Tidak dinafikan bahawa, Itali adalah negara yang kaya dengan sejarah dan monumen-monumen menakjubkan tetapi sesuatu yang menjadi perhatian saya semasa di sana adalah budaya bola sepak di kalangan masyarakatnya.
Saya mengambil kesempatan untuk menyaksikan perlawanan semasa saya berada di Milan.
Ia merupakan perlawanan pertama dalam Serie A dan pastinya para penyokong berpusu-pusu keluar dengan penuh semangat untuk menyokong pasukan pilihan mereka.
Saya merancang untuk menyaksikan perlawanan pasukan Jose Mourinho, Inter Milan menentang Bari di San Siro.
Ia kelihatan seperti Inter akan memenangi perlawanan itu tetapi Bari yang merupakan pasukan bukan pilihan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyamakan kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.
Ruangan ini bukan untuk mengisahkan tentang Inter Milan, AC Milan mahupun Bari tetapi mengenai gelagat peminat bola sepak yang saya temui di Itali.
Mereka datang daripada pelbagai bentuk dan saiz, latar belakang kehidupan yang berbeza dan pastinya anda dapat melihat gelagat kumpulan-kumpulan manusia yang berpakaian glamor dan bergaya dengan label jenama seperti Gucci dan Armani.
Tidak lupa juga, langkah warga tua yang begitu bertenaga dan perkara yang paling menyentuh hati saya adalah semangat penyokong kurang upaya yang diberikan tempat duduk khas buat mereka yang turut sama-sama menyokong pasukan pilihan mereka di atas kerusi roda.
Ia merupakan sesuatu yang menakjubkan dan kadang-kadang saya berharap keadaan di sana juga boleh berlaku di Malaysia.
Saya berpeluang untuk melihat semangat rakyat Malaysia terhadap bola sepak di negara ini tetapi ia hanya terjadi tiga atau empat kali setahun dimana kita boleh lihat dalam saingan Piala FA, peringkat akhir Piala Malaysia, Perisai Komuniti dan saingan merebut gelaran Liga Super.
Selain itu, tidak sampai separuh peminat yang datang ke stadium apabila saingan perlawanan bola sepak tempatan berlangsung.
Kali terakhir Stadium Bukit Jalil dibanjiri dengan kehadiran peminat yang sangat luar biasa adalah semasa kehadiran Manchester United untuk Siri Jelajah Asia dan kebanyakan peminat adalah penyokong setia Manchester United.
Rakyat Malaysia terlalu obses dengan saingan Liga Perdana England tetapi tidak menunjukkan sokongan kepada kemajuan arena bola sepak tempatan.
Apa yang saya perhatikan hanya Kedah, Kelantan, Selangor dan Perak sahaja yang mempunyai penyokong setia mereka dan saya sangat berharap pada masa akan datang kita mampu melihat perubahan dan peningkatan terhadap budaya bola sepak di negara ini.
Perlawanan bola sepak boleh menjadi festival sosial di kalangan masyarakat tidak kira kepada para peminat mahupun apa yang kita boleh pelajari di San Siro.
n Edleen Ismail adalah pengacara SportsCenter Malaysia. -utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan