1 Dis 2011

Struktur Liga M perlu dirombak


ANNUAR (tengah) bergambar bersama para pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di Shah Alam semalam.



"STRUKTUR Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) perlu dirombak bagi membolehkannya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa."
Demikian tegas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, semalam.
Menurutnya, kelemahan struktur liga tempatan menyebabkan badan induk bola sepak negara serta pemain Malaysia sukar mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
"Ramai yang tidak tahu, negeri-negeri serta pemain yang bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya tidak layak bermain dalam Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Di Eropah, pemain kita tidak layak menyertai kelab di sana, disebabkan Liga M tidak diurus secara profesional," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di Shah Alam semalam.
Annuar berkata, mengikut peraturan AFC pada 2009, Liga M sepatutnya diuruskan oleh sebuah entiti yang terdiri daripada gabungan kelab dan persatuan negeri yang bersaing dalam liga tersebut serta diurus secara profesional.
"Namun berdasarkan perbincangan dengan anggota gabungan FAM, pengurusan di peringkat kelab dan persatuan negeri masih berada ditakuk lama dan terus mengharap pemberian geran tahunan daripada FAM," katanya.
Katanya, jika kelab dan persatuan negeri gagal diurus dengan baik, kesannya dapat dilihat pada pemain yang dilahirkan.
"Sebab itu, pemain terbaik di Malaysia ini sebenarnya hanya bertaraf sederhana di Asia. Kerana itu juga pemain kebangsaan sukar mendapat tempat bermain di Eropah," katanya.
Kenyataan Annuar itu merujuk kepada isu penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang gagal mendapat permit kerja untuk beraksi bersama Cardiff City.
Masalah timbul berikutan pihak imigresen di United Kingdom mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah datangnya dari negara yang menduduki ranking 70 terbaik dunia dan Malaysia berada di ranking ke-146. -KOSMO

Tiada ulasan: