23 Dis 2009

Subramaniam senang bersama Kelantan

Oleh Azizan Hashim

PENERIMAAN baik penyokong Kelantan terhadap pemain luar membuatkan bekas kapten Perak, S Subramaniam (gambar) senang berada bersama naib juara Piala Malaysia itu bagi menghadapi kempen bola sepak Liga M musim 2010 nanti.

Justeru, Subramaniam, 24, berasa cukup selesa bersama skuad barunya itu terutama kerana berpeluang memperbaharui hubungan dengan bekas jurulatih kebangsaan yang pernah membimbingnya, B Sathianathan.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Sungai Siput itu berharap dapat menggapai pencapaian memberangsangkan dengan pasukan bergelar Wira Merah itu.

“Penyokong Kelantan cukup setia kepada pasukan. Mereka melayani pemain tanpa mengira pemain anak negeri atau luar.

“Saya berharap mampu membalas sokongan mereka dengan memberi persembahan terbaik kepada pasukan setiap kali diturunkan,” katanya.

Selain gembira dengan penerimaan baik masyarakat setempat, Subramaniam juga memuji kesungguhan Presiden Persatuan Bola Sepak kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang berusaha memajukan skuad Kijang.

Lebih penting Subramaniam berkata, dia juga akan bergandingan dengan pemain berasal dari Perak, Indra Putra Mahayuddin, Ahmad Azlan Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.

Berdasarkan himpunan pemain kali ini ternyata pengendali Kijang, Sathianathan kini memiliki bahan lebih berwibawa untuk menjadi antara pencabar unggul dalam kancah bola sepak domestik.

Walaupun terkilan kerana tidak dapat menyarung jersi pasukan negeri sendiri tetapi Subra berkata, dia terpaksa berkelana demi memenuhi tuntutan mencari nafkah untuk hidup serta meneruskan kerjaya bola sepaknya.

“Saya terpaksa mencari pasukan baru selepas Perak menolak saya pada pertengahan kempen tahun lalu.

“Saya berharap dapat membalas kepercayaan pegawai KAFA dengan memberi pulangan menguntungkan pelaburan mereka terhadap saya,” katanya. -Metro

Tiada ulasan: