PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, bimbang dengan keadaan beberapa pemain yang masih kepenatan, malah ada yang mengalami sedikit kecederaan dan demam ketika Kelantan bakal berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, malam ini.
Bagaimanapun, semangat juang dan kesungguhan tinggi dimiliki pemain skuad Kijang menjadi azimat untuk mempamer persembahan terbaik malam ini. “Saya bimbang dengan keadaan beberapa pemain yang masih kelihatan penat, ada juga yang mengalami kecederaan ringan dan demam, namun diharap pemain segera pulih dan kembali cergas untuk beraksi pada malam ini.
“Jadual memang ketat pada bulan ini menyebabkan pemain letih tapi saya percaya dengan semangat juang dan kesungguhan pemain, Kelantan akan terus berusaha meraih kemenangan,” katanya. Azman berkata, Kelantan perlu terus menewaskan lawan bagi memastikan sasaran menjuarai Liga Super tercapai.
“Kelantan perlu menang untuk mengekalkan kedudukan teratas liga kerana kini hanya dibezakan satu mata dengan Selangor.
“Kesilapan boleh menyebabkan kami keciciran mata dan kedudukan liga dirampas lawan sekali gus menyebabkan pasukan berdepan tugas sukar menjuarai Liga Super tahun ini," katanya yang menaruh keyakinan Red Warriors mempunyai kelebihan untuk mencipta kemenangan selepas berjaya menundukkan pasukan itu 2-1 di Kota Bharu 1 April lalu pada pusingan pertama Liga Super.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, dia perlu mencongak strategi terbaik dalam pemilihan pemain kerana bakal berdepan pasukan kuat yang dibarisi pemain muda yang dipimpin Ong Kim Swee.
“Saya perlu berhati-hati menurunkan kesebelasan utama berikutan pemain masih lagi penat selain ada juga yang cedera ringan dan demam.
“Ketua pasukan, Mohd Badri Radzi misalnya mengalami kecederaan ringan di pergelangan kaki.
“Kami sedar Harimau Muda A pasukan yang kuat kerana dibarisi ramai pemain muda dan berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa tapi saya percaya Kelantan tetap akan memberi cabaran, malah mempamer aksi terbaik untuk meraih kemenangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan