4 Nov 2012

Troli supermarket' tak tahan lama

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikata- kan betapa Johor akan kembali tampil sebagai kuasa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Keseriusan skuad Harimau Selatan itu membentuk barisan terbaik bagi menghadapi kancah Liga M musim depan jelas tergambar apabila mereka berjaya mendapatkan beberapa tonggak skuad kebangsaan.

Tonggak terbabit ialah perancang Selangor, Safiq Rahim, trio Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azmi Muslim dan pasangan kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Abdul Radzak serta pemain pertahanan Terengganu, Mohd. Muslim Ahmad.


Lebih sensasi apabila skuad kendalian Fandi Ahmad itu telah berjaya menyunting khidmat bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza daripada kelab Getafe.

Usaha Johor bagi membentuk skuad paling ampuh tidak berhenti di situ sahaja apabila mereka masih memburu sentuhan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Meskipun rundingan untuk mendapatkan Norshahrul atau Mat Yo masih belum menemui titik noktah, bayangan skuad kesebelasan Johor sudah cukup untuk menggerunkan pasukan lawan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) mempunyai pandangan beliau sendiri mengenai 'formula' yang digunakan Johor ketika ini.

"Kita lihat ada beberapa (pasukan) negeri yang mahu kemenangan cepat dengan menggunakan kaedah 'troli supermarket' apabila jendela perpindahan pemain dibuka.

"Pada pendapat saya, ia (kae- dah 'troli supermarket') tidak akan bertahan lama tetapi dalam tempoh jangka pendek, mungkin ia bagus.

"Bagi saya, mungkin Johor mahu memberikan suntikan baharu kepada penyokong negeri itu," kata Ahmad Shabery semalam. 

Ahmad Shabery turut menyeru agar kesemua persatuan negeri (FA) atau kelab tidak terlepas pandang dengan menubuhkan program-program bola sepak dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu.

Jelasnya, semua pihak harus memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam usaha untuk meningkatkan taraf bola sepak kepada penjenamaan yang lebih berkualiti.

"Sekarang, terlalu banyak persatuan bergantung kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang melahirkan pemain pada peringkat pusat.

"Justeru, saya berharap negeri-negeri perlu ada satu modul bagi membangunkan pemain-pemain mereka dalam tempoh jangka masa panjang.

"FA perlu merancang pembangunan penjenamaan tersendiri sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan (Persatuan Bola Sepak Kelantan) pada masa kini," kata Ahmad Shabery.

Sumber : Kosmo

Tiada ulasan: