PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson tidak menjangkakan pasukan kebangsaan Malaysia yang pernah dibelasah mereka 6-0 pada 2001 hampir mengikat mereka pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Sambil menganggap perlawanan kali ini lebih memberi caba- ran kepada anak-anak buahnya, Ferguson berpendapat bahawa corak permainan terbuka yang ditonjolkan barisan pemain muda negara nampak menyerlah .
"Saya melihat satu permainan terbuka pada perlawanan ini. Mereka (pemain Malaysia) telah menunjukkan kepantasan dan permainan bertenaga sehingga menjadikan perlawanan agak sengit.
"Selepas mendahului 2-0, kami berasa agak selesa tetapi mereka mendapat gol pertama pada penghujung babak pertama.
"Gol penyamaan itu hasil kesilapan Ben Foster yang telah menghidupkan semangat mereka untuk memberi saingan sebenar sepanjang babak kedua.
"Tetapi saya tetap gembira dengan permainan hari ini (semalam). Lagipun ini perlawanan pertama kami dan kami perlukan lebih banyak perlawanan untuk memantapkan pasukan," kata Ferguson pada sidang media selepas perlawanan itu.
Namun, Ferguson tetap menjanjikan barisan pemain lebih kuat dan persembahan lebih mantap pada perlawanan ulangan bertemu Malaysia di venue yang sama, Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Sementara itu, jurulatih Malaysia, K. Rajagobal nyata berbangga dengan semangat juang dan prestasi mantap yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan tersebut.
"Amri Yahyah sudah tiga tahun tak beraksi dengan skuad kebangsaan dan saya panggil dia semula dan dia telah membuktikan dia masih seorang yang bernilai.
"Dia seorang pemain yang ada naluri gol, sentuhan penyu- dah dan bijak memanfaatkan peluang.
"Gol penyamaannya telah menyuntik semangat kami untuk mencari gol ketiga tetapi malangnya United pula berjaya mendapat gol kemenangan pada lima minit terakhir," kata Rajagobal.
Selain menganggap ia hadiah terbaik sempena hari jadinya yang ke-53 tahun pada 10 Julai lalu, Rajagobal turut menerima ucapan tahniah daripada Ferguson selepas perlawanan.
"Alex (Ferguson) kata, aksi pasukan kami tidaklah teruk sangat. Katanya, pasukan kita kali ini telah bermain dengan baik.
"Memang benar United memiliki penyerang terbaik dunia. Tetapi kalau pertahanan kita berjaya dibentuk dan dikawal dengan tersusun, mereka pasti sukar menembusinya.
"Saya berharap agar pemain kita mengambil peluang sebaik mungkin pada perlawanan ulangan Isnin ini (esok)," jelas Rajagobal.
Sebelum beredar daripada sesi sidang media tersebut, Rajagobal sempat memberi pesanan kepada Ferguson: "Saya harap anda dapat mengambil seorang dua pemain Malaysia untuk United."
ihsan:kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan