Jaringan terbaru Norshahrul dijelmakan ketika dia membantu The Red Warriors menang menang 3-1 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.
Gol jaringannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 perlawanan, sekali gus menamatkan kemarau jaringan selama 360 minit dalam saingan Liga Supe,r selepas kali terakhir melakukannya ketika menumbangkan juara bertahan Liga Super, Selangor pada 26 April lalu.
Jaringan tersebut menyaksikan penyerang kebangsaan itu mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan 13 gol mengatasi pencabar terdekat, penggempur Terengganu, Abdul Hadi Yahya dengan kelebihan tiga jaringan dan rakan sepasukan yang juga ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Razhi.
Norshahrul menganggap gol ke-13 di Cheras kelmarin sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan sekali gus muncul penjaring terbanyak liga musim ini.
"Gol tersebut cukup bermakna buat saya selepas gagal menghasilkan jaringan dalam perlawanan sebelum ini.
"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan selepas ini dan memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki.
"Baki perlawanan selepas ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk meneruskan cita-cita muncul selaku penjaring terbanyak liga musim ini," katanya.
Mengulas saingan memburu penjaring terbanyak musim ini antara beliau dengan Abdul Hadi, Norshahrul memberitahu peluang masih lagi terbuka.
"Walaupun saya berkelebihan tiga jaringan, ia tidak mustahil untuk dikejar. Apa yang penting saya perlu fokus dan cuba menjaringkan gol.
"Selain itu, saya juga akan berusaha membantu pasukan mendapatkan tiga mata penting dalam setiap perlawanan dan memastikan Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat kali pertama," katanya.
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan