28 Jul 2010

Red Warriors catat Malaysia Book of Records


Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan ), Annuar Musa, Abdul Fatah Mahmood dan Ramzi Abdul Rahman pada perasmian karnival The Red Warriors, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencipta sejarah apabila menjadi badan sukan pertama di negara ini yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mengeluarkan 70 produk menggunakan jenama The Red Warriors (TRW).
Jenama The Red Warriors yang merupakan gelaran kepada skuad bola sepak Kelantan itu digunakan terhadap semua barangan sukan yang dikeluarkan KAFA termasuk makanan ringan yang dihasilkan daripada ikan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pengiktirafan tersebut merupakan kejayaan kepada KAFA dalam menjadikan bola sepak sebagai satu industri menguntungkan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
"Saya ucapkan tahniah kepada KAFA. Kita tidak melihat perkara ini di negeri-negeri lain, malah ia adalah yang pertama di negara ini apabila sebuah persatuan sukan bola sepak mempunyai barangan jenama mereka sendiri.
"Ini adalah kesempatan yang perlu dicontohi untuk memastikan bola sepak menjadi satu budaya dan jenama yang menguntungkan kita dalam menjana pendapatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Red Warriors di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Sijil pengiktirafan itu telah diserahkan oleh wakil MBOR, Leona Paul kepada Ahmad Shabery sebelum diberikan kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fatah Mahmood dan Pengerusi Tahun Bola Sepak Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, KAFA turut melancarkan keropok ikan The Red Warriors yang dihasilkan oleh sebuah syarikat industri kecil dan sederhana di negeri ini.
Selain produk dan barangan sukan, KAFA turut melancarkan kafe The Red Warriors Station (TRWS) serta radio Internet rasmi mereka, The Red Warriors FM (TRW.FM), khusus untuk peminat pasukan skuad kijang, Mei lalu.
Sementara itu, Leona yang juga wartawan penyelidikan MBOR berkata, selepas menerima permohonan daripada KAFA, pihaknya telah melakukan kajian terlebih dahulu sebelum pengiktirafan diberi.
"Sejak ditubuhkan kira-kira 14 tahun lalu, ini adalah pengiktirafan pertama dikeluarkan kepada badan sukan di negara ini yang mempunyai barangan daripada jenama mereka sendiri," jelasnya.  -Utusan

Tiada ulasan: