KOTA BHARU - Kelantan laung tekad untuk mengekalkan rekod tanpa kalah  apabila berjanji menyapu bersih kemenangan musim ini apabila melayan KL  Plus dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV,  malam ini.
Meskipun kehilangan dua pemain penyerang, Nor Shahrul Idlan Talha dan  S. Chanturu serta penjaga gol utamanya Mohd. Khairul Fahmi Che Mat ia  tetap tidak merencatkan perancangan Kelantan untuk meneruskan tekanan ke  atas pendahulu liga, Selangor.
Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, hasrat itu mampu  dicapai sekiranya para pemain memberikan tumpuan penuh pada perlawanan  tersebut.
Menurut Sathianathan, pihaknya tidak berhadapan masalah untuk mencari  pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketiga-tiga  pemain tersebut.
"Kelantan ada banyak pilihan pemain, walaupun tanpa Nor Shahrul, S.  Canturu dan Khairul Fahmi, pemain lain masih boleh diturunkan kerana  pasukan kita mempunyai Akmal Rizal, Hairuddin, Nizab, Ramzul dan Syed  Adey. 
"Saya yakin mereka mampu mempamerkan permainan terbaik. Jika  perancangan tidak menjadi mungkin saya akan meletakkan Indra Putra untuk  mengetuai barisan serangan pada perlawanan malam esok (malam ini),''  katanya.
Tambahnya, baki dua perlawanan ini harus digunakan sebaik mungkin  jika tidak mahu pasukan lain mencabar kedudukan di tempat kedua.
"Bagaimana pun, saya mengingatkan para pemain jangan ambil mudah  perlawanan ini kerana KL Plus mempunyai pemain yang banyak pengalaman  dan setaraf dengan pemain Kelantan.
"Nasib tidak menyebelahi mereka apabila aksi kurang menyakinkan  dipamerkan pada perlawanan peringkat awal. Namun, untuk saingan Piala  Malaysia pasukan KL Plus perlu diberikan perhatian kerana mereka mampu  mencabar berdasarkan pemain yang ada," ujarnya.
Berdasarkan rekod, katanya, pertemuan menentang KL Plus sering  memihak kepada Kelantan, namun pemain tidak boleh leka kerana dalam bola  sepak apa sahaja boleh berlaku.
Sementara itu, jurulatih KL Plus, Mat Zan Mat Aris, pula berazam mahu  meneruskan rekod kecemerlangan skuad itu yang masih belum tewas dalam  empat perlawanan terakhir.
''Para pemain semakin menunjukkan peningkatan namun berdepan dengan  Kelantan di tempat mereka, pasti akan memberikan cabaran getir buat  pasukan KL Plus.
''Kami mahu memperbaiki kedudukan kerana tempat Pahang, Negeri  Sembilan dan Kedah masih mampu dikejar dan saya harap mereka boleh  memberikan kejutan ke atas Kelantan esok, '' katanya.
Namun, KL Plus terpaksa bermain tanpa Es Liszuan yang digantung satu  perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning dan Nizarudin Yusof kerana  kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan