Memaparkan catatan dengan label piala malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label piala malaysia. Papar semua catatan

13 Jul 2014

Keputusan undian Piala Malaysia 2014

Kumpulan A

Pahang
Lions XII
Felda United
Johor DT II

Kumpulan B

Terengganu
Sarawak
Perak
Kedah

Kumpulan C

Johor DT I
Kelantan
ATM
Pulau Pinang

Kumpulan D

Selangor
Sime Darby
PDRM
T.Team

3 Nov 2013

Pahang Juara Piala Malaysia 2013!!!

Keputusan penuh :

Kelantan 0-1 Pahang

Jaringan tunggal pemain import,Martias Conti memastikan Pahang menjulang Piala Malaysia menewaskan juara bertahan Kelantan.

14 Sep 2010

Peminat Hampa...Tiket Habis

Perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2010 diantara musuh seteru Kelantan iaitu Negeri Sembilan ternyata paling menarik perhatian kerana ribuan penyokong-penyokong Kelantan berpusu-pusu membanjiri perkarangan stadium bagi seawal jam 8 pagi lagi bagi membeli tiket-tiket perlawanan.

Tiket-tiket perlawanan yang dijanjikan akan dijual pada 10 pagi telah habis terutamanya tiket tempat duduk berbumbung seawal kaunter dibuka.Banyak persoalan timbul bagaimana tiket-tiket tersebut telah habis sedangkan pihak KAFA telah berjanji seperti yang diwar-warkan dalam media bahawa tiket-tiket perlawanan ini akan dijual pada hari perlawanan bermula jam 10 pagi.

Ramai peyokong-penyokong yang kecewa dan hampa kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan ini kerana kehabisan tiket walaupun ianya disiarkan secara langsung oleh pihak Astro.

Mungkinkah episod sama masih berulang lagi iaitu 'ulat-ulat tiket' yang didalangi oleh orang dalam telah membeli tiket-tiket perlawanan dan akan menjual dengan harga berlipat kali ganda.Mahu tidak mahu peminat terpaksa membeli tiket tersebut kerana ingin memberikan sokongan padu kepada pasukan Kelantan.

Perkara ini perlu ditangani secara serius oleh pengurusan tertinggi KAFA kerana melibatkan sokongan penyokong-penyokong kerana jika dipandang remeh akan menyebabkan kemorosotan dari segi sokongan peminat dan seterusnya menjejaskan kantung KAFA.

Oleh itu kepada penyokong-penyokong setia Kelantan yang ingin menyaksikan perlawanan bolasepak diantara Kelantan dan Negeri Sembilan  malam ini dinasihatkan jangan membeli tiket dari ulat-ulat tiket...Biarkan mereka menanggung kerugian!!!

16 Nov 2009

Polis Kelantan sedia bantu

POLIS Kelantan sedia bekerjasama dengan Polis Kuala Lumpur untuk menjejak penyokong Kelantan yang mencetuskan keganasan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil pada 7 November lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya kini sedang menunggu maklumat lengkap mengenai suspek yang terlibat.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklu- mat atau pun gambar penyokong yang dikenal pasti mencetuskan kekalutan.

"Ketua Polis Kuala Lumpur memberitahu, mereka kini dalam proses mengenal pasti serta mengumpul maklumat mereka yang terlibat melalui pemantauan kamera litar tertutup dan sebagainya.

"Sebaik semuanya selesai, Polis Kelantan akan membantu bertindak menjejak suspek-suspek tersebut sehingga berjaya dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, pihaknya bersedia memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu Polis Kuala Lumpur mengesan mereka yang terlibat ter- utama mereka yang berada di negeri ini.

Abdul Rahim sebelum itu menyempurnakan majlis pemakaian pangkat dan penyampaian sijil pelantikan pegawai kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Ibu Peja- bat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu semalam.

15 Nov 2009

Penyokong Wira Merah ganas?


IMBAS KEMBALI... Sebahagian penyokong Kelantan yang menyaksikan final Piala Malaysia menentang egeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas.


Barangkali jika ada anugerah persatuan paling popular dan kontroversi tahun ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) adalah calon yang paling layak untuk menerimanya.

Apa tidaknya, KAFA tidak pernah sunyi daripada menjadi perhatian umum bukan sahaja kerana peningkatan mendadak pemain Kelantan tetapi angkara peminat fanatik yang tidak kena cara.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pernah memberitahu, KAFA antara persatuan bola sepak yang paling banyak membayar denda sehingga melebihi modal yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini jelas kerana FAM hanya memperuntukkan RM300,000 kepada setiap pasukan bertanding tetapi sehingga kini, denda yang dibayar KAFA kepada FAM sudah melebihi modal yang diberikan. Terbaru, KAFA didenda RM50,000 angkara keganasan yang dicetuskan penyokong Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Penjelasan itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa cabaran menguruskan KAFA bukan semudah yang disangka walaupun ada pihak menganggap KAFA adalah persatuan bola sepak paling mewah hasil penjualan tiket kerana kehadiran penonton yang begitu ramai pada setiap perlawanan.

Dua musim diterajui Annuar, kantung KAFA sudah mula terisi.

Setiap perlawanan melibatkan pasukan Kelantan hampir 20,000 hingga 25,000 penyokong akan membanjiri stadium keramat mereka Stadium Sultan Muhammed IV itu, sekali gus menjadikan KAFA sedikit lega untuk menampung keperluan kewangan.

Bagaimanapun, hasil yang masuk ke akaun KAFA tidak mampu untuk bertahan lama dan jumlah kutipan tiket yang diperoleh masih belum mampu untuk ‘menyenangkan’ pihak persatuan gara-gara sikap penonton skuad Wira Merah yang ‘aneh dan pelik’.

Sikap fanatik tidak kena cara dan kurang bijak dengan membaling mercun dan bunga api serta objek lain seperti botol dan bekas air menyebabkan mereka sudah di cop sebagai antara penyokong paling bermasalah di Malaysia.

Namun, seperti tidak adil kepada penyokong Kelantan apabila setiap kali insiden keganasan, seluruh mata terus tertumpu ke arah mereka.

Secara jelasnya, insiden 7 April lalu ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Kota Bharu benar-benar memberi kesan terhadap maruah penyokong Kelantan.

Mereka secara terus-terusan dituduh sebagai penyokong bermasalah dan sering mencetuskan keadaan yang tidak sihat.

Masalah kelakuan penyokong tidak beradab bukanlah masalah Kelantan sahaja.

Menyorot kembali permasalahan yang dicetus oleh penyokong, musim ini bukan sahaja penyokong Kelantan malah penyokong Perlis dan Terengganu juga adalah antara watak yang turut mencetuskan kontroversi.

Namun, double standard yang wujud cukup mengguriskan hati puluhan ribu penyokong dan peminat Kelantan apabila tindakan yang diambil oleh FAM kepada penyokong selain daripada penyokong Kelantan hanya sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’.

Keganasan penyokong yang timbul di luar Stadium Utama, Kangar pada 31 Oktober lalu menyaksikan penyokong Kelantan ‘dibantai’ teruk di laman lawan.


TAN SRI ANNUAR MUSA


Lebih 20 buah kenderaan dirosakkan termasuk bas yang membawa pemain-pemain Kelantan.

Letupan mercun dan balingan objek juga cukup meriah di sana sehinggakan salah satu mercun yang dibaling hampir mengenai salah seorang pemain Kelantan yang terbaring kerana mengalami kecederaan ketika itu.

Namun, FAM sepeti ‘membutakan’ mata dan ‘memekakkan’ telinga kerana tiada tindakan diambil terhadap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Apa yang menghairankan, kejadian tersebut bukan sahaja disaksikan oleh penyokong Kelantan yang hadir di stadium, malah jutaan yang lain kerana perlawanan tersebut disiarkan secara langsung oleh RTM.

Barangkali perlawanan yang berlangsung pada malam tersebut tidak disaksikan oleh seorang pun mereka yang berada di dalam jawatankuasa disiplin atau jawatankuasa pertandingan atau apa-apa jawatankuasa lagi yang ada di Wisma FAM, Kelana Jaya menyebabkan badan induk bola sepak negara itu tidak mempunyai bukti untuk menghukum PFA.

Aneh tetapi itulah realiti yang dihadapi oleh KAFA dan penyokong Kelantan apabila mereka seperti dianaktirikan dan seolah-olah Kelantan ini adalah pasukan bola sepak dari negara jiran yang tumpang bertanding dalam Liga Malaysia.

Di Kuala Terengganu tempoh hari, kekalutan melibatkan penyokong turut berlaku. Perlawanan peringkat kumpulan antara Negeri Sembilan dan Terengganu turut dicemari dengan insiden balingan mercun.

Lebih teruk daripada itu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin yang sememangnya tidak begitu sempurna menyebabkan ada penonton yang masuk ke padang dan cuba menyerang pengadil dan pegawai pertandingan selain pemain pasukan pelawat.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya didenda RM16,000 kerana tiga kesalahan iaitu membaling botol terhadap pegawai perlawanan (RM5,000), penyokong meluru masuk ke padang (RM5,000) dan cuba memukul pengadil (RM6,000).

Dendanya murah dan mungkin ia adalah kesalahan pertama penyokong Terengganu atau sebaliknya.

Hanya FAM yang mengetahui segala yang tersirat itu.

Bagi penyokong Kelantan, ini adalah masa untuk mereka berubah dan turut sama merasai tanggungjawab yang dipikul oleh KAFA.

Mereka mungkin lebih dihormati sekiranya memiliki pasukan yang hebat dan dalam masa yang sama, mereka memberi sokongan dengan cara yang lebih profesional.

12 Nov 2009

Maafkan saya.......



"MAAFKAN saya, malam itu bukan malam saya."

Itu pengakuan pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli, 19, (gambar) yang dikaitkan sebagai punca kekalahan Kelantan kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009, Sabtu lalu.

Pemain muda berbakat ini terpaksa mengharungi detik sukar kini kerana dicemuh peminat sendiri yang mendakwa ketiga-tiga gol Negeri Sembilan berpunca daripada kesilapannya.

Baginya, perlawanan yang sepatutnya menjadi kenangan manis sepanjang kariernya itu bertukar menjadi igauan ngeri sehingga menyebabkannya kini berkira-kira untuk terus menggantung but.

Menurutnya, apa yang dikesalkannya apabila ada peminat menuduhnya menjual permainan sedangkan dia sendiri tidak pernah mengetahui mengenai rasuah.

"Saya sangat tertekan kini apabila mereka (peminat) menuduh saya mengambil rasuah sedangkan saya tidak mengetahui apa-apa pun mengenainya.

"Segalanya bermula sebaik wisel permulaan dibunyikan. Saya jadi tak tentu hala, kepala saya berserabut dan saya hilang fokus sehinggakan beberapa kali buat silap," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, ketika keluar memanaskan badan sebelum perlawanan bermula, beliau begitu bersemangat untuk turun beraksi dan berjanji untuk beraksi dengan baik.

Katanya, beliau menolak andaian sesetengah pihak bahawa beliau gementar ketika beraksi pada perlawanan akhir tersebut dengan kehadiran penyokong yang begitu ramai dan tidak cergas.

"Saya tidak gugup kerana sebelum ini sudah ada pengalaman ketika beraksi pada perlawanan akhir Piala FA dan saya juga cergas pada malam perlawanan tersebut.

"Fokus saya pada bola hilang, saya tenggelam punca menyebabkan saya gagal bermain dengan baik termasuk membuat kesilapan ketika melakukan hantaran kepada rakan," ujarnya.

11 Nov 2009

Apa sebenarnya berlaku disebalik kejadian ganas penonton di Stadium Bukit Jalil

Ditulis oleh Ir. Azizan Razak   
pmsia26
AMPANG, November 09, 2009 - Tahniah diucapkan kepada Pasukan Negeri Sembilan kerana menjuarai Piala Malaysia edisi yang ke 84 pada 7hb November 2009. Saya sebagai pemerhati bolasepak ingin memberi komen terhadap kejadian yang berlaku di Stadium Bukit Jalil pada hari tersebut.

Saya berada disekitar stadium seawal pukul 11 pagi kerana ingin melihat sendiri kemeriahan suasana sebelum pertandingan. Apa yang dilihat, pihak FAM, Pengurusan Stadium dan Polis yang dari awal mengetahui tiket sudah terjual 85,000 keping tidak mengambil kira kedatangan penonton yang datang dari jauh.
Penonton yang kebanyakannya datang dengan keluarga, ada yang membawa anak kecil. Selain daripada khemah untuk gerai yang menjual jersi dan cenderamata, tiada khemah atau tempat yang tertutup lain di luar stadium disediakan untuk penonton berteduh. Semua sudah maklum yang tiap-tiap petang hujan lebat akan berlaku di Lembah Kelang.

Suasana yang tenang pada mulanya telah bertukar menjadi sedikit tegang apabila petir dan kilat sabung menyabung tepat jam 3.30 petang. Penonton yang tiada tempat yang hendak dituju terpaksa berasak-asak kearah pintu masuk stadium dengan harapan pintu dibuka segera. Tiada tujuan lain selain untuk berteduh daripada hujan lebat. Pihak polis dan pengurusan stadium macam buat tak nampak saja apa yang berlaku diluar sana.

Padahal anak-anak kecil terpaksa berasak-asak ditengah-tengah lautan manusia. Hujan turun selebat-lebatnya pada jam 4.00 petang. Semua berada didalam risiko disambar petir atau pun lemas dipijak. Semua pihak yang tengok dari dalam stadium hanya memandang sinis hanya kerana mereka tersebut adalah penonton Kelantan yang sememangnya di anak tiri dalam segala hal.
Pada pukul 4.30 petang suasana tidak berubah, hujan makin lebat, penonton tiada pilihan selain menggoncang dan merempuh pagar. Pagar yang dirempuh akhirnya terbuka dan seramai kira-kira 5000 penonton bolos. Pada ketika itu, hanya ada 3 orang polis yang bertugas. Tidak seperti yang digembar-gembur kan dalam berita TV dan Radio sehari sebelum nya yang kira-kira 1500 polis akan bertugas. Disitulah “turning point” kesilapan terbesar yang berlaku, penonton yang masuk tanpa diperiksa oleh pihak pengurusan stadium, FAM, polis dan RELA, membawa segala-galanya.

Suka saya bertanya, siapa yang salah dalam hal ni dan siapa yang menjadi tuan rumah didalam perlawanan akhir ini? Pintu akhirnya berjaya ditutup kembali oleh pihak polis pada pukul 5.00 petang. Mulai daripada pukul 5.00 petang baru lah penonton yang berada diluar dibenarkan masuk melalui “official gate”. Tetapi apa yang menyedihkan, beg-beg tidak diperiksa. Ini tidak seperti Perlawanan Akhir Piala FA tempohari di mana beg-beg diperiksa dengan begitu rapi, air mineral berbotol tidak dibenarkan masuk. Tapi pada malam tersebut, bukan setakat tidak memeriksa botol air mineral, beg dan mercun, malah air mineral dijual terbuka di dalam stadium.

Tindakan pro-aktif dari pihak FAM dan Pengurusan Stadium Bukit Jalil perlu, berdasarkan pengalaman yang lepas semasa Pertandingan Akhir Piala FA dimana ianya juga membabitkan Pasukan Kelantan. Atau pihak FAM menunggu perkara ini berlaku dan akan menuding jari serta-merta kepada pihak KAFA.
Apa salahnya “official gate” dibuka seawal jam 3.00 petang untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku. Bayangkan 85,000 manusia berada diluar stadium, dan pihak pengurusan Stadium bercadang membuka “official gate” pada pukul 5.30 petang. Kalaulah “official gate” dibuka seawal jam 3.00 petang maka ia memberi ketenangan kepada semua pihak yang terlibat. Pihak polis dan RELA akan mempunyai masa yang cukup untuk memeriksa penonton secara teliti dan ini akan mengelakkan kejadian membawa masuk mercun dan botol air.

Apa yang dilihat, pada pukul 8.45 malam di mana perlawanan sudah hendak bermula, beribu-ribu lagi penonton masih berbaris diluar. Di dalam hati setiap penonton yang berbaris tersimpan “eagerness” yang tinggi untuk menonton perlawanan tersebut. Ini menimbulkan “creating un-necessary tension” terhadap penonton yang masih berada diluar dikala wisel perlawanan dibunyikan. Kenapa perkara ini tiada langsung dibenak mereka-meraka yang bertanggungjawab menguruskan perlawanan ini.

Apabila penonton yang bolos akibat dari rempuhan pintu pagar tadi sudah berselerak di dalam stadium, apa lagi yang boleh dibuat oleh pihak pengurusan stadium, FAM dan polis. Mereka hanya menunggu untuk menyalahkan pihak lain. Pihak yang selalu disalahkan ialah KAFA.

Kejadian ini adalah 100% diluar kawalan KAFA. Pihak KAFA tidak boleh dipersalahkan kerana mereka bukan yang menguruskan stadium dan mereka juga bukan tuan rumah.

Memang semua pihak yang hadir termasuk saya sendiri tidak selesa dengan dentuman mercun yang tiada henti dari permulaan sehingga akhir perlawanan. “Semacam berada di Baghdad” kata pengulas sukan Zainal Abidin Rawop. Tetapi apakan daya, bak kata pepatah, membenteras lebih baik dari mengubatinya.

Sekarang, tiada pilihan lain, selain menyalahkan 100% kejadian ini kepada KAFA. Mereka akan didenda tidak kurang dari RM100,000, atau bermain stadium yang kosong atau tidak dibenarkan langsung dari menyertai MSL musim depan. Apabila dilihat dari sudut yang berbeza, “contribution” oleh penonton Kelantan dari segi kutipan tiket, kalau mengambil kira jumlah penonton 65,000 orang, RM 1,300,000 telah berjaya dikutip pada malam tersebut. Tidak termasuk penonton Kelantan yang membeli tiket yang dikhaskan kepada penyokong Negri Sembilan, dan tidak termasuk “consequences cost” seperti jualan jersi, cenderamata, makanan dan minuman pada hari tersebut. Penyokong Kelantan dan KAFA adalah pihak yang kalah dalam segala hal, walaupun kejadian ini boleh dibendung oleh pihak berwajib.

Saya sebagai pemerhati sukan ingin memberi gambaran tindakan yang diambil oleh FAM terhadap KAFA dilihat sentiasa berat sebelah. Contohnya kejadian membakar trak polis di luar perkarangan Stadium Kota Bharu, yang tiada kena mengena dengan penonton (peniaga yang bergaduh dengan polis), pihak KAFA juga disalahkan. KAFA didenda lebih RM100,000 dan tidak dibenarkan beraksi di stadium tersebut untuk beberapa perlawanan. Kerugian setiap perlawanan semasa beraksi di Kuala Lumpur juga ditanggung oleh KAFA.

Berbanding kejadian penonton masuk ke padang dan ingin menumbuk pengadil di Stadium Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu, pihak PBNT hanya didenda RM 5,000 sahaja. Kejadian lontar mercun terhadap pemain Selangor (T. Surendran) ketika meraikan jaringan oleh peminat Terengganu, PBNT hanya didenda RM 6,000 sahaja. Tahap keselamatan pagar stadium tersebut juga tidak melepasi tahap FAM, serta kualiti padang yang teruk seperti yang dikomen oleh jurulatih mereka sendiri (Ken Worden) dan Peter Butler, tetapi pihak FAM masih membenarkan perlawanan diadakan di Stadium tersebut. Kalau lah perkara ini berlaku di Kota Bharu, tindakan berlainan akan dilakukan. Kenapa tidak disuruh pasukan Terengganu beraksi di Kuantan yang mempunyai Stadium bertaraf antarabangsa? Kenapa FAM berdiam diri semasa kejadian memecah cermin kereta dan bas penyokong Kelantan di Perlis? Kenapa FAM berdiam diri apabila pemain Kelantan (Farisham) yang menunggu rawatan ditepi padang tercedera dibaling mercun di kepala oleh penonton Perlis ketika perlawanan separuh akhir tersebut, dimana ianya berlaku terang-terangan di saluran TV1 yang dipancarkan diseluruh Malaysia?

Kenapa dilihat “in-consistency” berlaku? Dilihat terdapat keputusan yang “bias” dan bertindak hanya untuk “pleased”kan pihak atasan sahaja. Kelemahan sendiri ditutup rapi. Harus diingat, fenomena bolasepak Malaysia kini kembali diwarnai kerana “turning point” yang dilakukan oleh pihak pengurusan KAFA yang menguruskan secara professional ala EPL dan sokongan peminat-peminat bolasepak Kelantan. Sehinggakan pihak pengurusan Tentera dan KL Plus juga berterima kasih kepada Kelantan kerana peningkatan hasil “gate collection” mereka semasa bertemu Kelantan di Stadium Selayang dan Cheras. Saya berharap pihak FAM membuat pertimbangan yang sewajarnya dan mengkaji dari segenap sudut sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman terhadap KAFA.

Sekian, terima kasih.

Ir. Azizan Razak, Jurutera Professional,
Hp : 012-2050538
 
- dari Kelate.net

10 Nov 2009

Profesionalkah kita......?


Salam sejahtera semua...

Nampaknya di mana-mana cerita tentang Piala Malaysia masih lagi menjadi bual bicara. Pelbagai pandangan yg diutarakan, pro dan kontra dalam memberikan pendapat tentang kekalahan Pasukan Kelantan atau lebih dikenali 'THE RED WARRIORS'.

Saya tidak begitu arif tentang bolasepak, tetapi sejak kebangkitan pasukan kelantan, saya mula meminati sukan bola sepak dan turut teruja dengan kemampuan pasukan negeri kita melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia baru2 ini.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini, sebagai penyokong, tunjukanlah sifat profesionalisma kita dalam menyokong mereka. Kalah atau menang itu sudah menjadi adat bertanding. Memang kecewa bila kalah, itu yang kita rasa. Apa lagi mereka yang bermain. Dalam perlawanan besar begitu, sebagai seorang pemain, perasaan bercampur baur. Apatah lagi harapan puluhan ribu peminat tergalas di bahu mereka. Namun nasib tidak menyebelahi mereka. Saya sedikit terkilan dengan kata-kata pedas @ cemuhan yang dilemparkan kepada pasukan bolasepak kita.

Pengurusan pasukan Kelantan tidak pernah memaksa mana-mana peminat untuk ke Bukit Jalil. Malah peminat sendiri yang sanggup berhabisan (wang, tenaga, masa dsbg) untuk ke sana memberikan sokongan.

Apakan daya pemain tidak dapat memberikan yang terbaik untuk penyokong setia. Mereka juga manusia biasa. Darah yang mengalir dalam diri mereka juga darah yang berjiwa Kelate macam kita. Tak pun, berjuang untuk majikan yang memberi gaji kepada mereka.

Mungkin cemuhan itu sekadar melepas marah di dada. Tapi fikirkanlah, apakah ayat yang digunakan bisa mengguris hati mereka (pengurusan n player). Sebagai penyokong profesional, kita perlu melihat dari pelbagai sudut. Jangan hanya menyokong apabila menang tetapi mengutuk memaki apabila KALAH.

Jika kita sendiri yang bermain, belum tentu kita boleh capai tahap seperti mereka. Berilah sokongan yang tidak berbelah bagi kepada mereka. Sedangkan Manchester United yang hebat pun boleh kalah, apalagi pasukan kita yg boleh dikatakan masih dalam proses 'pemulihan'....jika kita rakyat kelantan sendiri mengutuk mereka, apalagi orang luar.

Berilah mereka peluang untuk terus membuktikan kebolehan. Sekurang-kurangnya....dengan kejayaan 'THE RED WARRIOR' layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, kita di seluruh Kelantan mendapat CUTI PERISTIWA....ada juga 'sesuatu' yg dihadiahkan oleh mereka kepada kita semua.

Apapun, saya yakin, tahun depan sekiranya 'THE RED WARRIOR' melangkah ke perlawanan akhir....'peminat yang sama juga akan ke Bukit Jalil'.

Renung-renungkanlah.........

sekadar luahan..... LailatulHafiza@womenredwarriorsfan

Lihat pelbagai aspek dahulu sebelum bertindak....

SAYA merasakan amat perlu menyuarakan luahan ini berhubung insiden final Piala Malaysia 2009. Kita akur dengan kekalahan kerana sememangnya Negeri Sembilan bermain dengan baik.

Saya atas nama rakyat Malaysia berasal dari Kelantan, terkilan bilamana kontroversi melibatkan pasukan dan penyokong Kelantan, pihak media terus melabelkan sebagai negatif dan ganas serta dihebahkan oleh semua media yang ada, tetapi bilamana perkara positif yang wujud hanya disiarkan dalam ruangan yang kecil (berita bola luar negara lebih diberi perhatian-macam mana nak maju bola negara?).

Sepatutnya FAM khususnya perlu berterima kasih kepada Red Warriors dan penyokong kerana dalam suasana suram Liga Malaysia tercetus suasana yang meriah dengan kehadiran penyokong yang ramai dan Liga Malaysia kembali menjadi perhatian ini memberikan win win situation kepada peminat bola sepak dan semua yang terlibat khususnya.

Saya mengikuti beberapa perlawanan yang berlangsung di beberapa venue ibu kota dan Pahang, secara faktanya, kehadiran penyokong amat kecil tak sampai 10 peratus daripada jumlah penyokong bila perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

Apa jadi dengan nasib penyokong Kelantan di Kangar, separuh akhir kedua, penyokong kami di Pulau Pinang, penyokong kami di Shah Alam dan penyokong kami di Bukit Jalil?

Kereta penyokong Kelantan dirosakkan, bas dipecah dan penyokong Kelantan dikepung... tiada tindakan ke atas penyokong dan persatuan negeri terlibat.

Apa tindakan ke atas Terengganu di separuh akhir kedua? Apa yang FAM buat? Tetapi sedikit sahaja salah laku yang dilakukan oleh segelintir mungkin 3-4 orang atau bilangan yang kecil di kalangan 80,000 penyokong terus diberi perhatian yang meluas.

Di mana profesionalisme FAM dan media?

Mana mungkin kita melihat di negeri mana bila adanya perlawanan walaupun perlawanan liga, stadium penuh dan padat dan sokongan padu diberikan?

Bayangkan di final Piala Malaysia 2009 tempat duduk yang dikhususkan untuk Negeri Sembilan masih kosong walaupun difahamkan terdapat tiket diberi secara percuma dan jarak dari negeri tersebut ke Bukit Jalil hanya kurang tiga jam.

Walaupun jarak ke Bukit Jalil memakan masa kurang lapan jam, tapi penyokong Kelantan tetap bersemangat memenuhi stadium, keluarga ditinggalkan, kerja ditinggalkan, bencana banjir dilupakan seketika, semata-mata memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

Jangan kerana nila setitik, susu sebelanga dibuang.

Tahniah buat FAM atas tindakan segera yang di ambil ke atas Kelantan sebaik sahaja sesuatu insiden berlaku. Tindakan yang pantas dan cekap namun mohon lebih adil dan saksama.

Semasa memasuki stadium pukul 6 petang, sungguh mendukacitakan, mana pasukan keselamatan yang menjaga ketenteraman?

Peminat dilihat memanjat pagar tanpa seliaan pasukan keselamatan, mana peranan mereka atau hanya berperanan bila perlawanan bermula.

Inilah kelemahan kita, menyalahkan orang lain tapi tidak diri sendiri. Kononnya 1st class facility tetapi kenapa tidak mengguna pakai standard keselamatan di stadium seperti di Jerman. Penyokong diperiksa semasa memasuki stadium dan dirakam wajah, dicop tangan dan seterusnya kamera litar tertutup memainkan peranan dan jika wujud sebarang perbuatan negatif terus diambil tindakan oleh pasukan keselamatan yang telah memantau CCTV tersebut.

Jangan benarkan sebarang bentuk jualan makanan atau minuman jika dikhuatiri akan digunakan sebagai objek untuk dibaling.

Kadang-kadang kita melihat keuntungan lebih dari aspek keselamatan. Saya yakin pasukan keselamatan kita memiliki peralatan canggih dalam mengesan sebarang objek berbahaya untuk digunakan pada masa yang akan datang bagi memastikan lebih selamat keadaan perlawanan.

Ambil langkah pencegahan bukannya 99 peratus penyokong yang tak bersalah teraniaya.

FAM khasnya dan peminat bolasepak Malaysia khususnya perlu lebih mantap dalam membuat penilaian bukan hanya melihat dari satu sudut, kenal pasti kelemahan.

Kita sememangnya perlukan sokongan padu penyokong agar bola sepak Malaysia terus gemilang, cemerlang dan terbilang.

Terima kasih.

DACASCOS @ KADIRPOKYA

Penyokong Red Warrior

dan Liga Malaysia

Anti Mercun dan Anti Keganasan

p/s: doh nasib Kelate kut, mugo dale perut FAM telah termaktub bahawosonyo Klate ni adalah 'terorist'...... celik hanya pada NEGATIF dan buto yang POSITIF....


'Usah berdendam'


Pemain Kelantan tiba tanpa disambut besar-besaran oleh peminat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.


KOTA BHARU - Naib Juara Piala Malaysia 2009, Kelantan, pulang ke negeri ini dalam suasana yang agak sunyi tanpa sebarang sambutan walaupun melakar sejarah menjejakkan kaki buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun.

Ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini petang semalam, ada segelintir penyokong yang datang sekadar untuk melemparkan kecaman untuk meluahkan kekecewaan ke atas para pemain.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim merayu kepada para penyokong yang dilihat seperti 'tentera merah' supaya kembali memberikan sokongan padu pada musim depan.

"Kita ada sasaran yang lebih tinggi pada musim hadapan, senarai pemain sedang diteliti untuk dibawa masuk memantapkan pasukan.

"Saya harap penyokong Kelantan usah berdendam, kita adalah naib juara, tidak ada siapa jangka Kelantan boleh masuk final, masuk final dua kali (pada musim ini), Selangor pun sekali, Negeri Sembilan pun sekali.

"Jadi penyokong harus letak itu sebagai satu pencapaian amat tinggi selepas 39 tahun tak masuk final, saya merayu jangan hilang kepercayaan, beri sokongan sepenuhnya kepada pasukan kita," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Mengulas mengenai sikap penyokong Kelantan yang menimbulkan kekecohan dan tidak menunjukkan semangat kesukanan, Azman berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai cara untuk mendisiplinkan penyokongnya tetapi gagal dan satu pendekatan baru harus dilakukan selepas ini.

Katanya, beliau dan pemain bersedia untuk menerima apa saja hukuman yang akan dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ini gara-gara tindakan penyokong terbabit.

"Mungkin Kelantan selalu orang cop sebagai penonton yang ganas dan mungkin benar kenyataan ini. Kita tidak tahu macam mana mengatasi perkara ini, sebab kalau 10 orang, senang nak kawal, ni lebih dari 50,000 hendak kawal macam mana... nak bagi pendidikan sentiasa kita buat dah.

"Mungkin ada segelintir yang ambil kesempatan untuk membuat masalah bila ramai penyokong bagaimanapun kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan, mereka datang jauh untuk mengharapkan kemenangan berpihak kepada kita, saya kecewa dan bersimpati dengan semua pihak.

"Pengurusan dan pemain juga kecewa dengan kekalahan yang dialami, bukan berada dalam prestasi sebenar, semua nampak tidak menjadi," katanya.

Ujarnya, pada malam perlawanan tersebut kebanyakan pemain agak tertekan terutama pemain pertahanan Mohd. Zamri Ramli kerana melalukan dua kesilapan untuk membenarkan penyerang Negeri Sembilan menjaringkan gol walaupun selama ini beliau menunjukkan prestasi cemerlang.

Tambahnya, nasib tidak menyebelahi skuad Kijang kerana semua pemain gagal memberikan persembahan sebenar.

"Penyokong kena faham, tidak semua perlawanan kita menang hatta Manchester United sendiri pun pernah kalah di gelanggang sendiri dengan bilangan gol yang besar, kita sentiasa cuba untuk menang.

"Nasib tidak menyebelahi kita, memang akui bukan malam Kelantan walaupun kita berada pada semangat yang baik sebenarnya tidak ada alasan yang dapat diberikan selain kita tidak bermain di tahap sebenar," katanya.

9 Nov 2009

Penyokong Fanatik Kelantan


* kelate + england + singapore... nok lagi ko n.9?

Dua tahun tentukan saingan sebenar

KOTA BHARU - "Berikan masa kepada kami dua tahun lagi untuk memberi saingan sebenar," ujar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar).

Justeru ketika kekalahan skuad Kijang dan sikap penyokongnya ketika aksi akhir piala Malaysia hangat diperkatakan umum, Kafa telah mengadakan mesyuarat awal di Kuala Lumpur semalam bagi persiapan pasukan menghadapi musim depan.

Ini termasuklah meneliti senarai pemain yang bakal menyarung jersi Wira Merah kerana Kelantan tidak boleh lagi bertahan pada tahap sekarang.

Bagi Annuar, sesiapa yang tidak memahami keadaan sebenar 'perjalanan' bola sepak di Kelantan dan keupayaan sebenar saingannya, Negeri Sembilan, mereka mungkin kecewa dan terkejut melihat aksi skuad Kijang, lalu memberikan pelbagai tafsiran.

"Bukanlah di luar jangkaan kita (kalah). Kita memang sepatutnya kalah, Kita sudah kalah tiga kali dengan pasukan itu yang sudah 10 tahun berada dalam Liga Super.

"Malah Kedah juga memerlukan empat kali ke peringkat akhir sebelum ditabalkan juara.

"Kita sebenarnya team Liga Perdana tetapi bernasib baik diserapkan dalam Liga Super. Kita bina pasukan cuma dalam setahun dan setelah dilatih, kita telah tunjukkan kejayaan yang sangat cemerlang sebenarnya, sedangkan pasukan lain begitu lama menunggu peluang seumpama itu.

''Kita kena terima realiti bahawa lawan lebih kuat dan kita pula berhadapan kekangan ketiadaan kapten Mohd. Badhrie Radzi yang patah kaki.

"Manakala Mohd. Azlan Zainal yang diharapkan di bahagian tengah juga cedera dan kita menentang Negeri Sembilan dengan barisan yang mempunyai banyak pengalaman termasuk dua penyerangnya.

Katanya, dalam keadaan itu anak buahnya tidak harus dipersalahkan apabila nampak begitu lemah berdepan dengan pasukan yang begitu kuat ketika harapan peminat begitu tinggi.

Bagi Anuar mereka yang tidak memahami akan memberikan pelbagai reaksi yang negatif namun ia tidak akan mematahkan semangatnya dan Kafa.

Katanya, skuad Kijang telah menunjukkan lompatan yang baik musim ini sedangkan mencecah kaki ke akhir bukanlah sasaran awal dan pasukan ini masih dalam pembinaan.

Beliau memahami tindak-tanduk keterlaluan para penyokong kerana begitu mengharapkan kemenangan namun mereka seharusnya lebih bersikap setia terhadap pasukan sendiri.

''Kalau tidak menang, dengan gol yang banyak dan jaringan awal, sudah tentu mereka kecewa, dan saya faham.

Cuma katanya, sekiranya masih banyak masa berbaki mereka tidak harus mula meninggalkan stadium kerana masih banyak kemungkinan boleh berlaku.

Bak kijang kemabukan lampu

KOTA BHARU - Umpama kijang hutan yang sesat di pekan dan mula kemabukan lampu sehingga lemah dan tidak bermaya.

Barangkali, itu analogi sesuai apabila melihatkan gaya pasukan Kelantan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, di tengah majoriti lautan penyokong mereka dan berjuta-juta lagi terpaku di depan kaca televisyen.

Ya, mereka berhak untuk kalah dan tidak selayaknya untuk menang kerana tindak-tanduk mereka bukan aksi untuk muncul sebagai juara.

Mereka seolah-olah bukan lagi bertanding tetapi sekadar bermain bola sepak dengan menyepak ke sana-sini, corak kekalahan yang boleh dikategorikan tanpa maruah.

Seolah-olah prestasi mereka sudah sampai ke kemuncaknya sewaktu menundukkan Perlis bagi melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia dengan corak permainan yang jauh berbeza.

Bagaikan tiada apa lagi yang perlu dikejarkan. Mereka mengecewakan seluruh harapan penyokong Kelantan dan peminat bola sepak keseluruhannya yang ingin melihat persembahan yang menarik, tanda kebangkitan sukan itu di peringkat negara.

Mereka mengecewakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang berhempas pulas memberi nafas semula kepada sukan yang menuntut kepada dana yang begitu besar selain komitmen yang begitu tinggi.

Para penyokong yang berkorban masa dan wang ringgit bagi memenuhi stadium pula hanya menang sorak dan sebahagian daripada mereka bukan sekadar pulang kecewa tetapi memburukkan lagi keadaan dengan perangai yang memalukan, mengaibkan dan memualkan.

Mungkin belum pernah insiden seburuk ini dicetuskan oleh mana-mana penyokong ketika pasukan mereka beraksi di final bagi merebut piala berprestij itu.

Mereka seperti lazimnya mudah berpaling tadah apabila pasukan mula menunjukkan tanda-tanda untuk kalah.

Namun apabila mereka mula merusuh dengan lontaran botol air, mercun dan membakar kerusi dan bendera negeri, mereka membenarkan persepi umum bahawa selama ini penyokong Kelantan liar dengan menunjukkan gedede dan onar tak bertempat.

Sedangkan saban tahun, akan ada pasukan yang kalah dalam perlawanan akhir, tetapi para penyokong mereka masih boleh menerima kenyataan.

Justeru Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu juga mentarbiahkan mereka.

Malam kelmarin, ketika harapan menggunung tinggi, dalam keghairahan yang meluap, prestasi sang Kijang tersembam ke peringkat paling dalam dan cuti umum yang diisytiharkan oleh kerajaan negeri Kelantan bertukar menjadi hari berkabung bola sepak Kelantan.

Kesalahan mulai dituding ke sana-sini, daripada pemain, jurulatih dan pemimpin persatuan ketika sebenarnya, umum tiada yang menyangka Kelantan mampu mara sebegitu jauh dengan beraksi di peringkat akhir dalam dua kejuaraan tahun ini.

Namun ramai percaya bahawa ketidakupayaan pemain menerima tekanan dalam perlawanan yang begitu besar menyebabkan para pemain hilang punca - gugup dan gopoh serta tidak mampu mengawal bola dengan hantaran-hantaran meliar.

Tiba-tiba sahaja, tiada seorang pemain pun yang berupaya mencaturkan rentak dan corak permainan manakala barisan pertahanan pula masih jauh dari kesesuaian taraf bagi mengisi skuad negeri.

Ketika pelbagai ganjaran menunggu jika pulang sebagai juara serta masa depan yang lebih baik bagi mereka sebagai pemain bertaraf profesional, tahap ketahanan mental yang masih rapuh memusnahkan segala impian peribadi mereka.

Jika diukur dengan usia kebangkitan semula skuad Kelantan dalam tempoh yang sungguh singkat setelah meredah begitu banyak halangan, ia terlalu awal untuk mereka beraksi di pentas akhir. Ke tahap ini sudah boleh dibanggakan.

Justeru Tan Sri Annuar Musa tidak harus patah semangat dalam menerajui Kafa ketika politik bola sepak kadangkala lebih hebat daripada politik parti. Cuma jangan biarkan Kelantan menunggu empat dekad lagi.

Nik Aziz kecewa sikap segelintir penonton

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap segelintir penyokong Kelantan yang tidak menunjukkan semangat kesukanan apabila membakar kerusi dan melempar mercun ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, malam kelmarin.

Katanya, penyokong Kelantan seharusnya menerima kekalahan secara terbuka kerana kalah dan menang adalah adat dalam permainan.

“Pemain Kelantan sudah bermain bersungguh-sungguh, bila kalah juga apa boleh buat. Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh.

“Itu bukan semangat kesukanan, sebab itu saya ada sebut bola ini jangan kita sebut main, (sebaliknya) sebut riadah. Tak betul cara itu (membakar kerusi dan mercun), pemain sudah habis ikhtiar, kalah juga apa boleh buat,” katanya, semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, penyokong Kelantan mula bertindak liar dengan membakar kerusi serta melempar mercun dan botol minuman ke kawasan trek dan padang selepas pasukan itu ketinggalan 0-3 kepada Negeri Sembilan.

5 Nov 2009

Pesanan buat ulat-ulat tiket

Kepada ulat-ulat tiket untuk perlawanan final Piala Malaysia Kelantan menentang Negeri Sembilan :-

1. Anda sebenarnya merampas hak peminat-peminat bolasepak Kelantan

2. Keuntungan yang anda perolehi bukanlah rezeki yang halal dan rezeki tersebut jika 'diagihkan-agihkan' atau bahasa sedapnya diberi makan kepada keluarga adalah rezeki haram!!!

3. Anda telah membunuh pasukan Kelantan yang sememangnya mahukan sokongan padu dari penyokong-penyokong.

4. Anda memang yang orang yang tiada semangat kenegerian atau Kelantanese kerana sanggup menjual tiket dengan harga yang tinggi kepada 'orang-orang' kita belaka.

5. Anda tidak akan 'aman' dengan laba yang diperolehi,Tuhan akan membalas pengkhianatan anda di masa-masa akan datang dan penyesalan anda sudah tidak berguna lagi.

6. Kesianlah kepada penyokong-penyokong bolasepak Kelantan jadi jual lah tiket secara adil dan sama-sama kita memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita.

*kami di kelatefc difahamkan ramai yang 'bertawakkal' ke Bukit Jalil dengan hanya tangan kosong tanpa tiket dan mengharapkan masih ada tiket yangakan dijual itupun jika tidak di makan oleh ulat-ulat tiket haloba!!!

'Lautan merah' banjiri Bukit Jalil

Oleh Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.com.my


ANNUAR (tengah) bersama pemain pasukan Kelantan dan skuad pelapis pasukan melaungkan 'Kelantan Boleh' selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970, semalam.

Lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir beri sokongan padu

'LAUTAN merah' bakal membanjiri Stadium Nasional, Sabtu ini, apabila lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir buat menyokong pasukan itu dalam misi menamatkan penantian bergelar juara Piala Malaysia.

Angka itu, menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dijangka bertambah jika mengambil kira kehadiran penyokong The Red Warriors di Lembah Klang.

"Kafa meminta tambahan 15,000 tiket daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) selepas 40,000 tiket yang diperuntukkan, sudah habis dijual dalam tempoh dua hari.

"Berdasarkan jualan setakat ini, dan tambahan baru itu, kira-kira 56,000 tiket sudah dalam tangan penyokong Kelantan, belum termasuk mereka yang membelinya secara terus di Stadium Nasional nanti.

"Saya harap penyokong hadir memberi sokongan dengan semangat kesukanan tinggi. Jangan jadikan jumlah besar ini mengganggu perlawanan yang dijangka sengit.

"Kita perlu tunjukkan semangat tinggi supaya tidak cacatkan malam bersejarah rakyat Kelantan," katanya selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970 - kali terakhir negeri itu mara ke aksi kemuncak.

Annuar turut mengumumkan bahawa Kafa bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad menyediakan tiket untuk 1,000 penyokong yang mahu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

"Saya juga nasihatkan pengusaha-pengusaha bas supaya tidak mengenakan caj keterlaluan untuk penyokong yang mahu ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu keceriaan penyokong terjejas," katanya.

Gelagat penyokong Kelantan ala 'INDRA'


PENYOKONG Kelantan dari Kelab Bola Sepak Wakaf Che Yeh, Shafawi Che Soh, 22 (duduk), Mohd Othman Yaacob, 36 (depan, tengah) dan Mohd Zulkifli Yaacob, 24 (kanan) menunaikan nazar mereka dengan membotakkan kepala 'ala Indra' setelah pasukan mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil. - Foto Zaman Huri Isa

3 Nov 2009

Ayuh meriahkan Bukit Jalil-Perang Poster Gergasi bermula


Kempen seorang satu bendera-ayuh kibarkan di Bukit Jalil


Penyokong-penyokong setia The Red Warriors sudah tentu teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Kelantan bertemu Negeri Sembilan sabtu ini.

Namun kita tidak harus lupa persiapan-persiapan serta kelengkapan yang perlu dibawa bagi melahirkan rasa gerun di pihak lawan.

Jika final sebelum ini kita 'kalah' dengan poster-poster gergasi dari penyokong-penyokong Selangor.Mereka dilihat seolah-olah berlumba-lumba untuk mempamerkan poster-poster mereka tidak kira dari ceruk mana atau daerah mana sekalipun.

Penyokong-penyokong Red Warriors juga perlu berbuat demikian,kita bina sama-sama poster gergasi masing-masing contohnya mewakil daerah serta kelab bolasepak yang diwakili atau kampung-kampung.

Penyokong-penyokong juga di sarankan membawa seberapa banyak bendera Kelantan ataupun persatuan kerana semangat pemain-pemain pasti akan melonjak melihat kibaran bendera negeri atau persatuan.Kalau boleh setiap orang satu bendera negeri atau persatuan.

Penyokong-penyokong juga perlu menyeragamkan sorakan seperti yang dilakukan di Kota Bharu seperti mengikuti paluan gendang atau rebana ubi.

Baju yang dipakai semestinya melambangkan negeri Kelantan iaitu Merah walaupun kita tahu penyokong Negeri Sembilan akan memakai warna merah juga.

Penyokong disarankan membeli jersi pasukan supaya menampakkan bahawa penyokong-penyokong Kelantan setara dengan penyokong luar negara yang semestinya akan mempunyai koleksi jersi dan akan memakai setiap kali pasukan kesayangan mereka beraksi.

*apa yang paling penting keazaman kita untuk melihat kejayaan pasukan menjulang Piala Malaysia untuk dihadiahkan kepada rakyat Kelantan.

15,000 tiket sudah ditempah

KOTA BHARU - Bagi memberi kemudahan kepada penyokong Kelantan, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula dijual di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu mulai tengah hari ini.

Melalui kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), buat permulaan, sejumlah 20,000 tiket diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk jualan di negeri ini.

Namun, sejumlah 15,000 tiket telah ditempah secara pukal oleh beberapa badan dan pemimpin masyarakat dari seluruh negeri untuk diagih-agihkan kepada ahli dan orang ramai di kawasan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Mohd Nor Yaakob memberitahu, pihaknya akan berusaha mendapatkan tiket tambahan supaya ia dapat dijual berterusan kepada penyokong tempatan sehingga Khamis atau selewat-lewatnya Jumaat ini.

''FAM telah menetapkan harga tiket perlawanan sebanyak RM20 dan dengan sambutan begitu hebat, kita jangkakan lebih banyak tiket diperlukan dan permintaan umum akan cuba dipenuhi.

''Usaha ini dilakukan supaya penyokong di negeri ini tidak bersusah payah mendapatkannya di Bukit Jalil pada hari perlawanan Sabtu ini," katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, bagi jualan di kaunter, Kafa hanya membenarkan setiap penyokong membeli tiga keping tiket.

Beliau menganggarkan penyokong Kelantan termasuk di Lembah Kelang akan memenuhi separuh daripada ruang Stadium Bukit Jalil kelak dalam menyaksikan perlawanan yang amat bersejarah bagi rakyat dan negeri ini.

''Ia menjadi permulaan kepada kebangkitan semula Kelantan dalam arena bola sepak tanah air setelah hampir empat dekad tidak berpeluang ke perlawanan akhir," ujarnya.

Sekiranya Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan dan membawa pulang piala berprestij itu, banyak ganjaran menunggu mereka kelak. -utusan