16 Dis 2009

Majikan disaran benar pekerja pulang awal saksi Malaysia lawan Vietnam

KUALA LUMPUR: Bahang kejayaan pasukan bola sepak Sukan Sea negara memasuki perlawanan akhir untuk menentang Vietnam esok, turut terasa di Dewan Negara apabila majikan disaran agar membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan itu.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang berkata pertandingan akhir itu akan ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) jam 6 petang.

"Mungkin majikan boleh benarkan pekerja masing-masing balik awal, ataupun boleh sediakan televisyen di pejabat supaya pekerja-pekerja dapat menonton," katanya ketika menjawab soalan Senator Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Razali berkata pasukan negara sudah pasti akan menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, sekali gus akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara.

"Ia tidak ada nilaian wang ringgit, tetapi sumbangan dari majikan dalam menyokong pembangunan bola sepak saya pasti pasukan negara akan menghargai perkara ini," katanya.

Bernama

Tiada ulasan: