KUALA LUMPUR - Mengejar Selangor di puncak Liga Super berupa misi berganda dan semakin memeritkan khususnya buat Kelantan selaku pencabar terdekatnya.
Lapan mata yang memisahkan kedua-dua pasukan, hanya akan disamakan Wira Merah sekiranya deretan tiga perlawanan seterusnya mampu menyaksikan Gergasi Merah tersungkur di Johor Bahru, hari ini.
Namun buat Kelantan, nasib mereka juga perlu ditentukan pemain sendiri dan bukan lagi berharap semata-mata pada tuah dan kekebalan di Stadium Sultan Muhammed IV akan terus menemani sehingga penghujung musim.
Aksi hari ini menemukan masing-masing dengan lawan yang di ambang penyingkiran ke Liga Perdana musim depan iaitu Johor dan Perak, justeru tiada pilihan kecuali kemenangan dapat mewajarkan status mereka sebagai dua teratas liga setakat ini.
Walaupun tanpa dua tonggak dan jurulatih yang masih digantung, Selangor terbukti kebal, malah dengan barisan berkualiti musim ini dan pengalaman antarabangsa Piala AFC, sukar bagi Johor mengelak daripada senasib KL PLUS, Pahang dan Perlis sejak 22 Mei lalu.
Di Kuala Terengganu, tuan rumah berdepan Negeri Sembilan dalam apa yang layak digelar 'perlawanan tumpuan' hari ini.
Ia juga buat seketika dapat meredakan anak buah Wan Jamak Wan Hassan daripada kerenah penyokong Hobin Jang Hobin di Paroi yang hanya mahukan kemenangan.
Tiga mata yang jika digenggam Si Penyu, bakal mengingatkan Kelantan supaya jangan terlalu memandang Selangor sahaja, tetapi wajar sesekali cuba menoleh sejauh mana langkah pencabar dari tempat ketiga liga.
Namun, bagi Negeri Sembilan, mungkin meraih tiga mata dari kejauhan lebih wajar untuk mengembalikan keyakinan penyokongnya yang sekian lama mengidam langkah juara Piala FA dan sentuhan kejayaan konsisten berulang pada pasukan kesayangan mereka.
KL PLUS dan Johor FC pula hadir di Petaling Jaya dengan tuan rumah cuba menjamin keselamatan diri dari zon penyingkiran, sedangkan anak buah Ramlan Rashid enggan keciciran sekurang-kurangnya tempat ketiga lagi yang turut mewakili ganjaran hadiah wang kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan