3 Jun 2010

Kelantan belum mahu menyerah kalah


HAIRUDDIN ((kanan) turut mencatat nama sebagai penjaring gol pada aksi di Kota Bharu kelmarin. 

KELANTAN meneruskan misi 'menghambat' peneraju takhta, Selangor walaupun ketinggalan lapan mata dengan menundukkan Perak 2-0 di laman sendiri malam kelmarin, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Walaupun sedar gergasi Lembah Klang itu kini berada dalam kedudukan selesa, namun pemain The Red Warriors masih optimis untuk mengakhiri liga dengan satu pencapaian yang mampu dibanggakan biarpun sekadar bergelar naib johan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan gagal menembusi pertahanan Perak yang begitu utuh bertahan walaupun jentera hadapan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha mencipta beberapa peluang.

Kelantan akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Norfarhan Mohamad tiga minit babak kedua bermula sebelum Hairuddin Omar turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit-minit terakhir permainan.

Bagaimanapun, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain 10 minit sebelum perlawanan berakhir apabila pemain gantian ketiga, Che Hishamuddin Hassan diusung keluar selepas sikunya terseliuh akibat terjatuh.

Bagi ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianathan, kebangkitan anak-anak buahnya pada babak kedua sekali lagi membuktikan mereka memiliki semangat yang luar biasa.

"Apa lagi yang saya boleh katakan? Kelantan sebuah pasukan yang baru dibentuk, mereka (pemain) sentiasa bekerja keras dan tidak pernah berputus asa untuk mencari gol. Mereka layak untuk menang.

"Sebagai jurulatih saya sentiasa optimis dengan apa juga keputusan dan sehingga kini kita hanya tewas sekali sahaja," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, semua pemain yang diturunkan dalam skuad Kelantan telah menjalankan tugas dengan baik terutama jentera tengah yang banyak mengilhamkan beberapa gerakan yang menarik untuk membuka peluang kepada jentera penggempur melakukan penyudah.

Tiada ulasan: