3 Ogo 2010

‘Red Warriors’ tetap membara

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/08/03

Masih ghairah buru kemenangan walau Selangor sudah bergelar juara

SUNGGUHPUN peluang Kelantan merampas gelaran Liga Super daripada Selangor sudah tertutup, The Red Warriors tetap akan menampilkan persembahan terbaik sebagai hadiah buat penyokong setia pada perlawanan terakhir menentang T-Team, malam ini. 

 Meskipun menerima hakikat Merah Kuning sudah mengesahkan gelaran kedua berturut-turut dengan kemenangan ke atas Terengganu, Sabtu lalu, sambutan pesta akan tetap dirasai di Stadium Sultan Mohamad ke-IV malam ini untuk meraikan pencapaian muncul naib juara liga yang menjadi satu rekod baru buat sejarah negeri itu.

“Kami tetap akan menampilkan persembahan terbaik untuk memberikan sesuatu buat diraikan peminat,” kata kapten, Indra Putra Mahayuddin.

“Kami juga mahu mengekalkan rekod tanpa kalah sejak sekian lama. Selepas perlawanan ini, kami akan pergi menunaikan umrah Sabtu ini sebagai hadiah kejayaan muncul naib juara.

“Selepas itu, kami akan cuba mengubati kekecewaan dengan mensasarkan gelaran Piala Malaysia pula,” katanya.

Gelanggang keramat yang sentiasa dipenuhi penyokong berbaju merah itu hanya menyaksikan satu detik kekecewaan sepanjang musim ini apabila tewas kepada Kedah 1-0 pada 19 Januari lalu.
Di kem Merah Kuning, Selangor sudah cukup berpuas hati untuk menurunkan barisan simpanan dengan jurulatih, K Devan mahu memberikan peluang buat pemain yang belum beraksi sebelum ini.

Pusingan terakhir perlawanan malam ini sekadar pelengkap jadual dengan kesemua 12 pasukan Liga Super yang melayakkan diri ke Piala Malaysia sudah diketahui, sambil Johor dan Pulau Pinang akan diturunkan ke Liga Perdana andai tiada perubahan dalam peraturan.

Sejumlah 16 pasukan termasuk empat pasukan teratas Liga Perdana – Felda United, Sabah, PKNS dan Tentera juga akan diundi bagi saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Tiada ulasan: