27 Okt 2010

Farisham kental

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PEMAIN pertahanan tengah Kelantan, Mohd Farisham Ismail kini semakin yakin menjadi benteng terakhir skuad The Red Warriors itu apabila turun menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain berusia 25 tahun itu diarahkan secara mengejut oleh jurulatih Kelantan, B Sathianathan untuk berada di posisi pertahanan tengah bergandingan dengan Rizal Fahmi Abdul Rosid buat kali pertama pada musim ini selepas kecederaan mengejut dua tonggak utama iaitu Azizi Mat Rose dan S Subramaniam ketika separuh akhir pusingan pertama di Alor Setar minggu lalu.

Dia bagaimanapun melaksanakan tugas itu dengan baik apabila sering kali dilihat berkerja keras sehingga membolehkan mereka menewaskan Kedah dengan agregat 1-0 untuk mara ke perlawanan akhir dua tahun berturut-turut.

“Perasaan janggal itu memang ada pada mulanya kerana pada kebanyakan musim ini saya banyak bermain di pertahanan kanan dan kiri namun tetap cuba memberikan aksi yang terbaik.


“Malah, saya tidak mempunyai sebarang masalah persefahaman bergandingan dengan Rizal kerana sudah bersama sejak musim lalu,” katanya yang turut mendapat kerjasama yang baik daripada Zairul Fitree Ishak (pertahanan kiri) dan Mohd Daudsu Jamaluddin (pertahanan kanan),” katanya.

Tiada ulasan: