29 Ogo 2009

Kematian Halim Kehilangan Besar Dunia Pengadilan Bola Sepak Malaysia

KANGAR, 28 Ogos (Bernama) -- Kematian pengadil bola sepak bertaraf dunia, Kapten (B) Halim Abdul Hamid di sini malam Khamis disifatkan sebagai hilangnya sebutir mutiara dalam dunia pengadilan sukan bola sepak negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata kematian Halim di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pukul 9.25 malam Khamis akibat sesak nafas dan jangkitan kuman di paru-parunya juga merupakan kehilangan besar kepada pembangunan sukan negeri.

Beliau yang ditemui semasa menziarahi jenazah allahyarham di Lorong Anggerik di sini berkata Halim, 47, mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai rakyat Malaysia yang pertama diberi penghormatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi pembantu pengadil pada Piala dunia 1998 di Perancis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Wan Manira Wan Mustaffa, 47, dan meninggalkan empat orang anak berusia antara 9 dan 16 tahun.

Selepas bersara dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat kapten pada Jun 2007, beliau terus ditawarkan berkhidmat di Universiti Malaysia Perlis sebagai Pegawai Belia dan Sukan.

"Allahyarham seorang yang bersemangat tinggi dan berpandangan jauh. Sememangnya menjadi pengadil sehingga ke peringkat dunia adalah cita-citanya dan dia sentiasa berusaha untuk memiliki apa yang diimpikan," kata Wan Manira.

Selain Menteri Besar Perlis, turut menziarahi jenazah allahyarham ialah anggota parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, para pengadil bola sepak seluruh negara dan rakan-rakanya dalam ATM.

Jenazahnya dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Peduka, dekat sini selepas solat Jumaat.

Bernama

Tiada ulasan: