29 Jul 2009

FAM 'minta nyawa'

Rayu bola sepak ke Laos bawah Kategori B

MENYEDARI skuad negara tampil tanpa sebarang keputusan memberangsangkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur meminta simpati Majlis Olimpik Malaysia dengan tiket Kategori B untuk ke Sukan Sea Laos, Disember ini.

Ini diakui Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad (gambar) yang berkata, FAM sedar betapa tiada sebarang keputusan membanggakan diperoleh skuad negara dalam tempoh dua tahun lalu.
"Ketika Sukan Sea Korat 2007, kami memohon supaya MOM membiayai pemergian skuad negara ke Thailand kerana baru saja memenangi Pesta Bola Merdeka. Tapi sekarang kami tidak menang apa-apa pun," katanya.

MOM semalam mengadakan mesyuarat pemilihan untuk ke Sukan Sea Laos dengan wakil persatuan hadir membentangkan prestasi peserta masing-masing bagi menentukan sama ada pemergian mereka ditanggung MOM (Kategori A) atau persatuan (B).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar berkata, sebanyak 14 persatuan hadir membentangkan permohonan masing-masing semalam termasuk bola sepak.

"Kami perlu menghantar skuad bola sepak ke Sukan Sea kerana ia sukan yang popular dan bagi menjaga maruah persatuan di kalangan negara serantau. Malah, FAM datang dengan permohonan untuk Kategori B," katanya.

Sementara itu, Tunku Imran turut berkata, Lembaga Eksekutif MOM akan bersidang pada Ogos ini bagi membincangkan permohonan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk membayar pendahuluan untuk atlit Kategori B persatuan itu.

"Mereka ada mengusulkan supaya MOM terlebih dulu menanggung kos penghantaran atlit Kategori B mereka, dan kami akan bincangkan kemudian," katanya mengulas mengenai pembentangan KOAM yang ketika ini menyenaraikan lebih 32 atlit. -ihsan BHarian

Tiada ulasan: