Dua bulan kemudian, jurulatih kelab bola sepak Western Illinois itu menyambut kunjungan penghantar emel berkenaan.
Kosuke Kimura (gambar) melangkah masuk ke pejabat Johnson tanpa dipelawa.
Sekalipun tidak fasih berbahasa Inggeris, Kimura memperkenalkan dirinya.
Mengimbas detik itu, Johnson ingat-ingat lupa mengenai emel yang menyatakan minat Kimura untuk mencuba nasib memburu impian di Amerika Syarikat.
Beribu batu ditempuhinya, dari Yokohama ke Illinois semata-mata untuk memenuhi cita-citanya.
Kini Kimura, antara tonggak Colorado Rapids, dikenali selaku pemain Jepun pertama menghiasi Major League Soccer atau MLS di Amerika Syarikat.
Musim pertamanya cukup mencabar.
"Saya banyak memanaskan bangku simpanan pasukan simpanan, bukannya skuad utama. Tapi sejak kecil saya dididik oleh bapa agar menjaga disiplin. Dia mengajar erti keyakinan diri dan keinginan."
Tanpa mengenal jemu, Kimura menjalani latihan keras, sentiasa bersaing malah memenangi kebanyakan bentesan, rebutan bola dan latihan pecut. Tidak lama kemudian dia mendapat peluang menyarung jersi pasukan utama Colorado.
Membesar di Jepun, Kimura, seperti remaja lain, menyimpan impian bermain dalam Liga J. Pada peringkat sekolah menengah, Kimura beraksi untuk pasukan simpanan Kawasaki Frontale.
Kimura mengalami kecederaan serius yang menyebabkan dia terlantar lebih sembilan bulan, lalu digugurkan oleh Kawasaki.
Dia kemudian tidak memilih bermain di peringkat universiti kerana percaya lazimnya pemain remaja menyertai kelab profesional dari peringkat menengah.
Rakannya, Issey Maholo, mencadangkan agar Kimura menulis kepada jurulatih-jurulatih Divisyen Satu di Amerika Syarikat.
Memandangkan Kimura tidak fasih berbahasa Inggeris, Maholo, yang bermain untuk Boston College dari 2003-2006, membantu menghantar emel kepada lebih 30 jurulatih sekolah Divisyen Satu di Amerika Syarikat.
Johnson antara yang memberi respons. Lantas terus terpikat menonton rakaman video yang dihantar dari Jepun.
Sesudah mengharungi ujian termasuk peperiksaan SAT, Kimura akhirnya berjaya.
Berapa ramai agaknya di kalangan pemain tempatan yang sanggup bersusah-payah mencari rezeki, menimba pengalaman dan ilmu di perantauan?
Berapa ramai pula agaknya jurulatih dan pegawai yang berlapang dada menerima seorang perantau untuk menyertai pasukan mereka?
Oh, terlupa, di Malaysia, kita melarang penggunaan pemain import. Kita juga tidak tahu struktur Liga Malaysia musim depan.
Yang kita tahu bola sepak Malaysia sedang menempuh zaman suram. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengawal selianya di FAM tidak pula mencerminkan iltizam untuk mengubah keadaan.
Tidak seperti Kimura yang berusaha mengubah nasib dan keadaan dirinya. -Ihsan kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan