," kata Mohd. Yahya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu melihat kisah lama berulang kembali di mana Kafa terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya akan memusnahkan pasukan itu sendiri.

"Kemeriahan di dalam bola sepak tempatan akan hilang serinya pada tahun ini kerana persembahan Kelantan merupakan salah satu faktor yang menjadikannya lebih menarik terutama dari segi sokongan peminat," katanya.

Kosmo

Tiada ulasan: