1 Dis 2011

Mat Yo Paling Bernilai




SHAH ALAM - Penyerang Kelantan dan kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 yang dimenanginya tahun lalu, selain merangkul Anugerah Penyerang Terbaik.
Pemain berasal dari Besut itu mengejutkan calon pilihan Khairul Fahmi Che Mat dan arkitek tengah skuad kebangsaan, Safiq Rahim bagi anugerah yang lebih dikenali sebagai Anugerah Supermokh tahun ini.
Seperti tidak percaya mampu memenangi gelaran yang sama ekoran kurang banyak beraksi pada pentas antarabangsa kerana masalah kecederaan, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo gembira di atas pemilihannya.
"Saya terkejut dengan kemenangan ini kerana saya rasa rakan sepasukan, Apek (Khairul Fahmi Che Mat) akan menang, kerana dia lebih banyak beraksi pada peringkat kebangsaan dan Kelantan.
"Namun, saya bersyukur kerana mampu mempertahankan kemenangan tahun lalu.
"Saya berazam untuk mengekalkan prestasi sama pada musim hadapan terutama bersama skuad kebangsaan bagi cuba mempertahankan kejuaraan Piala AFF dan Kelantan yang akan beraksi dalam Piala AFC , " katanya, yang turut menujukan kemenangan itu kepada isterinya.
Trofi kemenangan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa.
Turut hadir Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.
Panel pemilihan pemain terbaik bagi setiap kategori terdiri daripada 28 jurulatih Liga Malaysia yang membimbing pasukan Liga Super dan Liga Perdana manakala Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menjadi penilai pemenang kategori Persatuan Bola Sepak dan Kelab Terbaik.

Tiada ulasan: