9 Jul 2009

Masa halang Rajagobal bentuk skuad mantap jumpa MU



CARI KETenangan... Pemain skuad bola sepak negara sempat menjalani latihan kecergasan
dalam kolam di Kompleks Renang Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA - Bukan kehandalan bintang Manchester United yang meresahkan K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan 18 Julai ini tetapi 'masa' menjadi musuh utama jurulatih kebangsaan itu untuk membentuk skuad yang mantap.

Dengan hanya sembilan hari lagi aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rajagobal mengakui tidak banyak yang berupaya dilakukannya dari aspek persiapan skuad negara.

Lebih meresahkan, beliau hanya ada masa dua hari sahaja untuk mengatur segala persiapan untuk perlawanan persahabatan dengan Syria Ahad ini, disusuli perlawanan kedua pada Selasa depan.

Apa yang jelas, Rajagobal kini 'berperang dengan masa'.

''Apa yang anda jangkakan dari masa yang begitu singkat? Ya... saya tidak berpeluang merangka persediaan yang terbaik.

''Namun, inilah sahaja masa yang saya ada. Untuk itu saya harus membuat persediaan yang sesuai berdasarkan tempoh singkat yang saya ada.

''Sesi latihan pusat 28 pemain yang mula melapor diri hari ini adalah proses pemulihan mental dan fizikal pemain.

''Saya katakan begitu kerana semua pemain yang dipanggil secara fizikalnya baik kerana telah mengharungi tujuh perlawanan liga berturut-turut.

''Inilah bekalan untuk membentuk skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan yang terdekat iaitu dengan Syria," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Sebanyak 28 pemain dipanggil untuk pemilihan skuad kebangsaan yang akan menentang Manchester United pada 18 Julai ini.

Daripada jumlah itu, hanya empat pemain senior disenaraikan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Norhafiz Zamani Misbah dan V. Thirumurugan.

Jelas Rajagobal, semua pemain yang dipanggil, menyahut cabaran untuk latihan pusat yang bermula semalam.

Jelasnya, perlawanan persahabatan dengan Syria akan menjadi kayu ukur pemilihan pemain yang akan diturunkan ketika menentang United nanti.

''Setakat ini belum ada skuad bayangan siapa yang akan disenaraikan (menentang United).

''Begitu juga pemain senior, kedudukan mereka dalam skuad belum terjamin dan harus bersaing dengan pemain muda.

''Hanya perlawanan dengan Syria yang menjadi medan pemilihan pemain yang layak disenaraikan untuk menentang United," katanya.

Rajagobal turut mempertahankan tindakannya memilih sebahagian besar pemain muda.

''Pembentukan skuad ini bukan sekadar untuk perlawanan dengan United tetap matlamatnya adalah skuad SEA hujung tahun ini.

''Selepas Pestabola Merdeka dibatalkan, kita sudah tiada peluang untuk menguji skuad khas ke Sukan SEA.

''Peranan pemain senior ialah memberi semangat kepada pemain muda kerana mereka memiliki pengalaman," katanya.

Mengenai perlawanan dengan United, Rajagobal berkata, rasionalnya dia tidak rela melihat pasukan bimbingannya menjadi skuad belasahan.

''Bagi saya perlawanan dengan United bukan sekadar perlawanan pertunjukkan.

''Keputusan perlawanan tetap penting, saya tidak rela kita dibelasah.

''Namun apa yang lebih penting ialah pemain kita dapat menimba pengalaman dari perlawanan tersebut.

''Nikmatilah perlawanan dengan pemain bertaraf bintang, pelajarilah kelebihan mereka, berikan yang terbaik, itu harapan saya," katanya. -Ihsan Utusan

Tiada ulasan: