24 Dis 2009

Red Warrior’s pamer kekuatan baru


KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN PERSAHABATAN:
KELANTAN  2-0  T.TEAM
Norfarhan (m-18)
S.Chanturu (m-20)
Jumlah Penonton : 8000 orang.

KOTA BHARU - Setelah hampir dua bulan menyepi tanpa perlawanan bola sepak, semalam pasukan The Red Warrior’s mempamerkan kekuatan baru kepada peminat dan penyokong setia pasukan ini dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan T-Team.

Kesepian peminat dan penyokong pasukan Kelantan terubat dengan kemenangan 2-0, dalam perlawanan yang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Di awal perlawanan, T-Team mula mengasak melalui beberapa percubaan bahaya tetapi serangan mereka berjaya dipatahkan pemain di barisan pertahanan Kelantan.

Pada minit ke-18, pemain tengah, Mohd Nor Farhan berjaya menghadiahkan gol pertama buat pasukannya setelah merembat masuk hantaran tepat pemain penyerang Kelantan, Chanturu Suppiah yang berjaya melepasi penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri.

Tanpa diduga dua minit kemudiannya, Chanturu Suppiah berjaya melepasi halangan pemain pertahanan T-Team dengan mudah sekali gus menyempurnakan gol kedua buat pasukan Kelantan.

Setelah berehat, T-Team yang ketinggalan dua  jaringan cuba untuk mencari gol dengan beberapa cubaan malah pasukan ini mula meningkatkan lagi serangan ke atas pasukan lawan.

Bagaimanapun cubaan tersebut tidak berjaya melepasi halangan kubu pertahanan Kelantan.

Di minit ke-88, T-Team dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol Kelantan, Syed Adni Syed Husain mengasari pemain pasukan itu.

Sepakan kencang Abdul Hadi Yahya berjaya ditepis sekali gus menggagalkan cubaan pemain T-Team untuk mencari gol sehingga ke akhir perlawanan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain yang telah menunjukkan semangat yang kuat dalam perlawanan tersebut.

“Kesemua pemain perlu mengekalkan kekuatan seperti ini bukan hanya dalam latihan ataupun perlawanan persahabatan tetapi juga dalam perlawanan sebenar.

“Apabila sebuah pasukan yang kuat dibentuk ditambah lagi dengan kekuatan mental dan fizikal sudah tentu pasukan itu akan mempunyai kualiti yang lebih baik,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kemenangan itu dikatakan sebagai satu petanda yang baik buat pasukan Red Warrior’s untuk musim 2010.

“Pasukan ini berada di landasan yang betul dan saya akan cuba untuk meningkatkan lagi kebolehan pemain dalam tiga lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Narathiwat, Felda dan Kelab Bola Sepak USM Pulau Pinang.

“Saya percaya sebuah pasukan yang kuat perlu mempunyai kekuatan dari segi pertahanan yang kuat agar tidak mudah dibolosi dan pasukan ini juga bertuah kerana mempunyai ramai penyerang,” katanya.

Beliau berharap agar dalam perlawanan persahabatan ini, Sathia akan berusaha untuk mencari ramuan dan formula yang membolehkan pasukan Kelantan mencari jaringan gol dalam perlawanan sebenar. -Sinar Harian

Tiada ulasan: