5 Nov 2009

'Lautan merah' banjiri Bukit Jalil

Oleh Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.com.my


ANNUAR (tengah) bersama pemain pasukan Kelantan dan skuad pelapis pasukan melaungkan 'Kelantan Boleh' selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970, semalam.

Lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir beri sokongan padu

'LAUTAN merah' bakal membanjiri Stadium Nasional, Sabtu ini, apabila lebih 56,000 penyokong Kelantan dijangka hadir buat menyokong pasukan itu dalam misi menamatkan penantian bergelar juara Piala Malaysia.

Angka itu, menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dijangka bertambah jika mengambil kira kehadiran penyokong The Red Warriors di Lembah Klang.

"Kafa meminta tambahan 15,000 tiket daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) selepas 40,000 tiket yang diperuntukkan, sudah habis dijual dalam tempoh dua hari.

"Berdasarkan jualan setakat ini, dan tambahan baru itu, kira-kira 56,000 tiket sudah dalam tangan penyokong Kelantan, belum termasuk mereka yang membelinya secara terus di Stadium Nasional nanti.

"Saya harap penyokong hadir memberi sokongan dengan semangat kesukanan tinggi. Jangan jadikan jumlah besar ini mengganggu perlawanan yang dijangka sengit.

"Kita perlu tunjukkan semangat tinggi supaya tidak cacatkan malam bersejarah rakyat Kelantan," katanya selepas menyampaikan sumbangan 1,000 tiket kepada pemain remaja sekolah di Kelantan serta bekas pemain yang beraksi pada final Piala Malaysia 1970 - kali terakhir negeri itu mara ke aksi kemuncak.

Annuar turut mengumumkan bahawa Kafa bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad menyediakan tiket untuk 1,000 penyokong yang mahu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

"Saya juga nasihatkan pengusaha-pengusaha bas supaya tidak mengenakan caj keterlaluan untuk penyokong yang mahu ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu keceriaan penyokong terjejas," katanya.

Tiada ulasan: