7 Jan 2013

Kelantan belum panik

PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak tetap berpuas hati meskipun anak-anak buahnya tewas pada aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) kelmarin.

Kelantan yang tampil selaku pasukan pilihan, tewas 3-4 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan sepakan penalti dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam itu.

Memegang status juara trebel musim lalu, pengendali kelahiran Croatia itu mengakui, Kelantan terpaksa akur dengan kekalahan tersebut selepas menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit perlawanan.

Di sebalik kegagalan pasukan gergasi Pantai Timur itu untuk menjulang trofi tersebut buat kali kedua, Bojan kekal positif dan tidak menyalahkan barisan pemainnya selain memuji persembahan cemerlang penjaga gol muda skuad The Red Warriors, Mohd. Syazwan Yusof.

Untuk rekod, Kelantan berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama selepas menewaskan Selangor dua tahun lalu.

Ini kerana Hodak menyifatkan Syazwan memiliki peluang cerah untuk bersaing dengan Khairul Fahmi Che Mat dan Norhadi Ubaidillah sebagai penjaga gawang No. 1 pasukan itu.

“Saya tidak kecewa dengan kekalahan ini dan kami mahu menjadikan ia sebagai hala tuju lebih bermakna buat Kelantan dalam usaha meraih musim cemerlang seperti tahun lalu.

“Seperti musim lalu, kami bermula dengan kekalahan kepada Negeri Sembilan pada aksi yang sama, namun berjaya muncul sebagai juara trebel.

“Saya tidak mahu mencari sebarang alasan atau menyalahkan mana-mana pemain. Ini kerana anak-anak buah saya telah mempamerkan kesungguhan yang tinggi.

“Malah, saya sangat gembira menyaksikan prestasi Syazwan kerana dia memiliki potensi besar. Keyakinannya akan bertambah dalam satu perlawanan demi perlawanan.

“Kini, saya memiliki tiga penjaga gol yang hebat untuk musim baharu Liga M,” kata- nya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan tersebut di Stadium Shah Alam.

Mengulas mengenai aksi menentang ATM, Hodak mengakui, ketiadaan tonggak utama sedikit sebanyak menjejaskan perancangannya pada perlawanan itu.

Tanpa berselindung, beliau mengharapkan pemain simpanan The Red Warriors dapat memanfaatkan peluang sebagai usaha untuk beraksi bersama skuad utama Kelantan.

“Ketiadaan pemain utama, antaranya Khairul Fahmi jelas memberi kesan kepada kami.
“Kini, pasukan yang bakal menentang Kelantan akan menjadi lebih bersemangat serta memiliki motivasi tinggi untuk menewaskan kami. Ia jelas memberikan cabaran lebih getir kepada kami berbanding musim lalu.

“Mempertahankan adalah lebih sukar berbanding merebut gelaran. Ketiadaan pemain utama termasuk yang ditimpa kecederaan akan memberikan kesan dalam usaha mempertahankan gelaran trebel pada musim ini,” ujarnya.

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

Tiada ulasan: