Rabu, Oktober 27, 2010

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Bantah Kafa Jual Tiket Secara Berpakej

KOTA BAHARU, 26 Okt (Bernama) -- Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelantan.net) akan memulaukan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertegas mahu menjual tiket secara berpakej.

Timbalan Presidennya Nik Mohd Salehuddin Nik Abdul Razak berkata tindakan Kafa itu bagaikan mengambil kesempatan di sebalik keghairahan untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negeri itu.

"Saya bagi pihak kelab penyokong Kelantan.net melahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan tindakan Kafa menjual tiket secara berpakej yang sangat membebankan kami," katanya kepada Bernama di sini hari Selasa.

Semalam Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu akan mula dijual hari ini secara berpakej iaitu serendah RM40.

Melalui pakej itu, pembeli bukan sahaja terpaksa membayar harga asal tiket tetapi turut dikenakan caj merangkumi cenderamata "The Red Warriors" seperti T-shirt, topi dan jam tangan.

Penyokong Kelantan yang mahu mendapatkan tiket itu hari ini berang dengan tindakan Kafa itu menyebabkan penjualan tiket terpaksa dihentikan sementara.

Nik Mohd Salehuddin berkata sewajarnya Kafa menjual tiket pada harga sebenar semata-mata dan bukannya membebankan penyokong supaya turut sama membeli cenderamata itu.

Sementara itu, kelab tersebut bersyukur kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan hukuman terhadap Ketua Jurulatih, B. Sathianathan dan membenarkan jurulatih itu berada di bangku simpanan pada perlawanan akhir.

Katanya keputusan FAM itu melegakan peminat-peminat bola sepak Kelantan yang sedang bersemangat untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan bagi mencipta kemenangan di Bukit Jalil.

Dua hari lepas, kelab berkenaan dilaporkan merayu FAM supaya menangguhkan hukuman terhadap Sathianathan sehingga selesai perlawanan Piala Malaysia musim ini bagi membolehkan peminat memberi tumpuan kepada perlawanan akhir itu.

Jumaat lepas, Lembaga Disiplin FAM memutuskan Sathianathan digantung selama enam bulan dan denda RM2,000 gara-gara memberi komen mengenai perlawanan Perlis menentang Terengganu, tiga bulan lalu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: