6 Jul 2009

Dari Anfield ke Old Trafford



OWEN (kiri) ceria selepas menjalani ujian perubatan di Bridgewater Hospital, Manchester baru-baru ini.

"SAYA telah mengadakan perbincangan dengan kelab lain sehinggalah pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menghubungi saya pada pagi Rabu (1 Julai 2009) menjemput saya bersarapan pagi dengannya.

"Ferguson jelaskan dia berhasrat membawa saya ke United."

Demikian pengakuan Micheal Owen mengenai perpindahan pantas kurang daripada 48 jam ke United kerana perbincangan hanya bermula Rabu lalu dan diselesaikan sepenuhnya dua hari kemudian.

Penyerang yang akan mencecah usia 30 tahun pada 14 Disember depan itu telah menandatangani kontrak dua tahun bersama United dengan perpindahan percuma setelah kontraknya dengan Newcastle United berakhir pada 30 Jun lalu.

"Saya menyatakan persetujuan. Ini adalah peluang terbaik saya perlu menerimanya.

"Memang saya melalui kesuraman prestasi sepanjang berada di Newcastle tetapi keseluruhan karier saya adalah sangat baik.

"Saya yakin dengan menyertai kelab besar seperti United ini, ia dapat menghidupkan semula karier saya," jelas Owen.

Sering dilabel sebagai pemain yang kerap mengalami kecederaan, Owen menegaskan, dia sudah bersedia untuk mempertingkatkan tahap kecergasannya supaya dapat meyakinkan seluruh peminat United.

"Saya pasti ramai yang terkejut dengan keputusan ujian kesihatan saya ini. Saya lulus ujian dan kecergasan saya juga berada pada tahap tinggi," kata Owen.

Sejarah telah menunjukkan bahawa Owen sering mengalami kecederaan hamstring ketika dia bersama Liverpool dan selain mengalami masalah ligamen sepanjang berada di Newcastle.

Namun bagi Ferguson, itu semua tidak merisaukannya malah percaya Owen mampu mengembalikan sentuhannya.

"Owen merupakan penyerang kelas dunia dan dia telah membuktikannya dengan rekod sebelum ini," kata Ferguson.

Menyingkap perjalanan karier bola sepak Owen, anak keempat kepada pasangan Janette dan Terry Owen ini telah membesar dengan bermain bola sepak sejak kecil kerana bapanya, Terry merupakan bekas pemain bola sepak profesional.

Owen adalah peminat kelab Everton dan beraksi untuk pasukan sekolah rendahnya di Hawarden, Wales dengan memecahkan semua rekod jaringan pada pertandingan peringkat sekolah.

Ketika berusia 13 tahun, Owen menandatangani kontrak sebagai pemain remaja Liverpool biarpun sebelum itu dia telah mengadakan perbincangan dengan Chelsea, United dan Arsenal.

Akhirnya pada 1996 selepas dia tamat persekolahan di Lilleshall pada usia 16 tahun, Owen mula menyertai Skim Latihan Remaja Liverpool.

Pada tahun tersebut juga, Owen membantu Liverpool muncul juara Piala FA Remaja dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir untuk menewaskan West Ham yang ketika itu diwakili oleh Frank Lampard dan Rio Ferdinand.

Hanya empat bulan selepas itu, dia telah ditawarkan kontrak menyertai skuad senior Liverpool sejurus selepas menyambut hari jadinya ke-17 iaitu pada 18 Disember 1996.

Kemunculan pertamanya bersama Liverpool ialah ketika bertemu Wimbledon pada Mei 1997.

Namun, selepas lapan musim mencipta kejayaan di Liverpool, Owen mengorak langkah berhijrah ke kelab Sepanyol, Real Madrid pada musim 2004/05.

Namun hanya semusim dia bersama Real, Owen kembali semula ke England.

Pada Ogos 2005, Owen akhirnya sah menjadi milik Newcastle.

Namun, perpindahan Owen ke United menjadi sejarah kerana jarang sekali bekas pemain Liverpool atau United berpindah ke kelab musuh tradisi mereka itu.

Pemain terakhir yang berpindah secara terus melibatkan kedua-dua pasukan itu adalah Phil Chisnall yang berhijrah dari United ke Liverpool pada 1964.-kosmo

Tiada ulasan: