TIDAK ada ruang lagi buat pemain senior untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa tahun ini.
Perancangan awal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memang menarik dengan pembahagian kejohanan sama rata buat skuad senior dan juga skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Skuad senior dijadualkan beraksi bertemu Manchester United Sabtu ini dan juga bersaing dalam Pestabola Merdeka 2009 yang sepatutnya berlangsung 1 hingga 15 Ogos depan.
Skuad B-23 pula dicadangkan beraksi untuk Piala Antara Benua 2009 yang sepatutnya berlangsung 1 hingga 14 Jun lalu disusuli beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan menjelang Sukan SEA XXV di Laos, Disember depan.
Namun pembatalan Piala Antara Benua dan Pestabola Merdeka atas alasan risiko penyebaran wabak selesema babi telah mencacatkan perancangan asal FAM itu.
FAM tiada pilihan selain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap skuad B-23 kebangsaan yang dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 1989 iaitu 20 tahun yang lalu.
Bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia masih belum memikirkan siapa yang akan dipanggil untuk aksi-aksi persahabatan antarabangsa selepas ini tetapi membayangkan untuk memberi lebih tumpuan kepada barisan pemain-pemain B-23.
"Buat masa ini biarlah kita beri tumpuan dahulu untuk perlawanan menentang United. Selepas itu, barulah saya akan fikirkan siapa yang akan dipanggil untuk aksi akan datang.
"Tapi kita kena ingat, kejohanan terpenting yang menjadi sasaran utama kita tahun ini adalah Sukan SEA. Jadi perlawanan dengan United ini pun sebahagian daripada persiapan kami menghadapi Sukan SEA. Sebab itulah saya hanya senaraikan empat saja pemain senior," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengikut laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan berkunjung ke Jakarta untuk menghadapi dua aksi persahabatan bertemu Indonesia pada 5 dan 8 Ogos depan.
Ketika ini, terdapat suara-suara sinis yang mempertikaikan pemilihan pemain yang dibuat Rajagobal untuk perlawanan menentang United Sabtu ini kerana dia tidak memanggil beberapa pemain senior yang beraksi cemerlang dalam Liga Super dan Liga Perdana musim ini.
Sebaliknya, Rajagobal hanya menyenaraikan empat pemain senior iaitu Amri Yahyah (Selangor), Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) dan V. Thirumurugan (Kedah) untuk bersama-sama 24 pemain B-23 tahun yang lain.
Sementara itu, ditanya persiapannya menjelang pertemuan dengan United petang Sabtu ini, Rajagobal memberitahu, dia akan menyenaraikan 25 pemain untuk berada dalam skuad akhir pada perlawanan tersebut.
"Daripada 28 pemain yang ada ketika ini, saya akan pilih 25 pemain terbaik untuk senarai akhir. Mungkin saya akan umumkan sehari sebelum perlawanan," katanya. - Ihsan Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan