31 Dis 2009

Keputusan perlawanan persahabatan keenam

Kelantan 1 
(Akmal Rizal mnt 59)  
Felda United 1 
(Kharulnisham mnt 50)

Penonton :10000 orang


Ulasan :
Persembahan yang masih kurang menyakinkan...
Kelantan turun untuk perlawanan persahabatan keenam dalam kempen pra liga super dengan turun menentang Felda United semalam.

Kelantan menurunkan hampir kesemua 'kesebelasan utama' pada separuh masa kedua dengan mengandingkan Akmal bersama Hairuddin omar.

Ternyata mereka berdua masih belum serasi untuk bermain bersama kerana kurangnya persefahaman diantara mereka berdua.

Hairuddin ternyata masih mencari-cari rentak permainan sebenar beliau yang ternyata tidak mendapat bantuan sepenuhnya dari rakan-rakan.

Perlawanan semalam menampakan bahawa Kelantan yang dibarisi oleh pemain-pemain berstatus bintang tidak boleh merasa selesa kerana persembahan yang ditunjukkan pemain-pemain ternyata dibawah tahap sebenar dan masih lagi tidak konsisten.

Kelemahan ketara adalah dibarisan hadapan yang gagal melakukan penyudah serta barisan tengah yang kurang berfungsi dengan baik walaupun diketuai oleh Badri Radzi.Beliau ternyata masih lagi tidak cergas sepenuhnya serta dilihat 'takut' untuk memegang bola.

Kelantan bernasib baik kerana mempunyai barisan pertahanan yang kental diketuai oleh Azizi dan dibantu oleh Rizal Fahmi dan rakan-rakan yang lain.

Aksi Shahrizan agak kurang konsisten mungkin kerana 'berehat panjang' dan beliau perlu memulihkan kembali prestasi kemuncak beliau ketika mengantikan Halim yang digantung perlawanan dalam liga super lepas.

Gol yang diperolehi oleh Felda United semalam adalah dari kesilapan beliau yang gagal menolak keluar bola sepakan lambung khairul yang tidak menyangka bola tersebut menghasilkan gol.

Kelantan memperolehi gol penyamaan menerusi jaringan Akmal Rizal pada minit ke-59.Gol berpunca dari hantaran Daudsu yang disambut Akmal dan tertampan pertahanan Felda gagal diselematkan penjaga gol Felda United. 


Kemasukan 'budak sekolah' iaitu Che Hisyamuddin ternyata merancakkan permainan Kelantan pada separuh masa kedua yang dilihat membosankan sebelum ini.

Beliau berjaya mengemudi jentera hadapan dan Kelantan dilihat 'bergerak' setelah kehadiran beliau dan berjaya memberikan tekanan kepada pertahanan Felda United namun penyudah yang lemah mengagalkan jaringan tambahan diperolehi.

Apa yang pasti barisan Kelantan perlu bekerja keras lagi jika mahu membawa pulang tiga piala ke Kelantan tahun depan.

29 Dis 2009

'Kafa perlu siasat stadium bolos'

PEMINAT Kelantan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyiasat insiden pintu utama Stadium Sultan Mohamed Ke-IV dibolosi penonton yang tidak bertiket pada perlawanan persahabatan di antara Kelantan dengan Narathiwat FA, Sabtu lalu.

Mereka berpendapat kejadian itu mengecewakan kerana menidakkan hak penonton yang membeli tiket perlawanan selain menyerlahkan kelemahan kawalan keselamatan apabila dengan mudah dibolosi peminat tidak bertiket itu.

Kejadian berlaku apabila pintu utama stadium itu dibuka sebaik sebelum perlawanan menyebabkan ratusan penonton tanpa tiket menyerbu masuk tanpa sempat dikawal pihak pengurusan Kafa dan pengurusan stadium itu.


“Perbuatan itu bukan saja merugikan Kafa, malah menjejaskan semangat kesukanan ditunjukkan semua pihak dalam menjayakan perlawanan persahabatan itu,” kata seorang peminat bola sepak, Rahimi Hussein, 26, , semalam.

Perlawanan persahabatan itu berkesudahan kedua-dua pasukan seri tanpa sebarang gol.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Hashim Tuan Yaakob, berkata pihaknya akan memulakan ujian percubaan bagi menggunakan sistem tiket elektronik ‘Touch N Go’ di pintu masuk stadium itu Rabu ini ketika perlawanan persahabatan Kelantan menentang Felda United sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang sepak mula saingan Liga Super pada 9 Januari ini. - Bernama

28 Dis 2009

KAFA keluarkan produk sendiri

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak lagi dibelenggu masalah kewangan menjelang musim depan apabila mereka dijangka meraih jutaan ringgit hasil jualan barangan keluaran persatuan tersebut, lapor RIZALMAN NOR.

Bagi mengukuhkan sumber kewangan, KAFA telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek untuk mengeluarkan barangan sendiri yang mempamerkan logo KAFA dan tulisan The Red Warriors.

Pengerusi Jawatankuasa Barangan dan Pemasaran KAFA, Azlan Mohd. Yusoff berkata, semua barangan yang akan dipasarkan nanti menjadi hak milik terpelihara persatuan itu.

"Kita akan mendapat sumber kewangan yang kukuh dengan penjualan barangan seperti jersi, baju-T, topi, beg, pelekat kenderaan dan pelbagai lagi barangan cenderahati untuk dimiliki oleh penyokong setia bola sepak Kelantan.

"KAFA kini membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen bagi memasarkan barangan tersebut kepada orang ramai," katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Menurutnya, tindakan KAFA berdaftar dengan perbadanan tersebut bertujuan menjamin kualiti semua barangan yang akan berada di pasaran nanti.

Azlan memberitahu, tidak akan ada lagi jualan barangan cenderahati yang dicetak rompak di pasaran pada musim depan.

"Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak yang menjual barangan menggunakan logo KAFA sesuka hati tanpa mendapat kebenaran sekali gus menjejaskan pendapatan persatuan ini.

"Selain itu, penggunaan logo terutama pada jersi dan baju-T yang tidak mengikut standard KAFA juga telah menjejaskan imej persatuan itu," ujar beliau.

Beliau berkata, peniaga yang mendapatkan barangan daripada pengeluar yang tidak sah sebelum ini tidak perlu bimbang kerana KAFA memberi jaminan bahawa ejennya akan mendapat keuntungan yang lumayan hasil jualan barangan tersebut.

Setakat ini, lebih 20 peniaga telah berdaftar dengan KAFA dan semua barangan akan berada di pasaran awal bulan depan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang sebagai ejen di Wisma KAFA, Kubang Kerian. - kosmo

27 Dis 2009

Keputusan perlawanan persahabatan kelima

Kelantan 0 vs Narathiwat Fc 0

Jumlah Penonton : 12000 orang
Harga tiket        :Astaka RM10 / Terbuka RM 5
Barisan pemain-pemain Kelantan tidak menunjukkan prestasi yang sebenar dalam perlawanan ini yang ternyata membosankan dengan gerakan-gerakan tidak tersusun yang mudah dipatahkan oleh pertahanan Narathiwat FC.

Kehadiran Akmal Rizal dibantu Hairuddin Omar gagal menterjemahkan permainan yang menarik untuk pasukan Kelantan.Akmal dilihat gagal menyudahkan peluang keemasan yang terhidang dan tidak mampu menjaringkan gol walaupun pintu gol telah terbuka luas.

Sathianatahan perlu mencorak percaturan baru kerana  strategi beliau pada perlawanan ini gagal difahami dan di turuti pemain-pemain yang bermain ala kampung dan membosankan.

Kelantan bernasib baik kerana mempunyai pertahanan yang kuat diketuai Azizi yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan persahabatan yang diadakan cuma yang merungsingkan prestasi penjaga gol baru Kelantan iaitu Syed Adney yang nampak bermain 'ala kadar' dan tidak mempamerkan kesungguhan dalam perlawanan persahabatan ini.

Pujian harus diberikan kerana Sathia berani 'mencorak' kembali pasukan Kelantan dengan membiasakan pemain-pemain bermain dalam semua posisi dan dengan cara ini beliau mungkin dapat melihat kelebihan pemain-pemain yang ada untuk diletakkan diposisi yang sebenar.

24 Dis 2009

Red Warrior’s pamer kekuatan baru


KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN PERSAHABATAN:
KELANTAN  2-0  T.TEAM
Norfarhan (m-18)
S.Chanturu (m-20)
Jumlah Penonton : 8000 orang.

KOTA BHARU - Setelah hampir dua bulan menyepi tanpa perlawanan bola sepak, semalam pasukan The Red Warrior’s mempamerkan kekuatan baru kepada peminat dan penyokong setia pasukan ini dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan T-Team.

Kesepian peminat dan penyokong pasukan Kelantan terubat dengan kemenangan 2-0, dalam perlawanan yang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Di awal perlawanan, T-Team mula mengasak melalui beberapa percubaan bahaya tetapi serangan mereka berjaya dipatahkan pemain di barisan pertahanan Kelantan.

Pada minit ke-18, pemain tengah, Mohd Nor Farhan berjaya menghadiahkan gol pertama buat pasukannya setelah merembat masuk hantaran tepat pemain penyerang Kelantan, Chanturu Suppiah yang berjaya melepasi penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri.

Tanpa diduga dua minit kemudiannya, Chanturu Suppiah berjaya melepasi halangan pemain pertahanan T-Team dengan mudah sekali gus menyempurnakan gol kedua buat pasukan Kelantan.

Setelah berehat, T-Team yang ketinggalan dua  jaringan cuba untuk mencari gol dengan beberapa cubaan malah pasukan ini mula meningkatkan lagi serangan ke atas pasukan lawan.

Bagaimanapun cubaan tersebut tidak berjaya melepasi halangan kubu pertahanan Kelantan.

Di minit ke-88, T-Team dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol Kelantan, Syed Adni Syed Husain mengasari pemain pasukan itu.

Sepakan kencang Abdul Hadi Yahya berjaya ditepis sekali gus menggagalkan cubaan pemain T-Team untuk mencari gol sehingga ke akhir perlawanan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain yang telah menunjukkan semangat yang kuat dalam perlawanan tersebut.

“Kesemua pemain perlu mengekalkan kekuatan seperti ini bukan hanya dalam latihan ataupun perlawanan persahabatan tetapi juga dalam perlawanan sebenar.

“Apabila sebuah pasukan yang kuat dibentuk ditambah lagi dengan kekuatan mental dan fizikal sudah tentu pasukan itu akan mempunyai kualiti yang lebih baik,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kemenangan itu dikatakan sebagai satu petanda yang baik buat pasukan Red Warrior’s untuk musim 2010.

“Pasukan ini berada di landasan yang betul dan saya akan cuba untuk meningkatkan lagi kebolehan pemain dalam tiga lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Narathiwat, Felda dan Kelab Bola Sepak USM Pulau Pinang.

“Saya percaya sebuah pasukan yang kuat perlu mempunyai kekuatan dari segi pertahanan yang kuat agar tidak mudah dibolosi dan pasukan ini juga bertuah kerana mempunyai ramai penyerang,” katanya.

Beliau berharap agar dalam perlawanan persahabatan ini, Sathia akan berusaha untuk mencari ramuan dan formula yang membolehkan pasukan Kelantan mencari jaringan gol dalam perlawanan sebenar. -Sinar Harian

23 Dis 2009

Subramaniam senang bersama Kelantan

Oleh Azizan Hashim

PENERIMAAN baik penyokong Kelantan terhadap pemain luar membuatkan bekas kapten Perak, S Subramaniam (gambar) senang berada bersama naib juara Piala Malaysia itu bagi menghadapi kempen bola sepak Liga M musim 2010 nanti.

Justeru, Subramaniam, 24, berasa cukup selesa bersama skuad barunya itu terutama kerana berpeluang memperbaharui hubungan dengan bekas jurulatih kebangsaan yang pernah membimbingnya, B Sathianathan.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Sungai Siput itu berharap dapat menggapai pencapaian memberangsangkan dengan pasukan bergelar Wira Merah itu.

“Penyokong Kelantan cukup setia kepada pasukan. Mereka melayani pemain tanpa mengira pemain anak negeri atau luar.

“Saya berharap mampu membalas sokongan mereka dengan memberi persembahan terbaik kepada pasukan setiap kali diturunkan,” katanya.

Selain gembira dengan penerimaan baik masyarakat setempat, Subramaniam juga memuji kesungguhan Presiden Persatuan Bola Sepak kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang berusaha memajukan skuad Kijang.

Lebih penting Subramaniam berkata, dia juga akan bergandingan dengan pemain berasal dari Perak, Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Azlan Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.

Berdasarkan himpunan pemain kali ini ternyata pengendali Kijang, Sathianathan kini memiliki bahan lebih berwibawa untuk menjadi antara pencabar unggul dalam kancah bola sepak domestik.

Walaupun terkilan kerana tidak dapat menyarung jersi pasukan negeri sendiri tetapi Subra berkata, dia terpaksa berkelana demi memenuhi tuntutan mencari nafkah untuk hidup serta meneruskan kerjaya bola sepaknya.

“Saya terpaksa mencari pasukan baru selepas Perak menolak saya pada pertengahan kempen tahun lalu.

“Saya berharap dapat membalas kepercayaan pegawai KAFA dengan memberi pulangan menguntungkan pelaburan mereka terhadap saya,” katanya. -Metro

22 Dis 2009

Harimau Muda perlu ke liga Super

Sukan Sea Laos telah melabuhkan tirai dan skuad bawah 23 Tahun telah menunaikan janji mereka untuk membawa pulang pingat emas setelah kali terakhir berjaya dimenangi 20 tahun lepas.

Apa yang menjadi perbualan sekarang mengapa anak didik K.Rajagopal tidak dinaikkan pangkat ke liga super seperti yang diwar-warkan sebaliknya FAM memutuskan untuk menaikkan Pahang yang untuk pertama kalinya telah turun ke liga perdana.

Tindakan FAM tersebut adalah tidak rasional kerana seolah-olah sedang berusaha untuk menyelamatkan Pahang yang ternyata tidak dapat menyaingi persaingan dalam liga super.

Jika skuad K.Rajagopal tidak dinaikkan ke liga Super aksi mereka pasti akan berada di takuk yang lama dan tidak diberi peluang untuk menentang pasukan gergasi liga super seprti Kelantan,N.Sembilan dan Selangor.

Ini amat merugikan pemain-pemain kerana pengalaman beraksi dalam perlawanan penting boleh 'mendewasakan' permainanan mereka.

K.Rajagopal sudah pasti akan kecewa dengan tindakan FAM ini tetapi apakan daya jika beliau bersuara sudah pasti FAM akan mengambil tindakan seperti yang terjadi kepada jurulatih-jurulatih terdahulu.

Walaupun tidak dinaikkan ke liga super apa yang diharapkan skuad Harimau Muda dapat mengekalkan permainan dan tahniah diucapkan kerana berjaya merealisasikan impian hampir 27 juta rakyat Malaysia dan mereka seharusnya diberikan ganjaran yang sewajarnya.

p/s:K.Rajagobal rasanyan boleh dipertimbangkan untuk mendapat gelaran Datuk

17 Dis 2009

Malaysia Tamatkan Kemarau 20 Tahun Untuk Raih Emas Bolasepak Sukan SEA

VIENTIANE, 17 Dis (Bernama) -- Malaysia menamatkan kemarau emas selama 20 tahun selepas menumpaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-25, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini Khamis.

Gol kemenangan Malaysia adalah hasil gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83.

Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri.

Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur (1989) di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Bermain di depan hampir 17 ribu penyokong lawan yang memakai baju-T merah dan bintang warna kuning di dada, Malaysia dan Vietnam memulakan perlawanan dengan berhati-hati dengan masing-masing cuba melakukan percubaan untuk menguji gawang lawan.

Aksi berhati-hati kedua-dua pasukan menyebabkan bola banyak berlegar di tengah padang dan sesekali, pemain Vietnam yang terkenal dengan larian laju cuba menguji penjaga gawang Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee dengan percubaan jarak jauh.

Kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-29 tetapi tandukan S.Kunalan melepasi palang gol.

Terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol pembukaan.

Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia.

Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Sabre Mat Abu perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia pula ketandusan idea, Rajagobal memasukkan Mohamad Zaquan Adha bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-69.

Kemasukan penyerang itu jelas memberi nafas baru kepada pasukan namun banyak percubaan di depan gawang lawan masih belum mampu mencecah jaring Vietnam.

Namun, gol sendiri oleh Mai Xuan Hop akhirnya memperlahankan rentak lawan sebelum pengadil Pratap Singh meniup wisel penamat.

Malaysia menempah tiket ke final selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1 sementara Vietnam mengalahkan Singapura 4-1, pada perlawanan separuh akhir, pada Selasa.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan itu diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Pada pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat saingan Kumpulan A pada 6 Dis, Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 3-1.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Nasriq Baharom, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar,K.Gurusamy, S.Kunalan, Safiq Rahim, Ahmad Fakri Saarani (Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak), Mohamad Muslim Mohamad (Mohamad Azmi Muslim), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).

VIETNAM: Bui Tan Truong, Nguyen Quy Suu, Vo Hoang Quang, Mai Tien Thanh, Mai Xuan Hop, Tran Dinh Dong, Phan Thanh Binh, Pham Thanh Luong, Nguyen Thanh Long Giang, Phan Thanh Hung (Tran Manh Dung), Nguyen Ngoc Anh (Nguyen Trong Hoang).

PENGADIL: Pratap Singh (India)
-BERNAMA

Red Warriors janji permainan mantap

KOTA BHARU - Setelah hampir dua bulan menyepi tanpa perlawanan bola sepak kini peminat dan penyokong setia pasukan ‘The Red Warriors’ bakal disajikan dengan empat perlawanan persahabatan Disember ini.

Kesepian peminat dan penyokong pasukan Kelan-tan bakal terubat dengan persembahan menarik yang bakal diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bermula pada 23 Disember hingga 2 Januari akan datang.

Pada 23 Disember, pasukan Kelantan bakal bertemu dengan pasukan T-Team dan pada 26 Disember pula Kelantan bakal bertemu dengan pasukan daripada negara jiran iaitu pasukan Thai daripada Naratiwat.

Manakala pada 30 Disember, Kelantan bakal bertemu pasukan Felda dan pada 2 Januari tahun hadapan pasukan itu ba-kal bertemu pasukan Kelab Bola Sepak Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pi-nang.

Penolong Setiausaha Ka-fa, Arif Hassan berkata, sebagai persediaan awal musim 2010 selain latihan awal pihak pengurusan Kafa turut mengaturkan empat perlawanan persahabatan.

“Pihak pengurusan Kafa telah mengaturkan empat perlawanan persahabatan dengan tiga pasukan tempatan iaitu T-Team, Felda dan Kelab Bola Sepak USM Pulau Pinang manakala satu lagi perlawanan Kelantan bakal bertemu dengan pasukan Narathiwat.

“Keempat perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada jam 8 malam dan kesemua peminat bola sepak Kelantan dijemput hadir memberikan sokongan beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian.:

Melihat sokongan peminat akhir-akhir ini, pasukan Kelantan di jangka bakal mempamerkan aksi yang lebih menarik dan mendebarkan lebih-lebih lagi dengan adanya bantuan daripada beberapa pemain baru.

“Peminat bola sepak bakal terhibur dengan persembahan daripada pasukan Kelantan malah pasukan lawan turut akan memberikan cabaran dan saingan yang sengit dan sekiranya Kijang menang mestilah lebih menggembirakan.

“Lagipun hampir dua bulan negeri Kelantan sepi tanpa sebarang perlawanan bola sepak dan ini lah masanya untuk melihat sejauh mana kebolehan dan perkembangan pasukan ini setelah kekuatan pasukan bertambah,” katanya. -SinarHarian

16 Dis 2009

Majikan disaran benar pekerja pulang awal saksi Malaysia lawan Vietnam

KUALA LUMPUR: Bahang kejayaan pasukan bola sepak Sukan Sea negara memasuki perlawanan akhir untuk menentang Vietnam esok, turut terasa di Dewan Negara apabila majikan disaran agar membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan itu.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang berkata pertandingan akhir itu akan ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) jam 6 petang.

"Mungkin majikan boleh benarkan pekerja masing-masing balik awal, ataupun boleh sediakan televisyen di pejabat supaya pekerja-pekerja dapat menonton," katanya ketika menjawab soalan Senator Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Razali berkata pasukan negara sudah pasti akan menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, sekali gus akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara.

"Ia tidak ada nilaian wang ringgit, tetapi sumbangan dari majikan dalam menyokong pembangunan bola sepak saya pasti pasukan negara akan menghargai perkara ini," katanya.

Bernama

Liga M 2010: Peraturan lebih ketat

Sebaik sahaja tirai aksi disingkap 2 Februari depan, lawan setaraf mereka dalam Liga Super - Johor FC bakal menanti kunjungan juara Piala Malaysia 2009 itu dan Singa Utara bimbingan Nidzam Adzha Yusof akan melayani Perak.

Juara bertahan, Selangor dan naib juara, Kelantan pula dipisahkan lebih awal dalam majlis undian di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam dan mereka mungkin cuma mampu bertembung pada perlawanan akhir, 10 April.

Gergasi Merah dan Wira Merah turut hanya akan beraksi dalam pusingan kedua, 10 April depan setelah mendapat laluan percuma daripada pusingan pertama yang berlangsung secara timbal balik.
Anak buah K. Devan menanti pemenang perlawanan pusingan pertama antara Sinar Dimaja Mai Sarah dengan PKNS sementara Kelantan bakal berentap dengan pemenang antara Sabah dengan Kedah dalam pusingan kedua.

Tiga puluh pasukan beraksi dalam Piala FA musim depan termasuk beberapa muka baru daripada Liga FAM seperti Pos Malaysia, Melodi Jaya, Staf USM, UiTM Pahang dan Ban Hoe Leong serta Majlis Perbandaran Muar yang dinaikkan ke Liga Perdana, menggantikan Tambun Tulang.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud berkata, skuad bawah 21 negara, Harimau Muda A yang dikeluarkan daripada Liga Super, mungkin menyertai Liga Slovakia tahun depan.

"Mereka (dibimbing Azraai Khor Abdullah) juga masih mempunyai program sepanjang tahun yang menyeluruh bermula dengan kunjungan ke Turki selama 14 hari dan satu kejohanan antarabangsa lain," katanya.
Mengenai pendaftaran pemain Liga M, ia masih tidak dipinda dari 9 Disember lalu manakala jadual pendaftaran kedua, 5 Mei dengan setiap pasukan yang memiliki sekurang-kurangnya 18 pemain sudah memadai untuk beraksi walaupun kuotanya boleh mencapai sehingga 25 orang.

Kata Ahmad Fuad: "Musim 2010 juga akan memperkenalkan satu pendaftaran baru khas pemain yang akan dikuatkuasakan sekiranya sesebuah pasukan diadu pemain atau terlewat membayar gaji mereka walaupun hanya sebulan. "Jika terjadi, pasukan berkenaan boleh digantung selama tiga musim, dilucutkan wang pendahuluan, dilarang bermain dalam liga lagi dan diarah membayar kos perlawanan atau memulangkan keuntungan kutipan tiket," katanya.

Menurutnya, pemain pinjaman daripada sesebuah pasukan yang tidak layak bermain di Piala Malaysia juga tidak boleh dikenakan sebarang bayaran tambahan sama ada berbentuk sagu hati atau pampasan oleh pasukan asalnya terhadap pasukan baru.

"Apa yang diterima pemain itu dalam pasukan baru, hendaklah setimpal di pasukan yang meminjamnya kerana FAM akan cuba membantu mengurangkan beban membayar gaji oleh pasukan asal yang tidak dapat bermain di Piala Malaysia," katanya.

Status skuad bawah 19 negara, Harimau Muda (asalnya B) bimbingan Ong Kim Swee pula akan kekal sebagai pasukan jemputan dan tidak berhak mengaut sebarang ganjaran wang tunai jika bergelar juara tetapi pencapaian itu akan kekal malah tidak akan diturunkan atau dinaikkan ke mana-mana divisyen.
Mengenai kelakuan penyokong di stadium, katanya, sebarang kejadian tidak diingini dicetuskan mereka hingga mendapat liputan meluas media mampu mengheret pihak yang terlibat sama ada persatuan negeri, kelab, pegawai dan pemain didenda antara RM5,000 hingga RM100,000.

Keputusan persahabatan Kelantan VS Chonburi FC


Chonburi FC 1 
(Michael Burns mnt 42)
Kelantan 0


Starting eleven lwn Chonburi FC. 
Berdiri dr kiri Shakir, Indra,Rizal, Shah,Azizi,Subra. 
Depan dr kiri Akmal, Farhan, Daudsu, Ropi, Chanthuru



 

 



 

Walaupun Kelantan kalah kita telah menunjukkan prestasi sebenar dan tetap hebat tanpa kehadiran pemain-pemain import.

info : Chonburi fc news, Tn. Hj. Azman Ibrahim (Pengurus Kelantan FA)

15 Dis 2009

Siaran langsung perlawanan Malaysia-Vietnam di TV2

Hari : Khamis
Tarikh : 17/12/2009
Masa : 6 Petang

KUALA LUMPUR 15 Dis — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea ke-25 antara Malaysia dan Vietnam pada Khamis ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya berkata siaran itu, yang ditaja oleh Telekom Malaysia, akan dapat ditonton menerusi TV2 dan dijangka bermula pada 6 petang.

"Bagaimanapun waktu siarannya tertakluk kepada pukul berapa perlawanan dimulakan,” katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri hari ini untuk mengumumkan program Rentak Juara-Rhythm Of Champions 2010.

Malaysia melayakkan diri setelah mengalahkan tuan rumah Laos 3-1 dalam perlawanan separuh akhir malam tadi manakala Vietnam menundukkan Singapura 4-1.

Perlawanan akhir itu nanti memberi peluang kepada Malaysia menebus kekalahan 3-1 kepada Vietnam di peringkat kumpulan.

Bernama

14 Dis 2009

Malaysia ke final selepas tewaskan Laos 3-1


KEPUTUSAN PENUH
LAOS 1-3 MALAYSIA
K Sysomvang (m-73)  Baddrol Bakhtiar (m-13, 79)
                                      Safiq Rahim (m84)


VIENTIANE 14 Dis. – Malaysia berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA XXV selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini sebentar tadi.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir Khamis ini ialah Vietnam yang sebelum itu menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, dekat sini.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan m-79 sementara gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-84.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K. Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B. - Bernama

Malaysia: Sharbinee Allawee Ramli, Nasriq Baharom, Aidil Zafuan Abd. Radzak (ketua pasukan), Muslim Ahmad, Sabre Mat Abu (Azmi Muslim), S. Kunanlan, Safiq Rahim, K. Gurusamy, Bad- drol Bakhtiar, Abdul Manaf Mamat (Amar Rohidan), Norshahrul Idlan Talaha (Asraruddin Putra Omar).

Live Separuh Akhir Bolasepak Lelaki Sukan Sea, Laos.

LAOS vs MALAYSIA

Pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung perlawanan separuh akhir kedua bolasepak Sukan SEA Laos 2009 diantara pasukan tuan rumah, Laos, dengan Malaysia, yang akan dimainkan di Stadium Utama, Kompleks Sukan Negara di Vientiane.

Pasukan bolasepak Malaysia telah berjaya melayakkan diri ke separuh akhir setelah menewaskan juara bertahan, Thailand, 2-1, pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat lalu.
Siaran langsung tersebut akan bermula pada jam 8:00 malam waktu Malaysia, bersamaan dengan masa permulaan perlawanan.

Jadi, kepada penyokong-penyokong pasukan bolasepak negara dan peminat sukan Malaysia, jangan lupa untuk menonton siaran langsung ini di rangkaian TV2 pada jam 8:00 malam ini.

13 Dis 2009

First Freindly Match Kelantan in Bangkok, Thai.



SISAKET FC 1


KELANTAN 0

Tarikh : 12/12/2009
Venue : Sri Nakhon Lamduan Stadium Sisaket, Thailand.
Info: Pengurus KAFA.

Kelantan akur dengan kehebatan kelab Sisaket FC dalam persahabatan pertama semalam apabila tunduk 1-0.


Kelab Sisaket adalah kelab yang baru dinaikan ke liga premier Thailand dan akan beraksi dalam liga utama Thailand bagi tahun 2010.


12 Dis 2009

Hairuddin: Hati saya untuk 'Kelate'



HAIRUDDIN (kanan) hanya mahu menumpukan perhatiannya dengan pasukan Kelantan.


PENYERANG Kelantan, Hairuddin Omar berharap segala kemelut yang melanda berikutan kontroversi bersama majikan lamanya, T-Team akan menemui jalan penyelesaian.

Baginya, tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan kerana kini hatinya sudah bersama pasukan Kelantan untuk terus memburu kejuaraan musim 2010.

Menurutnya, segala masalah yang timbul mungkin disebabkan sedikit kekeliruan dan salah faham antara beliau dan majikannya itu.

"Saya harap semuanya sudah selesai dan tamat di sini sahaja. Tiada lagi isu yang perlu diperbesarkan kerana saya kini sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan.

"Mungkin tahun ini bukan rezeki saya bersama T-Team dan sebagai anak jati Terengganu, sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan negeri tetapi itulah hakikat yang perlu saya terima," katanya ketika dihubungi di Bangkok semalam.

Tambahnya, sebelum ini dia begitu sedih dan kecewa selepas diberitahu T-Team sudah menutup pintu untuknya pulang berbakti.

Hairuddin yang beraksi bersama T-Team sebelum ini telah dipinjamkan kepada Negeri Sembilan untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2009.

Bagaimanapun, sebaik kempen tersebut selesai, Hairuddin yang mahu kembali ke pangkuan pasukan lamanya diberitahu bahawa tiada lagi tempat buatnya di dalam pasukan itu.

Jelasnya, kehadiran pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang bersedia untuk melamar serta menagih khidmatnya untuk musim depan amat dihargai.

"Saya sudah buka 'buku' baru, azam saya adalah untuk membantu Kelantan memburu kejuaraan musim depan dan saya cukup gembira di sini.

"Sebagai seorang pemain bola sepak, tiada yang lebih mengujakan selain bersama mereka (pemain) yang sentiasa berusaha untuk mengejar kejayaan," ujarnya.

Hairuddin juga cukup bertuah kerana kebanyakan pemain yang beraksi bersama Kelantan musim ini adalah kenalan lama dan pernah beraksi bersamanya sebelum ini.

"Tiada yang baru bagi saya kerana kami semua sudah saling mengenali, cuma saya perlu berusaha mengekalkan kecergasan selain berlatih lebih kuat untuk menambah keserasian.

"Jurulatih Sathia (B. Sathianathan) juga sentiasa memberi dorongan dan beliau juga antara faktor saya datang ke sini (Kelantan)," jelasnya.- kosmo

11 Dis 2009

Malaysia ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA


VIENTIANE 11 Dis. - Malaysia mara ke separuh akhir bola sepak lelaki pada temasya Sukan SEA ke-25 selepas berjaya menumbangkan Thailand 2-1 pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Utama di sini sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia yang menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A akan bertemu tuan rumah Laos, selaku juara Kumpulan B manakala Vietnam akan ditentang oleh Singapura. - Utusan

10 Dis 2009

Hairuddin sah milik Kelantan


HAIRUDDIN akan mewakili Kelantan pada siangan Liga Super musim depan. Dia telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad tersebut semalam.


PENYERANG prolifik kelahiran Terengganu, Hairuddin Omar kini sah menjadi milik Kelantan selepas menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu.
Hairuddin yang sebelum ini menjadi pemain buruan pasukan Negeri Sembilan akhirnya membuat keputusan menyarung jersi The Red Warriors selepas turut menolak tawaran pasukan yang disertainya musim lalu, T-Team.
Beliau sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Negeri Sembilan selepas berjaya membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia apabila menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir 7 November lalu.
Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan yang sudah pun menjangkau usia 30 tahun itu akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kariernya di bumi Cik Siti Wan Kembang.
Menurutnya, keluarga adalah faktor utama kenapa beliau membuat keputusan untuk menyertai Kelantan pada musim depan.
"Saya berasal dari Setiu yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan ia menjadi salah satu sebab kenapa saya memilih Kelantan untuk musim depan.
"Tawaran yang diberikan Kelantan juga cukup baik dan peluang beraksi bersama rakan-rakan lama seperti Indra, Farhan dan Akmal perlu untuk saya pertimbangkan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, KAFA melalui Penolong Setiausaha Agungnya, Arif Hassan telah menemuinya malam kelmarin dan secara rasmi kontrak selama setahun telah dimeterai.
Katanya, keputusan menyertai Kelantan dilakukannya untuk mencuba 'angin baru' selain mahu bersama-sama Kelantan mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia musim depan.
"Secara jelasnya, saya sudah dihubungi oleh coach Sathia (B.Sathianathan) selepas perlawanan akhir Piala Malaysia berakhir yang memberi tawaran kepada saya untuk menyertai Kelantan.
"Ketika itu saya masih belum membuat sebarang keputusan dan kini saya yakin keputusan yang saya ambil untuk bersama Kelantan adalah yang terbaik," ujarnya.
Pada pertandingan Piala Malaysia lalu, Hairuddin turut mencetak nama sebagai pemain yang menghampakan pasukan negeri kelahirannya, Terengganu pada perlawanan peringkat separuh akhir.
Beliau juga turut membunuh harapan Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia apabila gol kedua Negeri Sembilan hasil jaringannya, kurang satu minit selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan menerjah gawang Kelantan.
Sementara itu, Arif ketika dihubungi semalam memberitahu, Hairuddin telah sah didaftarkan sebagai pemain ke-25 pasukan Kelantan untuk beraksi musim depan.
Jelasnya, Hairuddin semalam telah pun terbang ke Bangkok untuk menyertai pasukan Kelantan menjalani latihan dalam siri perlawanan persahabatan di sana.

9 Dis 2009

Hairuddin ke Kelantan?



HAIRUDDIN (kiri) disebut-sebut bakal menyertai skuad Kelantan musim depan.



SELEPAS berjaya memikat beberapa pemain bintang yang akan memantap- kan skuad musim depan, Kelantan seperti masih belum berpuas hati.
Kini giliran penyerang sensasi T-Team, Hairuddin Omar menjadi sasaran mereka.
Bekas pemain kebangsaan itu yang berjaya menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan, November lalu dikhabarkan akan menjadi pemain kelapan menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.
Sumber Kosmo! memberitahu, Hairuddin kini hampir pasti akan menyer- tai Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2010.
Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Hairuddin kini berada pada peringkat akhir perbinca- ngan sebelum menandatangani kontrak bersama The Red Warriors.
"Perbincangannya sudah pada peringkat serius dan sekiranya ia menjadi realiti, kehadiran Hairuddin pastinya memantapkan lagi kekuatan Kelantan.
"Jika segalanya berjalan lancar, beliau akan menandatangni kontrak sece- pat mungkin dan akan terbang ke Bangkok untuk menyertai sesi latihan bersama pasukan Kelantan di sana," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, ketika tarikh pendafta- ran pemain akan berakhir hari ini, Hairuddin mungkin akan menjadi pemain terakhir melengkapkan senarai pemain Kelantan musim depan.
Jelasnya, kehadiran Hairuddin akan memantapkan lagi bahagian serangan Kelantan yang kini memiliki Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Nurshahrul Idlan Talaha, Norfarhan Mohamad dan S. Chanturu.
Sebelum ini Norhafiz Zamani Mis- bah dan K. Soley turut dikaitkan akan beralih angin ke Kelantan, namun ia tidak dapat direalisasikan.
"Apa yang jelas, kehadiran Hairuddin pastinya akan memberi impak kepada pasukan kerana beliau merupakan seorang pemain yang berkualiti.
"Kehadirannya bersama pasukan Negeri Sembilan ketika menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu membuktikan beliau masih merupakan seorang pemain yang perlu diberi perhatian," ujarnya.
Hairuddin sebelum ini turut dikaitkan akan menyertai Negeri Sembilan selepas membantu skuad Rusa menjulang Piala Malaysia sebagai pemain berstatus pinjaman. -kosmo


*Hairuddin Omar akan datang Ke Kelantan hari ini...inform dari Akma Rizal melalui facebooknya

8 Dis 2009

Harimau kekal Liga Perdana


SEPERTI satu sandiwara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpatah balik daripada keputusannya untuk menaikkan Harimau Muda ke Liga Super, sebaliknya memilih mengekalkan pasukan kedua tercorot musim lalu, Pahang dalam keputusan yang pastinya akan mencetuskan dakwaan 'pilih kasih' di kalangan pengkritik bola sepak tanah air.

Sejak sekian lama, teori konspirasi berlegar bahawa Pahang - negeri Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah - akan diberi layanan istimewa dengan jawatankuasa pertandingan tempatan akan merombak format Liga Malaysia memastikan mereka kekal di pentas elit sungguh pun mereka sepatutnya beraksi pada Liga Perdana, musim depan.

Walau pun dakwaan 'pilih kasih' dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Che Mat Jusoh, sukar untuk difahami bagaimana pasukan yang diturunkan ke saingan divisyen dua pada 2010 diletakkan sebagai pasukan ranking teratas Liga Perdana sebelum musim bermula dan berada pada pilihan teratas untuk dinaikkan jika terdapat kekosongan di Liga Super.

Andai mengikut keputusan jawatankuasa pertandingan tempatan minggu lalu, Harimau Muda, T-Team, Johor dan Kuala Lumpur dinaikkan ke Liga Super berdasarkan kedudukan empat teratas Liga Perdana, namun FAM kali ini mengembalikan Pahang dan bukan pasukan tempat kelima, Proton FC.

"Apabila kita susun balik Liga Perdana, kita mendapati Pahang menduduki tempat teratas. Tuanku (Sultan Ahmad Shah) awal-awal berkata bahawa dia tidak mahu dilihat sebagai pilih kasih.
"Keputusan ini diambil berdasarkan majoriti ahli majlis," kata Che Mat pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis di Wisma FAM semalam.

Lebih parah, FAM memilih untuk tunduk kepada desakan ahli gabungan mengembalikan pemain bawah 21 tahun Harimau Muda kepada pasukan negeri dengan pasukan itu yang dibentuk sejak sekian lama dipisahkan dan hanya dikumpulkan semula bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

Kini Liga Super akan kekal dengan 14 pasukan manakala Liga Perdana buat masa sekarang mempunyai 11 pasukan termasuk Harimau Muda yang dibarisi pemain bawah 19 tahun.-Bharian

*Nampaknya Pahang berjaya diselamatkan lagi...Pasukan bermasalah yang tidak pernah diturunkan pangkat ke liga Perdana macam Kelantan..buatlah apa yang patut FAM..lebih maju bolasepak kita lepas ni

7 Dis 2009

Kelantan Ambil Pemain Baru Wakili Skuad Piala Presiden

KOTA BAHARU, 7 Dis (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyusun barisan pemainnya bagi memastikan skuad kijang mencatat sejarah kegemilangan buat kali kedua untuk Piala Presiden musim 2010, selepas merangkul naib juara Piala Malaysia musim lepas.

Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail berkata menerusi penyusunan semula itu, KAFA mula mengambil pemainnya untuk musim depan secara terbuka di seluruh negeri ini.

"Pengambilan pemain baru itu berdasarkan kelayakan apabila diturunkan dalam ujian latihan di semua jajahan yang ditetapkan di seluruh negeri," katanya pada sidang akhbar di Wisma KAFA, Kampung Chicha, di sini, Isnin.

Menurutnya 'roadshow' ujian permainan akan diadakan di seluruh negeri sepanjang bulan ini.

Di Jeli ujian akan diadakan di padang Majlis Daerah (MD) Jeli pada 10 Disember; Daerah Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang diadakan di padang Majlis Daerah Pasir Mas (11-12 Disember); bagi daerah Tanah Merah, Machang,Kuala Krai dan Gua Musang ujian akan diadakan di padang MD Machang (13-14 Disember); bagi jajahan Pasir Puteh dan Bachok di padang MD Pasir Puteh dan bagi daerah Kota Bharu di Padang Perdana (17-18-19-20 Disember), di sini, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang berminat untuk menyertai ujian latihan itu supaya datang sendiri ke tempat yang sudah ditetapkan itu pada tarikh berkenaan selain menghubungi KAFA, di talian 09-7666360.

Menurut Rosmadi latihan itu dikendalikan oleh ketua jurulatih, B Sathianathan dengan dibantu Pengarah Jurulatih KAFA, Kamaruddin Mat Noor.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa yang diadakan semalam mengambil keputusan mengekalkan empat pemain lama untuk Piala Presiden musim depan.

Mereka ialah Zamri Ramli; Mohd Izuan Salahuddin; Mohd Haniff Mohd Noor dan Hafizi Tuan Mahmud.

"Mereka akan digandingkan dengan bakal pemain yang akan dipilih dalam siri ujian yang dijalankan di seluruh negeri," katanya.

Sehubungan itu, Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kelantan, mengalu-alukan penyertaan pemain bukan Melayu menyertai siri latihan itu untuk dipilih menyertai skuad Kijang Piala Presiden musim depan.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan konsep 1Malaysia," katanya.-- BERNAMA

*kepada mereka-mereka yang berminat bolehlah mencuba bakat yang terpendam selama ini...

Mana wang saya?....Beres!! Che Mat Jusoh tapi tak beres... Apa Cerita?

KENYATAAN Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh bahawa segalanya ‘beres’ nyata meleset apabila bekas kapten Perak, S Subramaniam mendakwa belum menerima bayaran tunggakan gajinya.

“Siapa kata segalanya beres. Jika beres mana wang saya? Sampai sekarang saya belum menerima wang itu.

“Saya agak terkejut apabila terbaca laporan mengatakan segalanya sudah beres,” kata Subramaniam ketika menghubungi Arena Harian Metro.

Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan badan induk bola sepak negara membuat andaian itu berikutan tiada isu yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Status Pemain walaupun mengakui masih wujud masalah bayaran gaji tertunggak.

Subramaniam yang ditamatkan kontraknya sebelum sepak mula Piala Malaysia lalu kerana masalah disiplin dengan Perak adalah antara lima pemain termasuk tiga import serta jurulatih import yang disenaraikan FAM dalam surat arahan pembayaran tunggakan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berjumlah RM272,000. Seorang lagi pemain tempatan ialah Hardi Jaafar.

Bayaran itu difahamkan dijelaskan melalui Exco Belia dan Sukan Perak, Zainol Fadzi Paharuddin yang juga ahli majlis Pafa yang menyerahkan cek kepada FAM.

Subramaniam yang akan menyarung jersi naib juara Piala Malaysia, Kelantan mendakwa jumlah bayaran yang tertunggak ialah kira-kira RM15,000. Bekas pemain kebangsaan itu juga mengaku berada dalam keadaan serba salah berikutan laporan bahawa dia sudah menerima pembayaran tunggakan itu sedangkan hakikatnya tidak.

Lebih meresahkan apabila ramai bekas rakan sepasukan dalam skuad Perak 2008 menghubunginya bertanyakan mengenai kemelut itu.

Subramaniam yang bersimpati dengan nasib bekas rakannya itu tidak tahu bagaimana pihak terbabit terlepas pandang sedangkan mereka juga berada di tengah kontroversi itu. -Hmetro

6 Dis 2009

Bola sepak Sukan SEA: Malaysia gagal sekat Vietnam

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Skuad bawah 23 tahun kebangsaan gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 3-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, bola sepak lelaki Sukan SEA ke-25 di Laos hari ini.

Malaysia yang membelasah Timor Leste 11-0 pada perlawanan pertama ketinggalan seawal minit ke-12 hasil jaringan Thanh Binh dan kemudian diikuti gol kedua oleh Mai Tien Thanh, 10 minit kemudian.

Nguyen Trong Hoang menambah duka Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 manakala gol saguhati diperoleh melalui jaringan sendiri pemain Vietnam, Vo Hoang Quang minit ke-25.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, Vietnam dan Timor Leste.-Utusan

Kedah singkir Kelantan di suku akhir pada Piala Emas Raja-raja

Kedah melakukan kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan Kelantan untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Emas Raja-Raja, menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Kedah yang seri dengan Kelantan dalam perlawanan suku akhir pertama di Kota Baharu pada Selasa lalu menunjukkan pemainan agresif apabila menjaringkan gol seawal minit kedua menerusi tandukan Chun Keng Kong yang gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohd Halim Napi.

Namun Kelantan segera menyamakan kedudukan pada minit kelima apabila rembatan Khairul Zal Azmi Zainuddin gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Kedah, Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

Kedua dua pasukan saling melakukan serangan balas dengan Kedah sekali lagi mendahului pada minit ke 27 apabila kuisan Mohd Faizal Abu Bakar gagal diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan.

Bersambung babak kedua, Kelantan yang menggandakan asakan mendapat gol penyamaan apabila rembatan Khairul Zal Azmi Zainuddin menembusi gawang Kedah.

SUMBER:HMETRO

Undian Piala Dunia 2010


sumber: Bharian

2 Dis 2009

Kemelut KAFA akhirnya terlerai

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akhirnya mengesahkan sudah berpeluang membawa cabaran skuad Kijang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila kemelut kewangan telah berjaya dileraikan.

Terima kasih kepada penaja-penaja yang telah mematikan kebimbangan KAFA dan penyokong Kelantan dan menghidupkan impian untuk mengejar kejuaraan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, syarat yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya setiap pasukan yang ingin menyertai Liga M mempunyai dana RM2.5 juta akhirnya dapat dilunaskan.

Menurutnya, Kumpulan Al-Hamra sekali lagi akan menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors bagi musim 2010 dengan jumlah penajaan RM2 juta.

"Bagaimanapun, kita masih mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri untuk sama-sama membantu dalam membangunkan bola sepak di negeri ini termasuk mengurangkan levi dan meningkatkan prasarana stadium.

''Di samping itu, kita juga mengharap banyak lagi korporat untuk tampil dari segi penajaan," katanya kepada media di sini semalam.

Terdahulu, Annuar menghadiri majlis menandatangani dokumen penajaan bersama antara KAFA dan Yusmira Trading yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Azlan Mohamad.

Juga dengan sebuah akhbar tabloid yang diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah .

Pada majlis tersebut KAFA menerima tajaan berjumlah RM200,000 daripada Yusmira dan RM200,000 lagi daripada Kumpulan Karangkraf yang disifatkan Annuar sebagai sangat bermakna ketika KAFA berada dalam keadaan terdesak.

"Kita juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Air Asia yang sekali lagi bersetuju untuk menaja urusan penerbangan dalam dan luar negara kepada pasukan Kelantan.

"Kerjasama yang terjalin ini sungguh bermakna dan kita pasti mereka (penaja) akan mendapat pulangan melalui pengiklanan," ujarnya.

Jelas Annuar, Kelantan akan terlibat dalam hampir 60 perlawanan peringkat domestik dan antarabangsa termasuk perlawanan persahabatan serta kejohanan peringkat serantau seperti kejohanan Liga Juara-Juara Kelab Liga M dan Liga S yang akan disertai Kelantan bagi musim 2010.

Katanya, ini pastinya akan mendatangkan impak yang cukup baik kepada para penaja dalam meluaskan lagi pasaran perniagaan mereka.

1 Dis 2009

Suku Akhir Pertama:Piala Emas Raja-Raja


KEPUTUSAN PENUH :
KELANTAN 0

KEDAH 0


Tarikh : 30-11-2009

Masa : 8.45 malam

Tempat : Stadium Sultan Muhammad IV.

Penonton : 1000 orang.


*Suku akhir ke-2 pada 5-12-09 di Stadium Darul Aman, Kedah.