7 Dis 2009

Mana wang saya?....Beres!! Che Mat Jusoh tapi tak beres... Apa Cerita?

KENYATAAN Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh bahawa segalanya ‘beres’ nyata meleset apabila bekas kapten Perak, S Subramaniam mendakwa belum menerima bayaran tunggakan gajinya.

“Siapa kata segalanya beres. Jika beres mana wang saya? Sampai sekarang saya belum menerima wang itu.

“Saya agak terkejut apabila terbaca laporan mengatakan segalanya sudah beres,” kata Subramaniam ketika menghubungi Arena Harian Metro.

Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan badan induk bola sepak negara membuat andaian itu berikutan tiada isu yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Status Pemain walaupun mengakui masih wujud masalah bayaran gaji tertunggak.

Subramaniam yang ditamatkan kontraknya sebelum sepak mula Piala Malaysia lalu kerana masalah disiplin dengan Perak adalah antara lima pemain termasuk tiga import serta jurulatih import yang disenaraikan FAM dalam surat arahan pembayaran tunggakan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berjumlah RM272,000. Seorang lagi pemain tempatan ialah Hardi Jaafar.

Bayaran itu difahamkan dijelaskan melalui Exco Belia dan Sukan Perak, Zainol Fadzi Paharuddin yang juga ahli majlis Pafa yang menyerahkan cek kepada FAM.

Subramaniam yang akan menyarung jersi naib juara Piala Malaysia, Kelantan mendakwa jumlah bayaran yang tertunggak ialah kira-kira RM15,000. Bekas pemain kebangsaan itu juga mengaku berada dalam keadaan serba salah berikutan laporan bahawa dia sudah menerima pembayaran tunggakan itu sedangkan hakikatnya tidak.

Lebih meresahkan apabila ramai bekas rakan sepasukan dalam skuad Perak 2008 menghubunginya bertanyakan mengenai kemelut itu.

Subramaniam yang bersimpati dengan nasib bekas rakannya itu tidak tahu bagaimana pihak terbabit terlepas pandang sedangkan mereka juga berada di tengah kontroversi itu. -Hmetro

Tiada ulasan: