PENJAGA gol Kelantan, Halim Napi (gambar) diberi amaran keras oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) supaya tidak mengulangi insiden memukul pemain lawan.
Naib Presiden Kafa, Mohd. Affandi Hamzah berkata, Halim akan menghadapi tindakan disiplin jika gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau melakukan kesalahan melanggar disiplin.
"Walaupun Halim sudah tamat tempoh penggantungannya tetapi kita tetap membuat pemantauan sama ada dia mampu menunjukkan prestasi permainan memuaskan atau tidak melakukan kesalahan disiplin seperti sebelum ini," katanya pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu malam kelmarin.
Pada majlis itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa turut menyampaikan sumbangan wang hari raya kepada pihak pengurusan dan pemain-pemain Kelantan.
Terdahulu, Halim digantung perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana didapati bersalah menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak sebaik sahaja perlawanan separuh akhir pertama Piala FA tamat di Stadium Sultan Muhammed IV, 7 April lepas. - kosmo online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan