KELANTAN akhirnya berjaya menghapuskan badi Stadium Darulaman, Alor Setar sejak lebih empat tahun lalu apabila mencatat kemena- ngan pertama selepas menewaskan Kedah 3-0 dalam saingan Liga Super malam kelmarin.
Selain itu, kejayaan yang dicatatkan itu cukup signifikan apabila berjaya menutup mulut para pengkritik yang sebelum ini begitu lantang melontarkan kritikan ekoran aksi yang tidak begitu konsisten dipamerkan gergasi Pantai Timur itu.
Menurutnya, kemenangan malam kelmarin turut dibantu faktor nasib dan kelekaan benteng Kedah sehingga Kelantan berjaya menjaringkan gol pada lewat permainan.
"Jika rembatan Faizal (Abu Bakar) yang terkena palang itu menerjah gawang, saya rasa keputu- san pasti berubah. Gol itu pasti memberi semangat kepada Kedah ketika pemain-pemain kita sudah mula hilang fokus. Ketika itu pula kita hanya mendahului dengan satu gol.
"Kemenangan 3-0 semalam (malam kelmarin) tidak mencerminkan kekuatan kita yang sebenar. Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki, terutamanya untuk tempoh rehat dua minggu ini, tiada apa yang perlu dimegahkan dengan kemenangan semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan tidak begitu bermaya dan Kelantan perlu mengkaji beberapa kelemahan, terutamanya dari segi kecergasan.
Katanya, The Red Warriors perlu lebih bersedia kerana mereka akan dijadualkan bertemu beberapa pasukan gergasi bola sepak tempatan seperti Negeri Sembilan dan Selangor selepas ini.
Ditanya mengenai prestasi dua pemain importnya, Muhammad Ghaddar dan Denny Antwi, Azman berkata: "Kita keluarkan Ghaddar pada perlawanan tersebut kerana dia terlalu mudah kehilangan bola.
"Dia bermain terlalu 'fancy' dan sering mempamerkan teknik individu menyebabkan pemain lain kecewa. Sudah banyak kali diberitahu tetapi perkara tersebut masih berlaku.
"Bagi Antwi, kemasukannya memberi impak, terutamanya terlibat dalam jaringan kedua, selain menjaringkan gol ketiga.
"Dia adalah pemain import dan kehadirannya tidak boleh menjadi seka- dar pelengkap dalam pasukan, perlu bekerja lebih keras."
Dalam pada itu, Azman memberi amaran kepada semua pemain import supaya berubah dan perlu bekerja keras untuk mempamerkan aksi yang terbaik bagi mengelakkan daripada disingkir.
Pada perlawanan tersebut, gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Muhammad Ghaddar pada minit ke-39 melalui sepakan penalti selepas Nor- shahrul Idlan Talaha dijatuhkan oleh Fauzi Nan dalam kotak penalti.
Pada minit ke-79 giliran Norshahrul yang menerima umpanan Denny Antwi melepaskan rembatan yang terus menerjah gawang Kedah.
Tirai gol Kelantan ditutup oleh Denny Antwi pada minit-minit akhir perlawanan selepas berjaya merebut bola daripada kaki penjaga gol Kedah, Helmi Eliza sebelum menyepak masuk bola ke gawang.
1 ulasan:
Fauzie Nan, Sabri Abu dan no 17 Thirumugam, Kamu semua ini memalukan org Kedah, dah lah main kasar perangai tak senonoh langsung, puih....
Catat Ulasan