KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memastikan setiap kelab bola sepak di Kelantan dikendalikan jurulatih bertauliah iaitu sekurang-kurangnya memiliki Sijil C.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu bertujuan memastikan pemain mendapat didikan yang baik selain melahirkan lebih ramai pemain berwibawa dan mampu bersaing dengan pemain profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Kita sasarkan untuk tempoh dua tahun akan datang seramai 50 jurulatih kelas C dapat diwujudkan di Kelantan yang akan mengendalikan kelab-kelab bola sepak di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian geran kepada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ), di sini, semalam.
Annuar berkata, sebagai persediaan ke arah melahirkan lebih ramai pemain berwibawa pihaknya juga mengenal pasti sekurang-kurangnya enam padang bola untuk dijadikan pusat kecemerlangan bolasepak bagi melatih pemain dari peringkat bawah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan