8 Jun 2010

Terengganu, Selangor tunjuk taring


Pemain Kelantan, Mohamad Zamry Ramli (kiri) mengasak pemain Terengganu, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi pada perlawanan bola sepak Sukma antara Kelantan dengan Terengganu di padang bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, Melaka, semalam.


MELAKA - Biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 50 minit, penyandang juara, Terengganu tidak menghadapi masalah untuk membelasah Kelantan 4-0 pada aksi pembukaan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, semalam.
Terengganu yang meraih emas di tempat sendiri, dua tahun lalu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Nuraliff Zainal Abidin dilayangkan kad merah pada minit ke-40.
Mereka memulakan pesta gol menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-29, disusuli gol kedua menerusi penalti yang disempurnakan oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-55.
Tiga minit selepas itu Terengganu menambah gol ketiga menerusi Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-58, sebelum tirai gol ditutup oleh Jospeh pada minit terakhir.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Selangor turut cemerlang apabila membelasah Sabah 4-0 di Stadium Hang Tuah.
Bintang Liga Super Selangor, Farderin Kadir meledakkan dua gol di minit ke-31 dan 84, sebelum dua lagi jaringan menyusul menerusi Wan Mohd. Hoesne Wan Hussain di minit ke-26 dan Muhammad Syafiq Abd. Samad, minit ke-92.
Naib juara dua tahun lalu, Perlis tersentak apabila kalah mengejut 1-0 kepada Perak di Stadium Tun Fatimah.
S. Savirmuthu muncul hero Perak apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-82 bagi memastikan pasukannya mengutip tiga mata penuh.
Kedah, pemenang pingat gangsa Sukma 2008 membuka tirai perlawanan Kumpulan A dengan sekadar seri 2-2 berdepan Wilayah Persekutuan juga di Stadium Tun Fatimah.
Pemain Kedah, Muhamad Syafiq Jamal memecah kebuntuan gol pada minit ke-17, sebelum Wilayah Persekutuan menyamakan kedudukan 1-1 hasil ledakan Yong Kwong Yong pada minit ke-62.
Skuad Hijau Kuning kembali mendahului hasil jaringan Mohd. Hisham Shofi pada minit ke-78, namun jaringan Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-89 mengikat kedudukan 2-2.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di padang Sekolah Menengah Seri Kota, Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan Johor.
Mohd. Faizol Hussin meletakkan Johor di depan menerusi jaringan pada minit ke-51, namun Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Firdaus Azizul di minit ke-74

Tiada ulasan: