Utusan: Terlebih dahulu tahniah kepada Tan Sri kerana terpilih sebagai Timbalan Presiden FAM.
Annuar :Terima kasih
Utusan: Apa pandangan Tan Sri apabila digandingkan dengan Tengku Abdullah?
Annuar:Tiada sebarang masalah kerana Tengku Abdullah juga mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak. Sebagaimana saya katakan, kehadiran saya di sini adalah untuk membantu Tengku Abdullah membangunkan bola sepak negara.
Utusan: Apakah perancangan pertama dalam tempoh terdekat?
Annuar: Saya dalam proses untuk berjumpa dengan bekas-bekas Timbalan Presiden dan beberapa orang lama FAM, bagi mendengar amanat dan pengalaman mereka mentadbir FAM. Saya juga sedang mengaturkan pertemuan dengan beberapa naib presiden. Kalau mengikut amalannya adalah untuk bertukar-tukar nota terlebih dahulu. Perkara ini penting kerana kami mahu pastikan segala idea dilakukan secara kolektif, sebelum kami semua duduk semeja dengan Tengku Abdullah, selepas saya pulang dari umrah pada 7 Ogos ini. Perjumpaan ini berbentuk tidak rasmi.
Utusan: Tan Sri ada mengatakan salah satu visi adalah membina lebih keyakinan penaja dalam Liga Malaysia. Adakah Tan Sri yakin hasrat itu mampu direalisasikan?
Annuar: Liga Malaysia berpotensi besar menarik penaja. Namun ia tidak berlaku kebelakangan ini. Oleh itu, saya fikir satu kaedah baru perlu dicari, dalam usaha mencari pelabur berpotensi besar, supaya liga bola sepak kita kembali rancak seperti mana dalam era 90-an.
Soal penajaan turut meliputi pembangunan di peringkat remaja. Kita harus mencari pakej yang sesuai, supaya penaja tertarik untuk melabur.
Utusan: Bagaimana hubungan antara FAM dan kesatuan negeri serta badan gabungan lain, terutama yang bermasalah?
Annuar: Memang ada beberapa kesatuan negeri dan juga mungkin badan gabungan yang ada masalah terutamanya soal kewangan. Kita akan mengadakan perbincangan dengan wakil negeri dan badan gabungan untuk mengetahui masalah mereka. Jika masalah di peringkat negeri diselesaikan, ia secara tidak langsung membantu FAM berada pada tahap lebih baik.
Utusan: Mungkinkah Tan Sri akan menggunakan formula yang sama ketika di Kelantan untuk membantu negeri lain?
Annuar: Itu terpulang, sebagaimana saya yang katakan, setiap negeri mungkin ada caranya tersendiri untuk membangunkan sukan bola sepak.
Utusan: Apakah keutamaan yang akan beri perhatian khusus sepanjang menjadi orang No. 2 FAM?
Annuar : Pembangunan akar umbi seperti penubuhan akademi peringkat remaja bakal menjadi keutamaan saya. Banyak perkara dan cadangan akan cuba direalisasikan melalui penglibatan pemimpin negeri, juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kita akan cuba menyakinkan kerajaan untuk menjadikan bola sepak sebagai medium dalam menjayakan agenda nasional sebagaimana kata-kata football for all, all for football.
Utusan: Pada hemat Tan Sri, mengapakah mutu sukan bola sepak kita menurun?
Annuar: Banyak aspek perlu diteliti. Kerajaan telah banyak melabur seperti membina padang bola sepak di setiap sekolah, namun hasilnya kurang kerana tiada pengisian yang baik. Antara kelemahan ketara ialah soal kejurulatihan, ko-kurikulum, tenaga penggerak.Jika kita mahukan pembangunan menyeluruh, semua perkara itu perlu bergerak seiring.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan