23 Jun 2010

Kelantan bakal uji Harimau Muda


KOTA BHARU - Kehebatan skuad Harimau Muda yang berguru selama tiga bulan di Slovakia bakal teruji apabila bakal bertemu dengan skuad Liga Super Kelantan dalam satu perlawanan persahabatan sempena sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan 2010 peringkat Lembah Kelang pada minggu depan.

Perlawanan menentang skuad bimbingan, Mohd Azraai Khor Abdullah itu akan berlangsung di Stadium MPS, Selayang pada 1 Julai ini. Sebelum itu, pasukan Liga Super Kelantan juga dijadualkan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, ATM pada 29 Jun.

Presiden Kelate.Net, Marhasyim Mat berkata, Tahun Bola Sepak Kelantan 2010 dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan kerjasama Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net).

“Tujuan utama program ini diadakan ialah bagi menghargai sokongan peminat dan penyokong bola sepak Kelantan yang berada di Lembah Kelang yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan The Red Warriors selama ini,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.-Sinar harian

22 Jun 2010

Penampilan Jan Necas ubati kerinduan peminat

 
KOTA BHARU – Penampilan bekas bintang import pertahanan Kelantan sedikit masa dahulu, Jan Necas dijangka mengubati kerinduan peminat terhadap aksi beliau apabila akan turun beraksi dalam kesebelasan utama pemain Kelantan pada perlawanan persahabatan hari Jumaat ini.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wan Badri Wan Omar berkata, Kelantan akan menentang kelab dari Thailand, Pattani FC pada perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu hari Jumaat ini.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan Kelantan menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 6 Julai nanti.

“Pihak Kafa tidak mengambil mudah mengenai prestasi pemain semasa perlawanan liga dihentikan begitu lama. Sebaliknya, latihan harian yang dikendalikan oleh jurulatih, B Sathianathan dilipatgandakan bagi memastikan kecergasan pemain tidak menurun.

“Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan mengambil inisiatif mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan untuk skuad Liga Super Kelantan,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Wan Badri berkata, bekas pemain import musim 2008, Jan Necas didatangkan khas ke Kota Bharu oleh Kafa bagi membolehkan peminat Kelantan melihat aksi terkini bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama The Red Warriors itu.

Jan Necas, 33 tahun, pemain kelahiran Republik Czech pernah beraksi bersama pasukan Kelantan pada tahun 2008 di bawah kendalian jurulatih Norizan Bakar ketika itu.

Bersama beliau, penjaring terbanyak Liga Perdana musim itu, Mouhamadou Moustopha Mane (Senegal) selaku penyerang dan juga pemain tengah, Inepheremo Andrew Amukuro (Nigeria).

Gara-gara larangan penggunaan pemain import yang diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada penghujung musim 2008, memaksa Jan Necas angkat kaki meninggalkan pasukan Kelantan walaupun beliau sebenarnya begitu begitu sayang bermain dengan pasukan Kelantan ini.

Sementara itu, Wan Badri berkata, pasukan Liga Super Kelantan dijangka berlepas ke Kuala Lumpur pada 27 Jun bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan de-ngan pasukan yang berpengkalan di Lembah Kelang.-Sinar Harian

13 Jun 2010

SUKMA '10 : Bolasepak

Peringkat suku akhir
SELANGOR 5 vs KELANTAN 0
Tempat: Stadium Hang Tuah
Tarikh: 14 Jun '10
Masa: 8.45 mlm

9 Jun 2010

SUKMA '10...Kelantan menang tipis....

KEPUTUSAN PENUH :
KELANTAN 1
Ramzul Zahini (m-80)
PULAU PINANG 0

note: Kelantan layak ke suku akhir sekiranya PPinang tewas kepada Terengganu....

8 Jun 2010

KAFA Tiada Pilihan Lain Kecuali Nekad......!!

Artikel asal  dari web TRWC 

Terperanjat dan sedih memikirkan nasib yang bakal menimpa KAFA yang tiada pilihan lain kecuali memilih untuk beraksi di luar negeri Kelantan bagi 3 baki perlawanan daripada baki 6 perlawanan. 

Pendedahan ini ingin mengajak para pembaca memahami secara rasional keluar dari skop politik dan bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak sekadar meluahkan keputusan yang mungkin akan diambil KAFA, setelah surat rayuan kedua berkenaan caj duti hiburan ditolak kerajaan negeri dan permohonan untuk membina stadium baru masih dalam pertimbangan kerajaan pusat, maka pihak pengurusan terpaksa nekad untuk memilih stadium baru yang sesuai untuk Kelantan beraksi sehingga penghujung TM Liga Super, Piala Malaysia dan musim depan.

Mungkin tanggapan sesetengah masyarakat, KAFA ingin membangkit kembali kisah yang telah selesai seperti pendedahan sebelum ini yang telah diselesaikan. 

Kami ingin menerangkan secara terperinci berkaitan isu ini, duti hiburan yang dilupuskan kerajaan negeri hanya melibatkan duti hiburan lama dan ianya tidak melibatkan duti hiburan untuk tahun ini atau sebelumnya. 

Berkenaan duti hiburan ini juga sepatutnya perkara ini boleh diiktiraf dalam "Malaysia Book Of Record" sebagai pasukan bola sepak pertama dikenakan duti hiburan di Malaysia. 

Selain KAFA terpaksa menanggung Levi stadium yang paling tinggi di Malaysia berbanding stadium Nasional Bukit Jalil dan juga harga tiket di Kelantan adalah yang paling mahal. KAFA amat terharu melihat inisiatif kerajaan Kedah dan Selangor dalam menyokong kemajuan bola sepak di negeri masing-masing. 

Untuk renungan bersama kita perlu melihat bagaimana kerajaan Selangor boleh tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penggunaan stadium Shah Alam kepada pasukan negeri mereka selain memberi tajaan penuh kepada pasukannya melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mungkin ianya berbeza dengan pasukan Kedah yang diuruskan sendiri oleh menteri besarnya.

Inisiatif seperti kerajaan Selangor ini amat diperlukan KAFA bagi terus membangunkan bidang bola sepak Kelantan sebelum ianya menjadi satu industri baru yang dapat menjana pendapatan sendiri. Penstrukturan dan kemajuan yang cuba ditiru oleh KAFA melalui idea bisnes kelab bola sepak eropah masih diperingkat baru dan ianya masih belum menjana keuntungan yang mampu membina sebuah pengurusan yang mantap.

Usaha KAFA ibarat usaha seorang kanak-kanak yang baru belajar berjalan dan cuba berjalan tanpa dipimpin oleh kedua ibu bapanya. 

Adakah kita perlu melihat kanak-kanak ini jatuh atau perlu dibantu? Tepuk dada tanya Iman. Perlu diingatkan luahan ini bukan satu luahan KAFA untuk mengelakkan diri daripada dikenakan cukai tetapi luahan untuk memberitahu kepada seluruh masyarakat Kelantan bahawa KAFA masih diperingkat membina tapak dan tapak yang dibina masih lagi tidak kukuh untuk menampung bebanan berat yang diberikan ini kecuali KAFA tekad dengan keputusan yang dirancang.

Alhamdullilah KAFA amat berterima kasih kepada syarikat yang menaja dan membantu KAFA dalam meningkatkan mutu bola sepak Kelantan seperti AL HAMRA, UMBRO, YUSMIRA, AIR ASIA, SINAR HARIAN dan termasuk pihak yang mengendalikan portal rasmi KAFA Theredwarriors.com, The Red Warriors Station dan The Red Warriors Radio kerana membantu KAFA tanpa melibatkan kos kewangan KAFA. 

Tajaan kewangan daripada syarikat ini adalah tajaan untuk semusim TM liga Super bukannya tajaan harian mahupun bulanan seperti yang diwar-warkan. Mengenai barangan keluaran KAFA adalah antara usaha KAFA sendiri untuk menjana pendapatan bagi menampung bebanan kewangan, namun ianya sekadar dapat menanggung kos utiliti dan sedikit pengurusan KAFA sahaja. 

Diharap penjelasan ini dapat membuka mata kepada semua pihak supaya tidak mengganggap KAFA sekarang kaya sakan dengan stadium yang dipenuhi penyokong, jualan produk dan sebagainya. Tidak terdetik dihati pihak pengurusan untuk bermusuhan dengan mana-mana pihak mengenai isu ini cuma ingin semua penyokong di Kelantan akur dan redha dengan keputusan yang terpaksa diputuskan oleh Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa tanpa prejudis mahupun syakwasangka.

Harapan dan impian presiden KAFA hanya ingin melihat pasukan Kelantan terus maju dan dikagumi dari segala sudut yang dirancang dan telah dibuktikan sebelum ini. Mungkin harapan untuk memiliki stadium sendiri masih ada tetapi daripada terus berharap, adalah baik sekiranya pihak KAFA membuat keputusan yang terbaik walaupun ianya akan mengecewakan peminat di Kelantan. 

Sejak isu ini dihebohkan oleh pihak media bulan lalu, KAFA banyak menerima panggilan dari pihak pengurusan stadium di luar Kelantan menawarkan kadar sewa yang berpatutan tanpa mengenakan caj levi seperti dikenakan pengurusan stadium Kelantan.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya ada stadium menawarkan kadar sewanya hanya sekitar RM8000-12000 setiap satu perlawanan dan sekiranya kutipan tiket mencecah 10 000 keping tiket, ianya menyamai atau lebih menguntungkan sekiranya dibandingkan dengan kos yang ditanggung di stadium sendiri. 

Malah kualiti stadium ini lebih terurus jika hendak dibandingkan dengan stadium sekarang yang mana pihak KAFA banyak menerima aduan seperti tandas rosak, kawalan penjualan tiket yang tidak diuruskan dengan baik sehingga masih wujud ulat-ulat tiket, lampu limpah yang tidak berfungsi dengan baik dan sebagainya.

Pelik tapi benar apabila tiket yang mahal, kadar levi yang tinggi, duti hiburan dan caj tambahan tidak dapat menjamin mutu kemudahan dan kualiti stadium yang baik dan terurus kepada semua penyokong. 

Sekiranya pilihan stadium luar diterima sebulat suara, dengan nada berani presiden KAFA sanggup meletakkan harga tiket sekitar RM8-10 sahaja dan membantu pihak media rasmi KAFA untuk berfungsi dengan baik dalam memberikan liputan perlawanan secara langsung kepada penyokong di Kelantan.

Mungkin ianya akan menjadi janggal sebuah pasukan negeri beraksi diluar negeri sendiri, namun sekiranya inilah hakikatnya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan demi bola sepak Kelantan yang tidak mengenal ideologi politik ini  KAFA akan meneruskan kecemerlangannya di negeri lain.

Dengan tulus hati kami menyeru semua pihak akur dan redha dengan keputusan yang terpaksa KAFA akan lakukan demi meneruskan kecemerlangan pasukan kesayangan kita beraksi dengan tenang dan baik tanpa gangguan masalah gaji, KWSP, bonus dan sebagainya. 

Biarlah episod malang dan tidak diberi pertimbangan ini ditanggung dengan penuh semangat keyakinan kami demi melihat sebuah pasukan juara dan mampu bergantung dengan inisiatif sendiri pada satu masa nanti.

Salam Hormat dan Kasih Sayang;

Yang benar
KAFA

Sokong bia bijok , dipandang bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo


Info:

***Contoh: Cara mudah memahami kesusahan KAFA ialah sekiranya kutipan tiket RM12 untuk 15 ribu penonton jumlah yang diperolehi RM180 000. Bebanan yang ditanggung ialah
  • 10% cukai FAM
  • 5% duti hiburan Kelantan bagi setiap 1 tiket
  • Levi stadium
  • Lain-lain caj
***baki yang ada digunakan sepenuhnya untuk KAFA menanggung bebanan hutang yang ditinggalkan pengurusan sebelum ini, kos operasi & pengurusan+gaji+KWSP+Bonus+perjalanan+lain-lain untuk pemain dan staf terkini. pembelanjaan pembangunan bola sepak di semua peringkat piala, daerah dan sebagainya.
Kami memohon maaf kerana tidak dapat menjelaskannya secara terperinci kerana melibatkan rahsia organisasi.

Terengganu, Selangor tunjuk taring


Pemain Kelantan, Mohamad Zamry Ramli (kiri) mengasak pemain Terengganu, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi pada perlawanan bola sepak Sukma antara Kelantan dengan Terengganu di padang bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, Melaka, semalam.


MELAKA - Biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 50 minit, penyandang juara, Terengganu tidak menghadapi masalah untuk membelasah Kelantan 4-0 pada aksi pembukaan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota, semalam.
Terengganu yang meraih emas di tempat sendiri, dua tahun lalu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Nuraliff Zainal Abidin dilayangkan kad merah pada minit ke-40.
Mereka memulakan pesta gol menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-29, disusuli gol kedua menerusi penalti yang disempurnakan oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-55.
Tiga minit selepas itu Terengganu menambah gol ketiga menerusi Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-58, sebelum tirai gol ditutup oleh Jospeh pada minit terakhir.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Selangor turut cemerlang apabila membelasah Sabah 4-0 di Stadium Hang Tuah.
Bintang Liga Super Selangor, Farderin Kadir meledakkan dua gol di minit ke-31 dan 84, sebelum dua lagi jaringan menyusul menerusi Wan Mohd. Hoesne Wan Hussain di minit ke-26 dan Muhammad Syafiq Abd. Samad, minit ke-92.
Naib juara dua tahun lalu, Perlis tersentak apabila kalah mengejut 1-0 kepada Perak di Stadium Tun Fatimah.
S. Savirmuthu muncul hero Perak apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-82 bagi memastikan pasukannya mengutip tiga mata penuh.
Kedah, pemenang pingat gangsa Sukma 2008 membuka tirai perlawanan Kumpulan A dengan sekadar seri 2-2 berdepan Wilayah Persekutuan juga di Stadium Tun Fatimah.
Pemain Kedah, Muhamad Syafiq Jamal memecah kebuntuan gol pada minit ke-17, sebelum Wilayah Persekutuan menyamakan kedudukan 1-1 hasil ledakan Yong Kwong Yong pada minit ke-62.
Skuad Hijau Kuning kembali mendahului hasil jaringan Mohd. Hisham Shofi pada minit ke-78, namun jaringan Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-89 mengikat kedudukan 2-2.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di padang Sekolah Menengah Seri Kota, Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan Johor.
Mohd. Faizol Hussin meletakkan Johor di depan menerusi jaringan pada minit ke-51, namun Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Firdaus Azizul di minit ke-74

Grandstand FIFA world Cup 2010-RTM

Grandstand Fifa World Cup 2010

7 Jun 2010

Grand Final Karnival Futsal i-Metro 2010 : N 10 Jr Garang

BERTENAGA...pemain N 10 Jr (kanan) berentap dengan KFSP FC pada 
final Bawah 17 tahun.
BERTENAGA...pemain N 10 Jr (kanan) berentap dengan KFSP FC pada final Bawah 17 tahun.

PASUKAN N 10 Jr dinobatkan juara kategori Lelaki Bawah 17 tahun Grand Final Karnival Futsal i-Metro 2010 di Sports Planet Ampang,semalam.

Pasukanl dari Kelantan yang mewakili negara Korea Utara sempena Piala Dunia 2010, menewaskan KFSP FC dengan kemenangan sepakan penalti 4-3 untuk membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM7,000 dan barangan sukan Figos.

Kapten pasukan, Enil Mazlan, 16, berkata pasukannya mengadakan persediaan intensif sejak awal tahun lalu di bawah kendalian dua jurulatih, Adnan Ibrahim dan Nik Shahkina Nik Daud. “Gelaran juara sememangnya menjadi pembakar semangat untuk kami berusaha lebih gigih demi meletakkan N 10 Jr setaraf pasukan futsal handalan negara. “Sebaik menyertai pertandingan ini, kami terus merangka strategi untuk muncul juara. Malah, kami sentiasa mengikuti perkembangan karnival melalui akhbar Harian Metro,” katanya.

Israel oh Israel!!!



3 Jun 2010

Kelantan belum mahu menyerah kalah


HAIRUDDIN ((kanan) turut mencatat nama sebagai penjaring gol pada aksi di Kota Bharu kelmarin. 

KELANTAN meneruskan misi 'menghambat' peneraju takhta, Selangor walaupun ketinggalan lapan mata dengan menundukkan Perak 2-0 di laman sendiri malam kelmarin, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Walaupun sedar gergasi Lembah Klang itu kini berada dalam kedudukan selesa, namun pemain The Red Warriors masih optimis untuk mengakhiri liga dengan satu pencapaian yang mampu dibanggakan biarpun sekadar bergelar naib johan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan gagal menembusi pertahanan Perak yang begitu utuh bertahan walaupun jentera hadapan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha mencipta beberapa peluang.

Kelantan akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Norfarhan Mohamad tiga minit babak kedua bermula sebelum Hairuddin Omar turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit-minit terakhir permainan.

Bagaimanapun, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain 10 minit sebelum perlawanan berakhir apabila pemain gantian ketiga, Che Hishamuddin Hassan diusung keluar selepas sikunya terseliuh akibat terjatuh.

Bagi ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianathan, kebangkitan anak-anak buahnya pada babak kedua sekali lagi membuktikan mereka memiliki semangat yang luar biasa.

"Apa lagi yang saya boleh katakan? Kelantan sebuah pasukan yang baru dibentuk, mereka (pemain) sentiasa bekerja keras dan tidak pernah berputus asa untuk mencari gol. Mereka layak untuk menang.

"Sebagai jurulatih saya sentiasa optimis dengan apa juga keputusan dan sehingga kini kita hanya tewas sekali sahaja," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, semua pemain yang diturunkan dalam skuad Kelantan telah menjalankan tugas dengan baik terutama jentera tengah yang banyak mengilhamkan beberapa gerakan yang menarik untuk membuka peluang kepada jentera penggempur melakukan penyudah.

13 Julai jadi penentu



AMRI Yahyah (kanan) semakin cemerlang apabila sering menggegar gawang lawan.



SELEPAS berakhirnya perlawanan malam kelmarin, saingan Liga Super kini berhenti rehat selama enam minggu bagi memberi laluan kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka dan juga Piala Dunia 2010.

Apabila saingan bersambung semula pada 13 Julai depan, salah satu perlawanan yang pasti menjadi tumpuan ialah pertembungan Selangor menentang Kelantan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan jelas sudah tidak sabar untuk menghadapi perlawanan tersebut yang sedikit sebanyak bakal mempengaruhi kedudukan Liga Super musim ini.

"Saya menganggap pertemuan dengan Kelantan pada 13 Julai depan merupakan perlawanan yang paling penting bagi Selangor pada saingan Liga Super musim ini.

"Saya akan pastikan semua pemain memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan tersebut dan pastinya kami mahukan tiga mata penuh," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Selangor kini mengungguli tangga teratas Liga Super dengan 53 mata manakala Kelantan di tangga kedua dengan 45 mata. Terengganu pula di tempat ketiga dengan 38 mata.

Pada perlawanan malam kelmarin, Selangor menang 2-1 ke atas Johor hasil jaringan Amri Yahyah dan Safiq Rahim di Larkin, Johor Bahru manakala Kelantan menewaskan Perak 2-0 di Kota Bharu.

Devan berkata: "Persembahan Selangor semalam (kelmarin) tidak berada pada tahap sebenar dan pemain mempamerkan aksi kurang bermaya. Mungkin kerana faktor keletihan. Tapi yang penting, tiga mata penuh berjaya diraih."

Jika Selangor berjaya menewaskan Kelantan pada 13 Julai depan, mereka akan mengumpul 56 mata manakala Kelantan yang kekal dengan 45 mata hanya boleh mengumpul maksimum 60 mata pada baki lima perlawanan selepas itu.

Ini bermakna, Selangor hanya perlu menang dua daripada baki lima perlawanan mereka sama ada ketika bertemu Perak, Pulau Pinang, T-Team, Terengganu atau Kedah untuk mengumpul 62 mata yang tidak mampu dipintas Kelantan.

"Jadi sepanjang rehat panjang ini, Selangor akan berlatih seperti biasa dan mengadakan beberapa aksi persahabatan untuk memastikan keadaan fizikal pemain kekal pada tahap terbaik.

"Saya juga akan fokuskan kepada kekuatan mental pemain kerana pada penghujung saingan liga, ia menjadi sangat penting untuk terus meraih kemenangan," kata Devan.

1 Jun 2010

Keputusan Perlawanan Kelantan vs Perak

Kelantan 2 - 0 Perak
Farhan (' 47), Hai O (' 90+3)

 Aksi mantap pemain-pemain Kelantan serta kesungguhan mereka tereserlah dalam perlawanan menentang Perak semalam.

Walaupun terdapat kepincangan dibahagian pertahanan akibat kehilangan pertahanan kental S.Subramaniam,Kelantan ternyata sukar ditembusi barisan penyerang Perak yang sentiasa diawasi gandingan Rizal Fahmi,Azizi Matt Rose,Farisham serta Daudsu.

Daudsu menunjukkan semangat luar biasa apabila sering mengucar kacirkan pertahanan Perak dengan larian-larian mengelirukan.Keupayaan beliau ternyata memikat hati penyokong-penyokong Kelantan tidak kira yang berada di stadium mahupun yang menonton siaran langsung yang disiarkan oleh pihak Astro.

Norfarhan meletakkan Kelantan didepan seawal minit kedua perlawanan dengan melepaskan rembatan kencang menewaskan kecemerlangan penjaga gol Perak sebelum ini yang banyak menafikan peluang Kelantan.Gol tersebut berpunca dari lorongan Daudsu kepada Norfarhan yang seterusnya melepaskan rembatan padu ke sebelah kiri pintu gol Perak.

Malang menimpa Che Hishammudin apabila beliau yang baru dimasukkan dengan mengantikan Badri Radzi tercedera.Beliau yang baru berada tidak sampai lima saat diatas padang diasak oleh pemain Perak dan terjatuh menyebabkan beliau mengalami patah tangan dan bahu.Kelantan terpaksa bermain 10 orang untuk 10 minit terakhir ekoran kecederaan yang dialami oleh Che Hishamuddin.

Kita berharap kecederaan beliau tidak serius dan memungkinkanya untuk beraksi sekurang-kurangnya untuk kempen Piala Malaysia nanti.

Setelah menjaringkan gol pertama Kelantan dilihat memperlahankan tempo permainan sehinggakan perlawanan dilihat cukup membosankan dan membuka ruang kepada pemain Perak untuk mendapatkan gol.

Mujurlah benteng pertahanan Kelantan dapat mematahkan serta dapat mengawal setiap pergerakan pemain-pemain Perak.

Secara keseluruhan penonton agak berpuashati walaupun gol kedua jaringan Hai-O agak lewat menyusul kerana prestasi pemain-pemain Kelantan dilihat semakin meningkat berbanding sebelum ini terutamanya Akmal Rizal,BAdri Radzi,DAudsu serta kapten pasukan Indra Putra.

Liga akan berehat panjang untuk memberi laluan kepada Piala Dunia dan Kelantan akan menyambung perjuangan dengan berdepan tugas getir bertemu dengan pasukan Selangor pada julai nanti yang bakal menentukan halatuju liga dan siapa yang lebih berkuasa Kelantan ataupun Selangor.

Kredit:Daudsu,Indra Putra,Azizi Matt Rose,Rizal Fahmi,Farisham

Kesebelasan Utama:Khairul FAhmi,Rizal Fahmi,Mohd Daudsu Jamaludin,Azizi Matt Rose,Mohd Farisham Ismail,Mohd Daudsu Jamaludin,Mohd BadhriMohd Radzi(Che Hishammuddin) ,Mohd Shakir Shaari(Khairan Eroza Razali),Indra Putra Mahayuddin,Norshahrul Idlan Talaha,Mohd Nor Farhan Muhammad,Akmal Rizal Rakhli(Hairuddin Omar).

Kelantan memburu, diburu

KUALA LUMPUR - Mengejar Selangor di puncak Liga Super berupa misi berganda dan semakin memeritkan khususnya buat Kelantan selaku pencabar terdekatnya.

Lapan mata yang memisahkan kedua-dua pasukan, hanya akan disamakan Wira Merah sekiranya deretan tiga perlawanan seterusnya mampu menyaksikan Gergasi Merah tersungkur di Johor Bahru, hari ini.

Namun buat Kelantan, nasib mereka juga perlu ditentukan pemain sendiri dan bukan lagi berharap semata-mata pada tuah dan kekebalan di Stadium Sultan Muhammed IV akan terus menemani sehingga penghujung musim.

Aksi hari ini menemukan masing-masing dengan lawan yang di ambang penyingkiran ke Liga Perdana musim depan iaitu Johor dan Perak, justeru tiada pilihan kecuali kemenangan dapat mewajarkan status mereka sebagai dua teratas liga setakat ini.

Walaupun tanpa dua tonggak dan jurulatih yang masih digantung, Selangor terbukti kebal, malah dengan barisan berkualiti musim ini dan pengalaman antarabangsa Piala AFC, sukar bagi Johor mengelak daripada senasib KL PLUS, Pahang dan Perlis sejak 22 Mei lalu.

Di Kuala Terengganu, tuan rumah berdepan Negeri Sembilan dalam apa yang layak digelar 'perlawanan tumpuan' hari ini.

Ia juga buat seketika dapat meredakan anak buah Wan Jamak Wan Hassan daripada kerenah penyokong Hobin Jang Hobin di Paroi yang hanya mahukan kemenangan.

Tiga mata yang jika digenggam Si Penyu, bakal mengingatkan Kelantan supaya jangan terlalu memandang Selangor sahaja, tetapi wajar sesekali cuba menoleh sejauh mana langkah pencabar dari tempat ketiga liga.

Namun, bagi Negeri Sembilan, mungkin meraih tiga mata dari kejauhan lebih wajar untuk mengembalikan keyakinan penyokongnya yang sekian lama mengidam langkah juara Piala FA dan sentuhan kejayaan konsisten berulang pada pasukan kesayangan mereka.

KL PLUS dan Johor FC pula hadir di Petaling Jaya dengan tuan rumah cuba menjamin keselamatan diri dari zon penyingkiran, sedangkan anak buah Ramlan Rashid enggan keciciran sekurang-kurangnya tempat ketiga lagi yang turut mewakili ganjaran hadiah wang kemenangan.

Sathia: Kelantan perlu fokus pada perlawanan



INDRA (tengah) akan kembali dalam kesebelasan utama Kelantan pada aksi menentang Perak malam ini.



"FOKUS kepada perlawanan dan jangan fikir pasal Selangor."
Demikian ingatan ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan kepada anak-anak buahnya yang akan turun melayan kunjungan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Menurutnya, pemain perlu membuang tanggapan bahawa setiap perlawanan adalah untuk mengejar Selangor, sebaliknya mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dan berusaha untuk mencari tiga mata dalam setiap perlawanan.

"Perak sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki ramai pemain yang berbakat serta semangat juang yang kental dalam setiap perlawanan yang mereka hadapi.

"Jika mahu menewaskan mereka, pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik dan harus diingat mereka pernah mengikat kita dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pusingan pertama di Ipoh Januari lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau berharap semua pemain dapat mengekalkan rentak permainan sebagaimana aksi bertemu pasukan di tangga tercorot, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

"Walaupun ketinggalan, pemain tetap fokus dan membuktikan mereka mampu melakukannya.
"Inilah yang kita mahukan. Teruskan fokus pada perlawanan dan sentiasa berfikiran positif," ujarnya.

Dalam pada itu, Kelantan dijangka tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kental, S. Subramaniam yang digantung satu perlawanan.

"Subramanian tidak akan diturunkan akibat mengumpul tiga kad kuning semasa perlawanan dengan Pulau Pinang, Sabtu lalu. Ini bukan satu masalah bagi kita.

"Tempat beliau akan diambil oleh Rizal Fahmi yang akan bergandingan bersama Azizi (Mat Rose), Daudsu (Jamaludin ) dan Mohd. Farisham (Ismail). Saya yakin dia (Rizal) mampu memberikan aksi yang terbaik," ujarnya.

Kelantan menerima khabar gembira apabila kapten pasukan, Indra Putra yang digantung satu perlawanan kembali semula ke dalam kesebelasan utama.

"Kehadiran semula Indra daripada penggantungan merupakan satu tonik buat pasukan. Saya yakin para pemain akan kembali bersemangat untuk turun bertemu Perak malam ini," jelasnya.

Kelantan tagih sentuhan Indra sekat Perak

Oleh Paya Linda Yahya
AKSI sepenuh masa kapten, Indra Putra Mahyuddin, kembali ditagih untuk menyekat kemaraan Perak ketika Kelantan berhasrat meneruskan rentak kemenangan dalam buruan tiga mata penuh pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan, B Sathianathan, mengingatkan semua anak buahnya supaya tidak memandang rendah kunjungan Perak yang masih sukar ditangani, malah pernah mengikat Kelantan di Ipoh sebelum ini.
“Kelebihan Perak bergantung kepada pemainnya yang rajin dan sentiasa berusaha keras memburu kemenangan dalam setiap permainan. 

“Pada malam esok (malam ini), saya tidak dapat menurunkan S Subramaniam ekoran penggantungan tetapi mengalu-alukan semula aksi Indra Putra yang sebelum ini digantung ketika aksi menentang Pulau Pinang,” katanya semalam.

Sathia berkata, Kelantan perlu mengekalkan kemenangan dan meraih tiga mata penuh pada semua baki perlawanan demi meletakkan pasukan itu di landasan selesa.

“Kemenangan ini bukan untuk mengejar Selangor semata-mata tetapi demi memas tikan Kelantan dapat terus memberi tekanan kepada pendahulu liga itu.

“Selain komitmen tinggi, pemain juga perlu mengekalkan prestasi seperti ketika menewaskan Pulau Pinang 3- 1 Sabtu lalu,” katanya.