15 Jul 2009

Kami perlu menang walau tanpa kelibat Piya: Hashim Mustapha

KOTA BHARU - Patah tumbuh hilang berganti, kini pasukan Kelantan masih lagi mencari pemain yang berkebolehan untuk menggantikan tempat ketua pasukan pahlawan merah, yang kini diberikan cuti sakit akibat tercedera di bahagia buku lali kaki kirinya.

Penolong Jurulatih pasukan, Mohd Hashim Mustapha berkata, ketiadaan Mohd Badhri Mohd Radzi(gambar) sedikit sebanyak menjejaskan kualiti permainan pasukan ini.

Menurutnya, kini pasu-kan Kelantan masih lagi dalam proses mencari pengganti ketua pasukan. Peter James Buttler yang lebih arif akan melakukan pemilihan yang ketat, bagi mencari siapa yang berkebolehan untuk mengetuai pasukan pilihan di hati rakyat negeri ini.

“Ketiadaannya sedikit sebanyak terasa di kalangan pemain, kerana kekuatan pasukan sedikit sebanyak terjejas akibat kehilangan ketua pasukan. Bagaimanapun, pasukan ini masih memiliki pemain yang berkebolehan,” katanya.

Hashim berkata, Badhri banyak menghulurkan bantuan dan jasa kepada pasukan. Ketika beraksi, Badhri berkebolehan untuk mencorakkan perlawanan yang menarik di setiap perlawanan.

“Bukan niat saya untuk memperlekehkan pemain yang lain, tapi saya yakin dengan kebolehannya di setiap perlawanan. Jari-ngannya banyak membantu pasukan untuk mara ke akhir perlawanan,” katanya.

Harapan Hashim agar pemain akan beraksi seperti biasa, walaupun bermain tanpa ketua pasukan pada perlawanan akan datang, di mana tiga perlawanan terakhir bakal menyaksikan pasukan Kelantan menentang Kedah dan Johor FC.

“Pasukan ini memerlukan kemenangan. Kalau kami kalah, peluang semakin tipis untuk berada di kedudukan ketiga liga. Kini pasukan ini ketinggalan satu mata jaringan dengan Kedah.

“Kami perlu memastikan kemenangan milik kami pada perlawanan akan datang. Kalau seri peluang semakin tipis. Tak kisah menang berapa kosong, janji kami menang,” katanya.

Hashim yang juga merupakan bekas pemain Kelantan, turut berharap agar penyokong setia Kelantan hadir memberikan sokongan kepada pasukan ini pada perlawanan akan datang.-Ihsan Sinar

Tiada ulasan: