LUPAKAN saja hasrat untuk merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melanjutkan tempoh pendaftaran pemain Liga Malaysia 2012 yang berakhir Khamis ini kerana badan induk bola sepak tanah air itu tidak boleh berbuat apa-apa selepas terikat dengan peraturan Fifa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, semua pasukan harus mematuhi tarikh akhir yang sudah ditetapkan itu jika tidak penyertaan mereka musim depan terpaksa dibatalkan.
“Tarikh pendaftaran pemain termasuk pemain import ini sudah ditetapkan mengikut Fifa pada bulan Jun lalu, jadi semua pasukan sudah sedia maklum mengenai perkara ini.
“Semua senarai nama pemain tempatan dan import perlu dihantar pada Khamis ini dan perkara ini sudah dimaklumkan empat hingga lima bulan lalu jadi sepatutnya tidak timbul masalah pasukan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencari pemain.
“Masalah ini timbul kerana ada pasukan yang menunggu sehingga ke saat akhir, tapi apa yang saya boleh jelaskan di sini bahawa tarikh pendaftaran pemain tidak akan berubah,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, setakat ini sudah ada pasukan yang menghantar senarai lengkap pemain dan sebahagian lagi dijangka akan menyusul sebelum tarikh akhir minggu ini
Sebelum ini ada beberapa pasukan yang merayu agar FAM melanjutkan tempoh pendaftaran pemain selepas mendakwa masa yang diberikan terlalu singkat untuk mencari pemain khususnya pemain import yang kembali dibenarkan selepas dibekukan selama tiga tahun.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dalam laporan sebelum ini berkata, pihaknya memerlukan lebih masa untuk mencari pemain import yang benar-benar berkualiti bagi memastikan pelaburan besar mereka berbaloi.
Turut menyuarakan hasrat yang sama, pengurus pasukan Perak, Khairul Azwan Harun yang mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain berwibawa dalam tempoh akhir ini walaupun sudah menguji hampir 15 pemain luar.
Saingan Liga-M 2012 dengan kemunculan semula pemain import bakal bermula dengan aksi Piala Sumbangsih, Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 Januari, diikuti aksi sulung Liga Super pada 10 Januari.
Hmetro
Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan